logo muktamar
.
Dr Khairuddin A. Razali
Dr Khairuddin A. Razali
SEMPENA Muktamar Tahunan Pas Ke-58, Sinar Harian Online berpeluang menemu bual Setiausaha Dewan Ulamanya, Dr. Khairuddin A. Razali yang mengupas pelbagai aspek - peranan dan signifikan sayap ini, cabaran Pilihan Raya Umum ke-13, kepentingan muktamar kali dan isu-isu semasa kerjasama dalam Pakatan Rakyat serta perjuangan melaksanakan hukum hudud.

Ikuti temu bual menerusi e-mel Dr Khairuddin bersama G Manimaran dan Salmiah Druhamad Drahsin.


SINAR HARIAN ONLINE: Dewan Ulama sekali lagi mengadakan muktamar tahunan. Dari sudut pandangan Dr, sejauh mana peranan dan signifikan sayap ini dalam arus perjuangan Pas?

DR KHAIRUDDIN:Sebelum dibincang peranan dan signifikan perlu difahami apakah yang dimaksudkan dengan Ulama dalam Islam. Ulama adalah satu istilah merujuk kepada mereka yang mempunyai dua ciri. Pertama; kemampuan ilmu yang tinggi tentang selok belok agama Islam dengan kemampuan merujuk kepada sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Kedua; mempunyai sifat ketaqwaan yang tinggi dengan takut kepada ALLAH dan meletakkan pertimbangan dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam semua ucapan dan tindakan serta berakhlak mulia.

Peranan dan signifikan Dewan Ulama boleh dilihat dari dua sudut. Pertama dengan melihat kepada perlembagaan Pas yang menyatakan bahawa dasar rujukan Pas ialah al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Keempat-empat sumber hukum dalam Islam ini memerlukan para ulama untuk mentafsir dan menghuraikannya kerana hanya mereka yang digelar ulamak yang mempunyai ilmu dan kemampuan untuk menghuraikan keempat sumber tersebut.

Kedua, dengan melihat kepada matlamat perjuangan Pas itu sendiri iaitu Pas sebagai gerakan Islam yang mempunyai dua matlamat iaitu satu, menyampaikan dakwah Islam dan kedua, melibatkan diri dengan politik pemerintahan Islam.

Dakwah Islam bermaksud dua perkara. Pertama, Pas berusaha memperkenalkan Islam kepada bukan Islam sehingga maksimumnya mereka memeluk Islam atau sekurang-kurangnya mereka “mesra” Islam. Kedua, berusaha mempertingkatkan kualiti iman, amal dan akhlak orang-orang Islam sehingga sentiasa selaras dengan perintah dan hukum-hakam Islam.

Kerja-kerja dakwah ini sejak awal Islam dipimpin oleh orang-orang berilmu tinggi dan kefahaman mendalam tentang islam yang digelar Ulama. Kerana itu, dalam Pas, ulama memimpin ahli Pas untuk menyampaikan dakwah Islam.

Penglibatan dengan politik pula bermaksud Pas berusaha mendapatkan kuasa untuk memerintah menggunakan prinsip-prinsip pemerintahan Islam kerana Pas yakin hanya dengan Islam seluruh umat manusia sama ada muslim atau tidak akan mendapat kebajikan dan keadilan yang sebenar. Dalam Islam pula keutamaan diberikan kepada ulama untuk menjadi pemimpin dan pemerintah kerana lebih berilmu dan mengetahui prinsip-prinsip pemerintahan berasaskan Islam. Atau setidak-tidaknya ulama memandu umat Islam untuk memimpin berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Berasaskan realiti sumbangan dan peranan ulama ini, maka Dewan Ulama yang bertanggungjawab menggembeleng dan menyelaraskan tenaga ulama sentiasa diperlukan dan sangat signifikan dalam Pas.


SINAR HARIAN ONLINE: Penekanan Dewan Ulama pada Muktamar kali ini?

DR KHAIRUDDIN: Penekanan Dewan Ulamak dalam muktamar kali ini menerusi tiga sudut.

Pertama memperkukuhkan gerak kerja berorganisasi menerusi perbahasan dan penilaian mendalam laporan kerja tahunan. Dijangka ahli muktamar akan menghabiskan masa selama dua jam untuk agenda ini.

Kedua; membawa dan membahaskan usul-usul melibatkan perjalanan parti secara keseluruhannya, memperkukuhkan perjalanan parti sebagai sebuah kerajaan yang telah mentadbir beberapa negeri dan sebagai kerajaan menanti di peringkat pusat. Perincian usul-usul tersebut akan didedahkan ketika muktamar nanti insya-ALLAH.

