Perundangan Islam termasuk hudud yang menjadi polemik di kalangan sesetengah pihak sekarang sebenarnya bukan perkara baru, malah ia sudah dilaksanakan di Kelantan pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.
Ketika itu sudah ada hukuman rejam bagi kesalahan zina dan potong tangan pesalah yang didapati mencuri.
Malah pada zaman awal kegemilangan Islam di Kelantan, hukuman mencuci kolah dikenakan bagi kesalahan kecil sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Menurut banyak catatan dalam sejarah lama Kelantan hasil pelaksanaan hukum tersebut kehidupan rakyat aman dan damai.
Maka tiada sebab ada pihak menolak pelaksanaan hukum tersebut terutamanya pemimpin-pemimpin politik yang mengaku beragama Islam.
Bagi Gabungan NGO Kelantan (GNK) kenyataan pelbagai pihak mengeksploitasikan hukum hudud dilihat semata-mata bermotifkan politik sempit.
Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Dr Abdul Halim Yusof berkata, sikap kurang bertanggungjawab dalam menangani isu hudud cukup membimbangkan di mana ia menjadi tajuk utama media arus perdana kebelakangan ini.
“Menginsafi hakikat bahawa Islam adalah al-din yang mesti diterima secara menyeluruh dari segi aqidah dan syariatnya, pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab agama.
“Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam dan berimankan al-Quran, kita tidak mempunyai pilihan selain daripada patuh menerima hukum-hakamNya.
“Dan mengakui bahawa ia adalah hukum terbaik dan teradil tanpa sebarang berdolak-dalihk lagi,” katanya di sini.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) dilulus di persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 selepas digubal melibatkan pakar tempatan dan luar negara.
Bagaimanapun perundangan Islam tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan pusat, lebih-lebih ada surat amaran daripada Perdana Menteri.
Dr Abdul Halim berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan Kelantan dan kalangan ilmuan Islam secara konsisten memberi penerangan mengenai hukum hudud kepada rakyat.
Katanya, kefahaman rakyat secara lebih jelas penting bagi membolehkan pelaksanaannya dibuat secara bijaksana dan memberi keadilan kepada masyarakat.
Oleh itu beliau menyarankan semua pihak termasuk pemimpin politik, gerakan sivil, rakyat dan media alternatif memberikan sepenuh perhatian terhadap isu tersebut.
Selain itu katanya juga penggemblengan tenaga semua pihak bagi menuntut pelaksanaan pilihanraya umum ke-13 lebih adil dan telus perlu diteruskan.
“Janganlah kita mudah teralih arah jika terdapat isu-isu yang cuba ditimbulkan pihak-pihak tertentu.
”Isu hudud dipolemik dalam suasana setiap kali datangnya musim pilihanraya. Ia juga berlaku dalam suasana pembongkaran satu demi satu bukti penyelewengan pengendalian pilihanraya termasuk pendaftaran pengundi yang meragukan,” ujarnya.
Menurutnya kewujudan pengundi berganda, undi pos dan terdedahnya pemberian kewarganegaraan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi begitu membimbangkan
No comments:
Post a Comment