ALLAH berfirman bermaksud: “Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah).” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Ihsan adalah tonggak yang menegakkan kerangka agama seiring iman dan Islam. Namun, umat Islam kini memandang remeh konsep ihsan ini sehingga tidak mengambil endah kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Jika diteliti, ihsan sama pentingnya seperti iman dan Islam dalam menentukan hala tuju kehidupan Muslim sama ada bahagia di dunia dan akhirat atau sebaliknya.
Ihsan bererti berbuat baik dan didefinisikan sebagai ajaran atau konsep mendukung etika kerja yang baik. Berdasarkan perspektif ini, ihsan dapat difahami sebagai produktiviti kerja secara optimum dengan hasil sumbangan terbaik dan berkualiti tinggi.
Konsep ihsan menjurus kepada dua matlamat utama. Pertama, ihsan dalam ibadat dan kedua, ihsan dalam muamalat.
Ihsan dalam ibadat ialah beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tawaduk di samping ikhlas seolah-olah ketika itu sedang berhadapan dengan Allah.
Jika perasaan itu ada, sudah tentu manusia gerun untuk melanggar larangan Allah.
Menurut Ibnu Hajar, sekiranya manusia tidak dapat melihat Allah, maka hendaklah dia meyakini Allah melihat dan mengawasinya. Justeru, setiap Muslim hendaklah menyempurnakan ibadat dengan sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah dan sunnah Rasulullah SAW.
Perlu diingat konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah dalam urusan ibadat semata-mata kerana ihsan turut merangkumi setiap perlakuan sesama manusia sama ada bersangkutan perkara duniawi mahupun ukhrawi.
Setiap Muslim dituntut berihsan dalam urusan kehidupan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya, bahkan dalam urusan muamalat seperti kekeluargaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan politik.
Dalam konteks ihsan dalam muamalat, Imam al-Asfahani memberi dua pengertian iaitu limpahan nikmat maslahah serta kepentingan pihak lain dan mempertingkatkan kualiti kerja itu sendiri. Pengertian yang pertama dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam komuniti Islam.
Ihsan juga dianjurkan terhadap haiwan. Imam Muslim meriwayatkan, “Saidatina Aisyah bersama Rasulullah SAW ketika perjalanan jauh, menunggang unta begitu susah hendak dikendalikan. Lalu Saidatina Aisyah memalingkan unta itu ke kanan dan ke kiri. Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Wahai Aisyah! Kamu hendaklah menaruh kasihan belas (berihsan). Sesungguhnya apabila ihsan masuk ke dalam sesuatu, maka hendaklah ia menghiasinya. Dan apabila ihsan terkeluar daripada sesuatu, maka ia akan rosak.”
Termasuk juga dalam skop ihsan, iaitu mempertingkatkan kualiti kerja yang bergantung kepada dua syarat utama, ilmu pengetahuan menyeluruh dan ketrampilan kemahiran yang mantap. Tanpa kedua-duanya, tidak akan melahirkan satu perbuatan atau kerja benar-benar berkualiti ihsan.
Ihsan sebagai konsep menjurus ke arah hasil kerja optimum menuntut setiap Muslim kepada tiga perkara berikut:
* Bekerja atau melakukan sesuatu kerja sebaik mungkin selaras sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
* Menguasai ilmu pengetahuan dan mengetahui kemampuan diri berkaitan tugas sehingga menyempurnakan kerja tepat pada masanya. Ilmu dan kelayakan seseorang antara kriteria utama menjamin kejayaan kerja dilakukan.
* Ikhlas dan benar dalam kerja dan amalannya. Dalam hal ini, ulama salaf, Fudhail ‘Iyadh ditanya makna ikhlas dan benar dalam amalannya. Beliau menjawab: Sesungguhnya amal benar tapi tidak dilakukan dengan ikhlas, tidak diterima Allah. Begitu juga jika dilakukan dengan ikhlas tapi dengan cara yang tidak benar tidak diterima
Tegahan sambut upacara keagamaan lain
5 hours ago
No comments:
Post a Comment