logo muktamar
.
SHAH ALAM - Kepimpinan Dewan Ulama menegaskan, Pas sebuah parti yang sentiasa mengutamakan pendirian bersama dalam perjuangannya sama ada berpolitik mahu pun gerak-geri dakwah Islamiah, malah "tidak pernah tergelincir dari landasan."

Sehubungan itu jelas Setiausaha Dewan Ulamanya, Dr Khairuddin A. Razali, parti itu kelihatan lebih mementingkan kuasa apabila berita-berita mengenai aktiviti politik sahaja yang sering dipaparkan oleh media.

"Secara bersamanya kita berusaha mencapai dua matlamat perjuangan yang saya sebutkan di awal tadi iaitu dakwah dan politik. Namun, isu-isu politik selalu diketengahkan oleh media berbanding isu-isu dakwah Islam.

"Jadi, isu-isu politik akan dilihat lebih dominasi. Itu hanyalah persepsi hasil kejayaan media mengenengahkan isu," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian Online.

[Layari wawancara penuh dengan klik di sini]

Khairuddin menjawab persoalan yang diajukan sejauh mana benar dakwaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bahawa parti itu kini dilihat lebih mementingkan hasrat menuju ke Putrajaya berbanding perjuangan asalnya untuk memartabatkan agama Islam.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, Pas tidak pernah tergelincir dari landasan parti itu kerana pergerakannya dipantau secara langsung oleh Majlis Syura Ulama yang berperanan dalam memutuskan gerak kerja dan perjalanan parti itu.

Bahkan katanya, siri dakwaan bahawa Majlis Syura tidak berperanan adalah tidak benar kerana Majlis Syura sentiasa berpandukan al-Quran dan sunnah.

"Dewan Ulama juga bersama-sama kepimpinan parti di pelbagai peringkat sama ada peringkat pusat, peringkat negeri, peringkat kawasan dan cawangan mengatur hala tuju parti agar seiring dengan matlamat yang digariskan.

"Ahli-ahli Dewan Ulama yang menjadi pimpinan parti di pelbagai peringkat sama ada negeri, kawasan atau cawangan juga akan sentiasa memastikan perjalanan Pas sentiasa di landasan Islam," jelas beliau lagi.

Parti Islam itu juga dikecam pelbagai pihak dalam hubungan kerjasama politiknya dengan parti komponen Pakatan Rakyat, DAP dan PKR sehingga dikatakan dikuasai oleh golongan parasit.

Hala tuju Pas dikatakan terpesong dari akhlak Islamiah oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, kerjasama antara Pas, PKR dan DAP yang dipanggil Tahaaluf Siyasi, hakikatnya telah membuahkan banyak hasil.

Meskipun dikatakan wujud persengketaan dan masalah dalaman yang sukar dirungkaikan, namun menurut Khairuddin, Pas sentiasa menjalin "kerjasama politik berasaskan kebajikan dan taqwa untuk menegakkan kebajikan dan keadilan serta menentang kemungkaran politik Barisan Nasional."

"Ia telah membuahkan hasil yang sangat banyak. Kita berjaya memerintah lima negeri sebelum ini. Kita berjaya mengemukakan urus tadbir kerajaan yang baik di negeri-negeri yang Pakatan Rakyat perintah.

"Kita berjaya menjadi kuasa pendesak yang kuat kepada kerajaan dalam banyak isu. Yang terakhir isu pemasangan kamera AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik).

"Hubungan antara kaum dalam Pakatan Rakyat semakin baik dan menunjukkan tahap kematangan dan keterbukaaan yang tinggi. Ia boleh menjadi model terbaik untuk Malaysia yang berbilang bangsa," jelasnya lagi.