Ketiga, menggariskan gerak kerja terkini menerusi ucaptama bertajuk “Ulama Haraki Benteng Izzah Islam”. Antara yang akan ditekankan ialah kepentingan Islam menjadi asas kepada pemerintahan bernegara dan peranan Ulama dalam merealisasikan kemenangan PRU.


SINAR HARIAN ONLINE: Nampaknya, Muktamar Dewan Ulama,  tidak akan dan tidak boleh lari daripada 'kehangatan' dan 'demam' PRU13. Apakah Dewan Ulama akan menekankan 100 peratus soal persiapan menghadapi PRU13?

DR KHAIRUDDIN: PRU adalah sebahagian agenda Pas dan bukannya satu-satu agenda Pas. Saya sudah jelaskan tadi bahawa Pas adalah gerakan dakwah dan politik. Justeru, di samping menyentuh persoalan PRU, muktamar bakal menyentuh persoalan gerak kerja dakwah yang mesti diperkukuhkan.


SINAR HARIAN ONLINE: Mungkin Dr boleh berkongsi isu-isu lain yang akan dibincangkan atau diketengahkan dalam agenda persidangan kali ini?

DR KHAIRUDDIN: Antaranya muktamar menyentuh pengukuhan dalam organisasi Dewan Ulama,  tentang isu-isu semasa permasalahan umat melibatkan ekonomi, sosial dan pendidikan, isu pengukuhan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah peranan Dewan Ulama dalam misi Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya dan memenangi PRU13?

DR KHAIRUDDIN: Dewan Ulama bergerak menjelaskan dasar-dasar Parti terutamanya melibatkan konsep Negara Berkebajikan. Dewan Ulma juga membuat penjelasan dalam banyak isu politik semasa yang ditimbulkan terutamanya dalam media. Dewan Ulama juga membuat penjelasan tentang keperluan Tahaaluf Siyaasi sebagai salah satu strategi kemenangan Pas dalam PRU.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana tahap keyakinan Dewan Ulama dengan matlamat boleh menguasai Putrajaya pada PRU13?

DR KHAIRUDDIN: Ahli Pas khususnya Dewan Ulama yakin dengan janji ALLAH dalam al-Quran bermaksud: “ALLAH telah menjanjikan kepada orang yang beriman di kalangan kamu dan beramal soleh, Dia pastikan jadikan mereka pemerintah di bumi ini sebagaimana Dia menjadikan umat sebelum kamu sebagai pemerintah.” Justeru, untuk menjadi pemerintah Pas mesti meningkatkan kualiti keimanannya kepada ALLAH dan menunjukkan urus tadbir berkerajaan yang baik kepada masyarakat Malaysia. Alhamdulillah, Pas sentiasa berusaha menjadi mukmin yang baik. Pas juga telah menunjukkan urus tadbir terbaik di Kelantan dan Kedah. Insya-ALLAH rakyat akan memberi peluang kepada Pas untuk menjadi kerajaan alternatif selepas PRU ke-13.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah Dewan Ulama yakin Pakatan Rakyat boleh membentuk Kerajaan Pusat pada PRU kali ini?

DR KHAIRUDDIN: Insya-ALLAH kita yakin kemenangan bakal diperolehi oleh Pakatan Rakyat dengan syarat kita berjaya menjelaskan dasar-dasar pentadbiran yang telah berjaya dilaksankan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.


SINAR HARIAN ONLINE: Konsep negara berkebajikan yang diperjuangkan Pas, adakah Dewan Ulama berpuas hati dengan dasar itu setakat ini? Adakah usul mengenainya akan dibuat?

DR KHAIRUDDIN: Negara Berkebajikan telah menjadi asas pendekatan semasa Pas untuk menjelaskan prinsip-prinsip pemerintahan dalam Islam. Dewan Ulama bersama menyediakan draf Dokumen Negara Berkebajikan. Daripada Dokumen tersebut dirangka Manifesto Pas untuk PRU13 dan manifesto bersama Pakatan Rakyat. Negara Berkebajikan adalah alternatif terbaik untuk rakyat Malaysia yang dahagakan kebajikan, keadilan dan hak berwarganegara. Rakyat perlu tanpa ragu-ragu memberi mandat kepada Pas bersama Pakatan Rakyat menjadi kerajaan alternatif selepas PRU13.

