Followers

Tuesday, May 21, 2013

Amir Jamiyah Ulama Fathoni turun Kedah / Perlis 21 Mei 2013

Jelajah Amir / ketua 
JAMIYAH ULAMA FATHONI DARUSSALAM 
ke Kedah dan Perlis 
bagi tujuan menjemput seramai munggkin muhibbin 
ke Majlis Kenduri Jamiyah Ulama pada 25 dan 26 Mei 2013 
Sabtu dan Ahad ini sempena majlis memungut dana membina Kompleks Jamiyah Ulama Fathoni 
Jemputan : 

Ustaz Yusaini MATIN menyambut kedatangan Tuan Guru 
Hj Abdul Karim bin Hasbullah di Perlis


 Ustaz Budak Kelantan akan ceramah di Majlis Jamiyah Ulama pada 26 Mei ini

 Pertemuan Amir Jamiyah Ulama Fathoni bersama Cikgu Azmi TERAS







 JAMIYAH ULAMA FATHONI DARUSSALAM memerlukan dana bagi proses membina Kompleks yang melengkapi Masjid , Asrama , Rumah Tamu Ulama , Pondok dan lain-lain . Bagi Mereka yang ingin salurkan wakaf boleh disalurkan terus kepada
TUAN GURU HAJI ABDUL KARIM BIN HASBULLAH (ketua Jamiyah Ulama Fathoni )
Ustaz Yusaini Perlis
Cikgu Azmi ( TERAS)
Helmi Assyafie ( Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah )




Monday, May 20, 2013

Berkasih Sayang Kerana Allah...




Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.

Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30.  Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.

Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.

Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.

"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.

TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid,  Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan tangan.

TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini..."Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.

"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.

Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.

"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam esakkan.

TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.

Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana  Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.

*Penulis adalah Saudara Sanusi Md Noor ,bekas Setiausaha Politik kepada Ustaz Azizan Abdul Razak

Friday, May 17, 2013

Majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Jamiyah Ulama Fathoni - Rakyat Malaysia Dijemput



 Jom Ziarah Ulama Fathani 25-26 Mei 2013 Sempena Majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Jamiyah Ulama Fathani

Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah (PPPT -Kedah )
sebagai wakil kepada Kesatuan Ulama Pondok Pathani Darussalam dan Ikatan Ulama Ahli Sunnah Malaysia Fathani mempelawa Muslimat Muslimat rakyat Malaysia yang berminat mengikuti program Ziarah Fathani pada 25 dan 26 Mei 2013.
Majlis ini bertujuan mengumpulkan ulama pondok Tiga Wilayah Selatan Thailand sempena Majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Jamiyah Ulama Fathani .
Majlis kali kedua terbesar dalam sejarah bakal dicipta pada 25 dan 26 Mei ini .
Majlis yang pertama adalah Majlis pecah tanah pempukaan tapak Jamiyah .

Majlis terbuka kepada seluruh masyarakat terutamanya Pencinta Pondok dan Pendokong Ahli Sunnah .
Bagi mereka yang inging mengikuti program ini perlu mengikuti peraturan yang digarisakan :
1 . Kenderaan sendiri
2.  Maklum kepada Persatuan Pelajar Pondok Tauhid
     boleh hubungi Pengerusi PPPT ; Helmi Assyafie 0134044259 atau Setiausaha PPPT ; Mazlan
     0134035286
3. Perlu mengikuti masa yang ditetapkan oleh PPPT iaitu selama dua hari tempoh musafir .
4. Sediakan/ urusan  pasport atau pas lawatan sendiri
5. Memiliki geran kenderaan untuk masuk ke Thailand
6. Kos pejalanan , makan minum tanggung sendiri
7. Sebarang kemalangan dan kerugian pihak PPPT tidak bertanggungjawab
8. Berkumpul di Pondok Ar Rahmaniah pada hari Jumaat jam 11.55 malam untuk sesi taklimat dan akan tiba
    di Bukit Kayu Hitam Sabutu jam 7 pagi





Sebarang sumbangan bagi tuajuan wakaf pembinaan Jamiyah boleh disalurkan terus kepada Tuan Guru Hj Abdul Karim Bin Hasbullah selaku Ketua / Amir Jamiyah Ulama Fathani merangkap Mudir Pondok Dala 
Tuan Guru Hj Abdul Karim Bin Hasbullah (tengah ) bersama Al Fakir Helmi Assyafie dan Ustar Tarmizi Al Barakah  dalam Majlis Ijtima Ulama Thurath Malaysia Fathani 

Wednesday, May 15, 2013

Selamat Hari Guru buat Murabbi , Tuan Guru Hj Salleh Musa

16 Mei 2013 
Kuliah pagi Tuan Guru Hj Salleh Musa pagi ini di Pondok 
diserikan dengan sambutan Hari Guru Peringkat Pondok 
Sambutan diadakan cara sederhana disebabkan Pondok baru dibuka semula setelah sebulan cuti bagi tumpu kerja-kerja PRU 13 . 
ALHAMDULILLAH 
pagi ini walaupun majlis ringkas tetapi penuh bermakna . 
Sambutan Hari Guru Peringkat Pondok Ar Rahmaniah diadakan buat kali ke 4
 bagi 
menyedarkan masyarakat 
Sambutan Hari Guru yang berlandaskan Syara 
Martabatkan Ilmu dan Ulama Ahli Sunnah wal jamaah 
meletakkan ISLAM ditempatnya yang tinggi ...






