Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Wednesday, May 11, 2011

Islam adalah agama rasmi Malaysia, jangan pertikai lagi - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Islam adalah agama rasmi Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan kedudukan tersebut.

Jelas Tuan Ibrahim, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut agama Islam adalah agama Persekutuan, namun ia memberikan maksud Islam adalah rasmi negara.

“Persekutuan adalah bermaksud negeri-negeri yang bergabung membentuk persekutuan yang mana Islam adalah agama rasmi negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Agama rasmi Persekutuan adalah agama rasmi bagi negeri-negeri ini, jadi bila kata Islam agama Persekutuan maknanya Islam adalah agama bagi negeri-negeri itu dan ia adalah agama rasmi negara.

“Agama rasmi Persekutuan bermaksud agama rasmi Malaysia, ia sama sahaja sebab Persekutuan ini dibentuk dari negeri-negeri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan peguam Syahredzan Johan yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara dengan merujuk kontroversi yang tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam berkata, tafsiran undang-undang oleh Utusan Malaysia adalah salah dan mengingatkan bahawa langkah akhbar harian itu sebagai “tanggapan salah yang bahaya”, yang boleh membawa negara ke arah rusuhan agama dan sosial.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.

“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau.

Mengulas lanjut kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, Tuan Ibrahim berkata walaupun ada pihak mahu agama lain termasuk Kristian menjadi agama rasmi ia tidak boleh dilakukan kerana banyak prosedur yang terpaksa diikuti.

“Kalau kita lihat sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan ia melibatkan Dewan Rakyat, perlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebab itu bagi saya ini isu mainan yang sengaja diwujudkan untuk timbulkan keadaan kerana realiti ia tidak akan berlaku.

“Kedudukan Islam (sebagai agama rasmi) tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu bimbang dengan isu-isu yang sengaja dibuat... Islam adalah agama rasmi Malaysia,” katanya.

Justeru beliau meminta supaya semua pihak agar tidak memandang serius perkara itu seperti mana yang dilaporkan Utusan Malaysia kerana ia sengaja “dicipta” untuk mewujudkan ketegangan antara agama.

“Bagi saya ini bukan isu sebenar, ia adalah isu yang sengaja dibuat untuk menimbulkan satu suasana yang akhirnya memihak kepada Umno-Barisan Nasional (BN).

“Daripada tiada polemik jadi polemik, sedangkan perkara ini tidak pernah berlaku tapi sengaja dibuat,” katanya sambil menambah, “bagi saya isu ini adalah isu yang sengaja dibuat untuk mengalih pandangan rakyat daripada isu-isu sebenarnya yang berlaku.”

“Isu yang dihadapi oleh rakyat seperti kenaikan kos hidup, kenaikan harga gula dan kenaikan harga minyak... ini adalah isu yang dialihkan supaya rakyat tidak tumpu kepada isu yang mereka hadapi,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang diterbitkan Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang ini, beliau tidak menolak isu-isu perkauman dan agama yang dimainkan Umno melalui Utusan Malaysia petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah bunga-bunga kepada persiapan pilihan raya umum sebab setiap kali isu perkauman dan agama dimainkan ia adalah tanda pilihan raya (sudah dekat) dan Umno akan mengambil keuntungan di sebalik perkara ini

“Sebab itu, bagi kita, PAS dan Pakatan Rakyat sudah sepakat iaitu Islam agama rasmi, bahasa Malaysia bahasa rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu dipertahankan, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dipertahankan, ini adalah dasar bersama kita dan tiada yang mempertikaikannya baik PAS, PKR dan DAP,” katanya

No comments:

Post a Comment

ampuni kami