Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, October 6, 2011

Keimanan benteng kukuh hindar diri daripada syaitan


SYAITAN ialah musuh manusia sepanjang hayat. Peringatan ini dinyatakan Allah dalam al-Quran mendedahkan sumpah syaitan ingin memperdayakan manusia supaya dimasukkan bersama ke dalam neraka.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya bermaksud mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6)
Syaitan tidak menetapkan siapa menjadi musuhnya dan tidak seorangpun terlepas daripada digoda syaitan. Hanya mereka memiliki tahap ketakwaan dan keimanan tinggi sukar dipengaruhi oleh syaitan.
Untuk menghasut manusia yang memang sudah berperangai seperti syaitan, maka syaitan yang ditugaskan adalah yang berkedudukan rendah. Tugas itu mudah kerana dengan sedikit bisikan, manusia mudah terpengaruh. Malah, perbuatan jahat sudah jadi kebiasaan.
Syaitan bijak menjalankan niat jahat malah syaitan diberi kelebihan oleh Allah dapat hidup lama. Jadi, syaitan mempunyai pengalaman luas menyesatkan manusia sejak dari satu generasi ke satu generasi.
Namun, manusia beriman tidak mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan selagi berpegang kepada al-Quran dan hadis. Biar apapun tipu daya dilakukan syaitan, keimanan menjadi benteng yang kukuh menghindarkan diri menjadi hamba syaitan.
Sesungguhnya tidak ada kebaikan yang diperoleh daripada janji syaitan yang membawa kesesatan dan keburukan. Bagaimana janji syaitan dapat membawa kepada kebaikan, sedangkan syaitan itu sendiri sudah sesat dan dijanjikan pembalasan pedih di akhirat nanti.
Allah berfirman yang bermaksud: “Syaitan itu memberi janji dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipu daya belaka.” (Surah an-Nisa, ayat 120)
Antara tipu daya syaitan paling berkesan ialah usia. Syaitan berjaya mempengaruhi kebanyakan orang muda untuk melakukan perbuatan ditegah. Faktor usia dan kecetekan pengalaman hidup menjadikan golongan muda mudah terpengaruh hasutan syaitan.
Syaitan mempengaruhi golongan muda melakukan perkara menyeronokkan berbentuk maksiat, melalaikan dan kebebasan menjadi ikutan golongan muda. Alasannya, usia muda hanya sekali dan rugi jika melepaskan peluang itu.
Masa muda sepatutnya diisi dengan menuntut ilmu dan mempersiapkan diri menghadapi alam dewasa penuh cabaran. Masa depan negara dan ummah bergantung kepada golongan muda hari ini. Jika rosak golongan muda hari ini, maka hancurlah negara pada masa depan.
Golongan muda perlu ditarbiah dan dibina jati diri supaya terhindar pengaruh syaitan. Ketika muda inilah peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk menuntut ilmu, mempersiapkan diri dengan kemahiran dan membina kekuatan diri.
Mereka yang terpengaruh ajakan syaitan hendaklah sedia bertaubat dan berusaha mengelak daripada terjebak hasutan dengan melakukan suruhan Allah. Malang bagi mereka yang terus lalai dan dilembutkan hatinya menurut ajakan syaitan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisa, ayat 60)

No comments:

Post a Comment

ampuni kami