Muhasabah Perjuangan buat Amilin Gerakan Islam PAS

Nasihat Syeikh Zainal Asri Setiausaha Dewan Ulama PAS Kedah 

Tuesday, May 14, 2013

TG Nik Aziz berjaya tumpulkan keris nasionalis

Harakahdaily,14 Mei 2013




 Antara kejayaan besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah berjaya menonjolkan nilai Islam yang menolak perkauman dan tidak sesekali menzalimi kaum-kaum lain.

Menurut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, pendekatan Tuan Guru Nik Aziz itu telah menyebabkan bukan sahaja Islam itu dipandang tinggi, malah orang bukan Islam juga menyambut baik perjuangan Islam itu sendiri.

"Saya yakin, misi dakwah yang merentasi bentang perkauman dan darah bangsa yang dibawa oleh Tuan Guru telah berhasil menumpulkan keris nasionalis yang diasah oleh golongan-golongan tertentu.

"Hasilnya, non muslim begitu menyambut baik perjuangan Islam dan tanpa segan silu mengangkat panji-panji perjuangan Islam kerana yakin bahawa Islam tidak pernah menzalimi penganut agama lain sebagaimana yang telah terbukti di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Menteri Besar di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim hari ini.

Selain itu juga kata Ahmad, 23 tahun memerintah Kelantan Tuan Guru juga telah membuktikan bahawa golongan ulamak juga mampu mengurus tadbir negeri.

Katanya, bekas Menteri Besar Kelantan itu telah berjaya memecahkan persepsi sebahagian besar rakyat Kelantan bahkan seluruh negara khususnya terhadap golongan ulama.

"Jika sebelum ini, persepsi rakyat terhadap golongan ulama ialah ulama tidak boleh mentadbir dan hanya layak berada di beranda madrasah atau masjid membelek kitab kuning untuk dibaca di dalam kuliah, tetapi hari ini dengan kejayaan YB Tuan Guru mentadbir negeri Kelantan lebih daripada dua dekad, persepsi ini telah berjaya diranapkan," katanya.

Tuan Guru ujarnya telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah itu sejak tahun 1990 lalu.

Ianya boleh diukur denga pelbagai saranan dan pembaharuan dibuat sehingga membuka mata ramai pihak bahawa sebenarnya Islam lebih layak untuk mentadbir berbanding syariat ciptaan manusia.

Menurut Ahmad lagi, kejayaan pentadbiran Tuan Guru yang memandu masyarakat dengan agama, lebih penting dari kejayaan membina bangunan yang tinggi dan jalan raya yang bersimpang siur.

Umum maklum katanya, bahawa Tuan Guru memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk perjuangan parti bahkan beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya.

Tuan Guru juga sering memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan malah beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

"Sungguh ketara sekali, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.

"Hasilnya, sekalipun silih berganti pemimpin di peringkat kerajaan pusat, kerajaan Kelantan alhamdulillah gagal dijatuhkan dalam enam kali pilihanraya umum berturut-turut, satu tempoh yang cukup lama bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan untuk bertahan sekalipun diasak dengan pelbagai serangan," kata Ahmad.

TG Nik Aziz serah tugas secara rasmi kepada MB baru




14 Mei 2013

(Tg Nik Aziz menyerahkan tugas sebagai MB secara rasmi kepada Datuk Ahmad Yaacob hari ini)

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyerahkan tugas secara rasmi kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaacob hari ini.

Penyerahan tugas itu diadakan sempena majlis jamuan perpisahan 'Jasamu Dikenang', khusus untuk Tuan Guru setelah mentadbir Kelantan hampir 23 tahun lalu.

Majlis berkenaan anjuran kerajaan negeri diadakan di Dewan Jamuan Utama Kota Darulnaim.

Semua anggota exco, pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Adun serta kakitangan kerajaan negeri hadir pada majlis tersebut.

Selepas PRU 13 lalu, Tuan Guru tidak lagi bersedia untuk meneruskan tanggungjawab itu kerana keletihan serta masaalah kesihatan.

(Bergambar kenangan selepas selesai majlis)

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, Tuan Guru merupakan seorang pemimpin serta role model yang cukup istimewa.

Ini kerana, katanya Tuan Guru telah berjaya mencipta tugu perpaduan khususnya bersama masyarakat bukan  Islam yang sebelum ini digambarkan imej yang buruk bagi mereka.

“Dengan kehebatan Tuan Guru, beliau telah berjaya menyatu padukan semua bangsa di negara ini sehingga mereka tidak lagi menganggap Islam sebagai agama ekstrem.

“Ianya dibuktikan lagi dengan penterjemahan sikap Tuan Guru sendiri yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini,”ujarnya.

Beliau turut mengakui tanggungjawab memikul amanah sebagai Menteri Besar begitu besar dan bukan mudah untuk dilaksanakan.

Tegasnya, beliau memerlukan bantuan semua pihak untuk membantu rakyat melalui kepimpinan yang ada.

“Saya juga berharap ilmu dan idea dapat lagi disumbangkan oleh Tuan Guru walaupun tidak lagi sebagai menteri besar,”ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru mengakui hatinya begitu tenang mentadbir Kelantan kerana tidak ada  masaalah yang ditimpakan ke atasnya.

Sambungnya, hasil kerjasama kakitangan kerajaan negeri, orang politik serta rakyat Kelantan sendiri yang baik membuatkan tugasnya begitu mudah diurus.

“Cuma yang sukar nak berhadapan dengan pihak lawan kita ni, dia ni teruk sangat, bukan setakat Islam dia lawan, demokrasipun dilawannya,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang berlaku kerana tiadanya roh Islam dalam jiwa menyebabkan peranan pemimpin sedemikian akan ikut acuan yang tidak berlandaskan Islam.