Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Wednesday, April 28, 2010

IMAM IBNU ARABI RA


Ibn al-Arabi atau nama penuhnya Abu Bakr Muhammad ibn al-Arabi adalah seorang pemikir Islam dan seorang sufi masyhur yang berasal daripada keluarga Hatim ath-Tha’i . Dilahirkan di Murcia, Andalusia (Sepanyol) pada 1165 Masihi dan meninggal di Damsyik pada tahun 1240. Di kalangan kaum sufi, Ibn Arabi dikenali dengan panggilan Muhyiddin yang bererti “Penghidup Agama”. Pernah hidup dengan ayahnya di Seville, tempat beliau menumpukan pada pelajarannya. Kemampuan intelektual dan tingkat spiritualnya kelihatan begitu menonjol pada mata para gurunya. Pada usia 30 tahun, al-Arabi mulai mengembara, tidak hanya di Sepanyol, malah sampai ke Afrika Utara dan Asia. Ajarannya yang begitu berpengaruh hingga al-Arabi diberi gelar Sheikh Terbesar atau Asy-Syaikh al-Akhbar.

Karya buah tangan Ibn al-Arabi begitu banyak. Sayang sebahagian besar daripadanya tidak dapat ditemui lagi. Dalam perbendaharaan Melayu sukar ditemui karya Ibn al-Arabi berbanding misalnya karya Al-Ghazali. Orang mudah menyebut Ihya Ulumuddin karya Hujjah ul Islam Imam al-Ghazali. Namun agak sukar atau jarang sekali menyebut dua karya penting Ibn al-Arabi, iaitu al-Futuhat al-Makkiyyah (Pengungkapan Rahsia-rahsia di Mekah) mahupun Fushush al-Hikam (Untaian Hikmah).

Buku ini, iaitu Wasiat-wasiat Ibn ‘Arabi yang diterbitkan oleh Pustaka Hidayah, Bandung, Indonesia adalah bahagian-bahagian yang dinukil daripada al-Futuhat al-Makkiyyah yang sering disebut sebagai ensiklopedia tasawuf.

Buku ini mengisi 200 wasiat adalah petikan wasiat dan nasihat Ibn ‘Arabi daripada al-Futuhat al-Makkiyyah. Wasiat dan nasihat yang dikumpulkan mengandungi pelbagai aspek kehidupan yang amat bermanfaat untuk setiap insan menjalani kehidupan dan berhadapan dengan pelbagai cabarannya.

Agak mustahil untuk memetik semua wasiat yang dikemukakan Ibn Arabi di dalam ruang terhad ini. Namun sengaja saya memilih beberapa wasiatnya. Pemilihan ini sebenarnya agak sewenang-wenang kerana pada hakikatnya semua 200 nasihat dan wasiat yang dikemukakan dalam buku ini amat berguna dan bermanfaat sekali.

Tentang rendah diri, Ibn Arabi menasihatkan sebgaimana berikut: “Berhati-hatilah agar engkau jangan bersikap sombong atau tinggi hati (diri) di muka bumi. Biasakanlah bersikap rendah hati (tawaduk). Jika Allah mengangkat kata-katamu, maka tidak ada yang paling tinggi selain kebenaran. Jika Dia menganugerahkan kepadamu ketinggian di dalam hati makhluk-Nya, maka hal itu kembali kepada-Nya. Kerendahan hati, kehinaan (dzillah) dan ketidakberdayaan melekat pada dirimu, kerana engkau berasal dari tanah. Jangan merasa lebih tinggi dari tanah, kerana tanah adalah ibumu. Barangsiapa berlaku sombong kepada ibunya, maka ia telah mendurhakainya.”

Tentang menjaga ucapan atau pertuturan, Ibn Arabi mengatakan antaranya sebagaimana berikut, “Hendaknya engkau menjaga ucapanmu sebagaimana engkau menjaga perbuatanmu. Ucapanmu termasuk dalam perbuatanmu. Kerana itu dikatakan, “Barangsiapa menghitung ucapannya sebagai termasuk dalam perbuatannya, maka ia akan mengurangi ucapannya.” Ketahuilah bahawa Allah menjaga ucapan hamba-hamba-Nya kerana Allah hadir pada lisan setiap orang yang berbicara. Allah tidak mencegahmu daripada mengucapkannya. Akan tetapi engkau jangan mengucapkannya jika memang engkau tidak meyakininya, kerana Allah akan menanyaimu tentang itu.”

Dalam setiap wasiat kadang-kadang mengandungi banyak wasiat. Oleh hal yang demikian tidak ada jalan lain bagi memperoleh pengetahuan yang ada dalam buku ini kecualilah dengan membacanya. Dan sebaik-baik cara membaca buku ini adalah dengan berguru

No comments:

Post a Comment

ampuni kami