Tidak ada usul khusus mengenai Negara Berkebajikan tetapi Dewan Ulama akan mengusulkan satu mekanisme “Audit Pentadbiran Islam” melibatkan wakil-wakil rakyat dan kerajaan negeri-negeri yang diperintah oleh Pas.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah di kalangan anggota Pas sendiri memahami sepenuhnya konsep negara berkebajikan?

DR KHAIRUDDIN: Konsep Negara Berkebajikan telah dijelaskan hingga ke akar umbi oleh ahli Dewan Ulama. Bukan sahaja sekarang bahkan sejak dahulu lagi meskipun tak disebut sebagai Negara Berkebajikan. Apabila kita menjelaskan tentang prinsip pemerintahan Islam kita sebenarnya menjelaskan tentang konsep-konsep berkebajikan dalam sebuah negara. Saya yakin semua ahli Pas telah memahami dan mendalami konsep tersebut kerana ahli-ahli Pas yang memahami Islam pasti memahami konsep Negara Berkebajikan.


SINAR HARIAN ONLINE: Majlis syura merupakan badan tertinggi dalam parti. Namun acapkali dalam isu-isu tertentu, ia dikatakan sebagai tidak mampu berperanan dengan baik. Apa komen Dr?

DR KHAIRUDDIN: Majlis Syura Ulama berperanan memastikan parti sentiasa berpegang dengan prinsip dan dasar Islam. Keadaan Pas yang hari ini sentiasa berada di landasan yang benar dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah adalah hasil pemantauan berterusan Majlis Syura Ulama. Majlis Syura Ulama juga berperanan mengemukakan strategi-strategi terkini parti selaras dengan Islam. Tahaaluf Siyasi atau kejasama politik yang menjadi pendekatan terkini Pas menerusi persefahaman bersama Pas, PKR dan DAP dalam pilihan raya adalah hasil ijtihad (usaha) Majlis Syura Ulama. Hasil pendekatan tersebut Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai lima negeri dalam PRU yang lalu dan menjadi kuasa pengimbang yang kuat dalam pentadbiran negara. Majlis Syura Ulma juga berijtihad membenarkan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas. Hasilnya semakin ramai di kalangan bukan Islam yang bersama dengan Pas.


SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyatakan bahawa Pas lebih mengutamakan kuasa. Apa pendirian Dewan Ulama dalam hal ini?

DR KHAIRUDDIN: Dalam Pas, kita mengutamakan pendirian jamei atau pendirian bersama bukan pendirian peribadi. Secara bersamanya kita berusaha mencapai dua matlamat perjuangan yang saya sebutkan di awal tadi iaitu dakwah dan politik. Namun, Isu-isu politik selalu diketengahkan oleh media berbanding isu-isu dakwah Islam. Jadi, isu-isu politik akan dilihat lebih dominasi. Itu hanyalah persepsi hasil kejayaan media mengenengahkan isu.


SINAR HARIAN ONLINE: Tidak cukup dengan itu, bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mengatakan bahawa golongan parasit telah menguasai Pas. Hala tuju Pas katanya telah terpesong dan akhlak Islam tidak lagi menjadi amalan parti, sedangkan elemen itulah yang mendorong beliau menyertai Pas suatu ketika dahulu. Komen Dr?

DR KHAIRUDDIN: Pas tidak akan terpesong dari landasan kerana sentiasa dipantau oleh Majlis Syura Ulama. Dewan Ulama juga bersama-sama kepimpinan parti di pelbagai peringkat sama ada peringkat pusat, peringkat negeri, peringkat kawasan dan cawangan mengatur hala tuju parti agar seiring dengan matlamat yang digariskan. Ahli-ahli Dewan Ulama yang menjadi pimpinan parti di pelbagai peringkat sama ada negeri, kawasan atau cawangan juga akan sentiasa memastikan perjalanan Pas sentiasa di landasan Islam.


SINAR HARIAN ONLINE: Walaupun Presiden Pas mengatakan bahawa hubungan Pas, DAP berlandaskan Tahaaluf Siyaasi, namun banyak pihak terutama di pihak Umno-BN mengatakan hubungan Pas bersama parti komponen Pakatan Rakyat berhadapan dengan masalah dalaman. Sejauh mana dakwaan ini benar?

