Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, May 19, 2011

Guru pikul amanah bentuk masyarakat cemerlang

Kejayaan sistem pendidikan bergantung kepada kesediaan pendidik berdepan cabaran
KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari daripada pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan dan guru. Sumbangan itu sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan.
Statistik menunjukkan bilangan guru ialah seramai 380,000 manakala bilangan anak kita yang berada di alam persekolahan ialah 5.4 juta orang. Lihat betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak kita ini.
Tanggal 16 Mei dipilih sebagai hari bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan guru terutama dalam mendidik dan menjana tranformasi pendidikan bagi membina negara bangsa.
Sesungguhnya seorang guru adalah insan mulia kerana mereka diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”
Sejarah ketamadunan Islam mencatatkan guru atau ulama adalah golongan amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu.
Diriwayatkan, Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan, ilmu itu didatangi bukan mendatangi.
Kisah Imam Malik juga adalah contoh murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dulu.
Beliau pernah berkata, “Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dulu kepada orang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran.”
Lihatlah sikap merendah diri dan rasa hormat seorang imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.
Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata, “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama negeri Hijaz ini.”
Saidina Ali juga pernah berkata, “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku.”
Dalam menjana tranformasi pendidikan, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga berperanan sebagai murabbi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.
Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan dihormati. Maka, dalam merialisasikan harapan tinggi itu, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian serta maklumat supaya selari kehendak diperlukan bagi mencapai aspirasi negara.
Walau bagaimanapun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya.
Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu ke arah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat itu, tuntutan kepada ilmu pengetahuan berbentuk fardu ain dan fardu kifayah diperlukan demi memenuhi tuntutan kesejahteraan dunia dan akhirat.
Amalan memisahkan pendidikan fardu ain dan fardu kifayah akan melahirkan masyarakat yang tempang sekali gus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang.
Firman Allah yang bermaksud: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-Imran, ayat 18)
Anak bangsa yang berkualiti harus bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah didokong bersama guru dan masyarakat terutama ibu bapa. Jika tidak, nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama berjiwa ‘Ulul Albab’ akan sia-sia.
Kita percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan secara muhibah

No comments:

Post a Comment

ampuni kami