APABILA kita katakan adalah dibenarkan memohon syafaat daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT.
Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan. Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).
Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia. (Yunus: 106-107) Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (daripada dunia) hinggalah hari kiamat. (al-Ahqaf: 5) Jadi, segala bentuk ibadah semestinya ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak harus sesuatu ibadah itu ditujukan kepada selain Allah SWT, dalam apa jua bentuk sekalipun.
Maka tidak ada nazar yang boleh dibuat kecuali kerana Allah; tidak ada doa yang dipanjatkan kecuali kepada Allah; tidak ada sembelihan yang dilakukan kecuali untuk-Nya; tidak boleh memohon pertolongan dan perlindungan kecuali kepada-Nya; tidak ada sumpah kecuali atas nama-Nya; dan tidak boleh bertawakal atau berserah diri, kecuali kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang disifatkan oleh golongan yang mensyirikkan-Nya.
Kita mempercayai bahawa Allah adalah Pencipta semua hamba-Nya dan segala perbuatan mereka. Tidak ada satu makhluk pun selain Allah; baik yang masih hidup, mahupun yang telah mati, yang mempunyai pengaruh dan kesan dalam penciptaan tersebut. Maka Pengurus dan Pentadbir sebenar di dalam alam ini hanyalah Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang memiliki dan menguasai walau sedikit kecuali jika Allah memberikan milik dan kekuasaan itu kepadanya dan memberikan keizinan kepadanya untuk menguruskannya. Tidak ada seorang manusia pun yang mampu memiliki suatu manfaat atau mudarat untuk dirinya.
Apatah lagi untuk orang lain, begitu juga untuk mematikan dan menghidupkan atau membangkitkan, kecuali atas apa yang dikehendaki oleh Allah mengikut keizinan-Nya. Justeru, kemampuan memberikan manfaat atau menolak kemudaratan, semuanya itu dibatasi dengan had ini dan diikat dengan ikatan ini (kehendak dan izin daripada Allah). Penisbahan atau penyandarannya kepada makhluk, hanyalah sebagai tasabbub (penyebab) dan takassub (pengusaha). Bukannya sebagai pencipta atau yang mengadakan, atau yang mempunyai kesan, atau sebab, atau kekuatan.
Penisbahan atau penyandaran ini pada hakikatnya hanyalah penyandaran atau penisbahan majazi (simbolik), atau kiasan belaka, bukan menurut hakikatnya. Namun demikian, manusia berbeza-beza cara dalam mengungkapkan hakikat perkara ini. Ada di antara mereka yang keterlaluan menggunakan dan menggambarkan ungkapan majazi sehingga terjerumus ke dalam kesamaran lafaz. Namun, ia berlepas diri daripada lafaz yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya itu dan hatinya juga bersih serta berpegang atas tauhid yang sempurna dan menyucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.
Ada pula di antara mereka yang berpegang teguh dengan hakikat lafaz secara berlebihan daripada had sederhana. Maka dengan ini, sampai menyusahkan, membingungkan dan mengusutkan pemikiran orang lain untuk mengikut mereka. Bahkan, mereka membawa orang lain kepada maksud yang tidak sebenarnya dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak diingininya.
Lebih teruk lagi, mereka menghukum orang lain dengan suatu hukum yang tidak benar, sedangkan mereka membebaskan diri daripada perkara tersebut. Sepatutnya, mereka ini mengambil sikap pertengahan, bukan sikap yang ekstrem seperti itu. Maka sikap seperti ini lebih menyelamatkan agama dan lebih berhati-hati dalam menjaga kedudukan tauhid. Wallahu a’lam.
Berikut adalah kata-kata Ibnu Taimiyyah: Allah itu mempunyai hak, yang tidak dikongsi bersama dengan satu makhluk pun. Maka tidak ada ibadah kecuali dipersembahkan kepadaNya; tidak berdoa kecuali dipohonkan kepadaNya; tidak boleh bertawakkal kecuali hanya kepadaNya; tidak boleh berharap kecuali hanya kepadaNya; tidak boleh merasa takut kecuali hanya kepadaNya; tidak ada tempat berlindung dan bersandar daripada (kemurkaan)Nya kecuali kepadaNya; tidak ada yang mendatangkan kebaikan melainkan Dia; tidak ada yang menghapuskan kejahatan kecuali hanya Dia; dan tidak ada daya menghindari maksiat dan kekuatan melakukan ketaatan, kecuali dengan pertolonganNya.
Firman Allah SWT, “Dan tidak berfaedah syafa’at di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan oleh Allah.”(Saba’: 23) Allah SWT juga berfirman: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.” (Al-Baqarah: 255) Firman Allah SWT lagi, “Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan dia akan datang kepada al-Rahman (Allah) sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari Kiamat dengan seorang diri.” (Maryam: 93-95)
Firman Allah SWT : “Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” (Al-Nur: 52)
Dalam ayat-ayat di atas disebutkan, bahawa ketaatan semestinya dilakukan kepada Allah dan RasulNya. Manakala gerun dan taqwa pula hanya dijuruskan kepada Allah.
Begitu juga dalam ayat yang lain disebut: “Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata, “Cukuplah Allah bagi kita; Allah akan memberi kepada kita dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kita sentiasa berharap kepada Allah.” (Al-Tawbah: 59)
Maka hak memberi adalah kepunyaan Allah dan RasulNya. Adapun bertawakkal dan berharap itu hanya dibolehkan kepada Allah Yang Esa. (Al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, Jld 11 H: 98). Daripada pemerhatian Ibnu Taimiyyah ini, kita dapati bahawa walaupun ada tugas yang hanya khusus bagi Allah SWT tetapi beberapa tugas dan peranan lain turut diwakilkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW walaupuun hakikatnya tetap dilaksanakan oleh Allah SWT sendiri. Pendirian ini akan mengelakkan kita daripada terlalu cepat menyalahkan mereka yang memohon syafa’at daripada Nabi SAW lantas memecah-belahkan kesatuan umat Islam secara tidak berasas
No comments:
Post a Comment