DR KHAIRUDDIN: Tahaaluf Siyaasi adalah kerjasama politik berasaskan kebajikan dan taqwa untuk menegakkan kebajikan dan keadilan serta menentang kemungkaran politik Barisan Nasional. Ia telah membuahkan hasil yang sangat banyak. Kita berjaya memerintah lima negeri sebelum ini. Kita berjaya mengemukakan urustadbir kerajaan yang baik di negeri-negeri yang Pakatan Rakyat perintah. Kita berjaya menjadi kuasa pendesak yang kuat kepada kerajaan dalam banyak isu. Yang terakhir isu pemasangan kamera AES. Hubungan antara kaum dalam Pakatan Rakyat semakin baik dan menunjukkan tahap kematangan dan keterbukaaan yang tinggi. Ia boleh menjadi model terbaik untuk Malaysia yang berbilang bangsa. Melihat kepada kebaikan yang banyak maka sebarang kekurangan jika ada perlu diperbaiki.


SINAR HARIAN ONLINE: Kerjasama dengan Umno. Apakah Dewan Ulama Pas sedia sebenarnya jika dasar kebangsaan digantikan dengan dasar Islam, namun Umno tidak dibubarkan seperti yang digesa Mursyidul Am?

DR KHAIRUDDIN: Dasar Tahaaluf Siyaasi ialah permuafakatan antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum atas asas “kebajikan dan taqwa”. Maka, sesiapa sahaja yang boleh menerima kebajikan dan keadilan bersama untuk seluruh rakyat Malaysia, maka Pas pasti sahaja bersedia untuk bersama dan Dewan Ulama pasti memperkukuhkannya. Jika Umno bersedia menerima Tahaaluf Siyaasi atas dasar tadi bersama Pakatan Rakyat kita mengalu-alukan.


SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai sayap kanan, Dewan Ulama memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan rakyat umum ke atas Pas dan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di peringkat pusat. Apa yang telah dilakukan oleh Dewan Ulama  setakat ini? Apa yang hendak dilakukan selepas ini dalam membentuk keyakinan di kalangan orang ramai?

DR KHAIRUDDIN: Sejak dulu, Ahli-ahli Dewan Ulama berada di seluruh Malaysia, di negeri-negeri, kawasan-kawasan dan cawangan-cawangan. Mereka bergerak dengan pelbagai identiti dan medium. Sebahagian mereka masuk ke masjid dan surau di samping menyampaikan penerangan di pentas-pentas politik. Sebahagian lagi menjadi pendidik di pelbagai pusat pendidikan. sebahagian mereka menyampaikan pandangan di medium akademik dan pentas perbincangan ilmiyah. Sebahagian mereka menjadi penulis buku, majalah dan makalah. Sebahagian mereka menjadi rujukan ahli masyarakat setempat sama ada di kalangan ahli Pas, Umno dan bukan berparti dalam aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri, kelahiran dan kematian. Sebahagian mereka memanfaatkan aktiviti NGO untuk menjelaskan Islam. Kepelbagaian tugas ahli-ahli Dewan Ulama ini telah berjaya membentuk minda rakyat untuk bersama dengan Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Atas nama rasmi Dewan Ulama, kami mengatur pelbagai program penerangan dasar menerusi pelbagai medium. Kita mengaktifkan laman web ulama http://ulamak.pas.org.my/v2/ yang menjelaskan pelbagai isu semasa. Dewan Ulama mempunyai team media yang sentiasa respon pada isu semasa dalam masyarakat terutamanya isu-isu politik. Kita mengaktifkan kumpulan R&D dengan lebih 40 panel penyelidik pakar yang menjadi tenaga penyelidik universiti.


SINAR HARIAN ONLINE: Melihat pada gambaran umum, bukan Islam masih was-was dengan dasar Pas - dasar negara Islam dan hudud. Dari segi mikro, dari segi kedudukan Dewan Ulama itu sendiri, apakah pandangan Dr? Bagaimana pula dengan isu hudud yang terus diperdebatkan, pandangan Dr?

DR KHAIRUDDIN: Kita perlu melihat dari tiga sudut. Pertama, hudud adalah perundangan untuk umat islam bukan untuk bukan Islam. Ia adalah hak beragama bagi penganut agama Islam. Kebimbangan segelintir bukan islam sebenarnya bukan pada tempatnya. Mereka perlu lebih bimbang kepada jenayah yang berlaku berbanding bimbang terhadap undang-undang untuk menghalang jenayah daripada berlaku.

Kedua, kebimbangan terhadap perundangan jenayah ini di kalangan bukan islam adalah kerana kegagalan Umno yang menjadi tonggak pemerintah negara menjelaskan hakikat perundangan ini kepada seluruh rakyat Malaysia, malah menakutkan bukan Islam dengan hudud. Mereka perlu bertanggugjawab nanti di hadapan ALLAH.

Ketiga, hudud adalah satu perundangan jenayah untuk menangani jenayah berat yang menggugat keharmonian hidup bermasyarakat. Ia melibatkan hukuman untuk pencuri, perompak, pelaku seks luar nikah, merosakkan maruah dengan tuduhan melakukan seks luar nikah dan menghilangkan akal dengan minuman memabukkan. Semua jenayah ini menggugat keharmonian bermasyarakat. Saya yakin tidak ada ahli masyarakat yang rasional yang tidak mahu penjenayah ini dihukum dengan hukuman yang boleh menjadi pengajaran kepada orang lain.

Hasil penjelasan sebegini, maka hari ini semakin ramai bukan Islam yang semakin “mesra” dengan perundangan ini. Malangnya Barisan Nasional yang dipimpin oleh Umno tidak bersedia mengambil tanggungjawab penerangan ini kepada bukan Islam. Sekiranya Pakatan Rakyat menjadi pemerintah pusat dan mempunyai kuasa media yang dimanfaatkan untuk penjelasan yang baik berkenaan hudud, rakyat bukan Islam pasti lebih ramai lagi yang mesra hudud.


SINAR HARIAN ONLINE: Kajian Umcedel mengatakan bahawa orang bukan Islam mula memahami dan menerima kewujudan hukum hudud. Pandangan Dr?

DR KHAIRUDDIN: Alhamdulillah, itu adalah hasil penerangan berterusan Pas dan juga sikap terbuka majoriti pimpinan Pakatan Rakyat terhadap hudud yang dipamerkan di khalayak publik. Justeru itu, Pakatan Rakyat lebih layak memerintah berbanding Barisan Nasional.


SINAR HARIAN ONLINE: Berkenaan dengan soal calon dan kerusi untuk anggota Dewan Ulama. Peratus kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang akan diperuntukkan kepada ahli Dewan Ulama? Keputusan akhir sudah dicapai?

DR KHAIRUDDIN: Calon-calon pilihan raya selalunya diangkat oleh rakyat setempat di kalangan pemimpin setempat. Mana-mana ulama yang menjadi pemimpin setempat di kawasannya pasti sahaja dicalonkan sebagai calon pilihan raya. Ahli-ahli Dewan Ulama telah dicalonkan di banyak Dun dan Parlimen berdasarkan kewibawaan mereka memimpin. Jumlah sebenarnya nanti akan diketahui apabila pengumuman rasmi dibuat. Ulama tidak meminta jawatan dan amanah kerana Nabi SAW bersabda: ‘Kami tidak melantik urusan ini (urusan pemerintahan) kepada orang yang meminta dan mahukannya”. Namun, Kita menerima amanah apabila diberi dan berusaha melakukan yang terbaik demi Islam.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejak dua tiga bulan lalu, Pas berhadapan dengan cabaran besar. Ini berkaitan dengan keanggotaan Pas dalam Pakatan Rakyat khususnya kerjasama dengan DAP. Apakah pandangan Dr selaku SU Dewan Ulama? Adakah ini dilema Pas atau ujian menghadapi landskap politik baru di Malaysia.

DR KHAIRUDDIN: Dewan Ulama bersama kepimpinan tertinggi parti bukan sahaja bersetuju malah berkempen menjelaskan kelebihan Tahaaluf Siyasi atau kerjasama politik. Tahaaluf Siayasi adalah pendekatan terbaik untuk mengemukakan kerajaan alternatif kepada rakyat Malaysia. DAP adalah salah satu parti dalam persefahaman Pakatan Rakyat hasil dari Tahaaluf Siyasi. Dewan Ulama menegaskan dalam konteks pilihan raya undi mesti diberikan kepada calon-calon pilihan raya di kalangan Pakatan Rakyat termasuk DAP untuk memaksimumkan kemenangan Pakatan Rakyat dan sekali gus memaksimumkan kemenangan Pas.


SINAR HARIAN ONLINE: Malah ada pandangan mengatakan Pas harus menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat. Apa komen Dr? Antara Pas, DAP dan PKR, parti mana harus jadi parti dominan?

DR KHAIRUDDIN: Ahli-ahli Pas adalah dominan dalam Pakatan Rakyat. Pas mengajak seluruh rakyat Malaysia menyokong calon-calon pilihan raya Pas untuk memaksimumkan dominasi Pas dalam Pakatan Rakyat. Kita mengajak ahli-ahli Umno bersama dengan Pas untuk mengukuhkan lagi dominasi Pas dalam Pakatan Rakyat.