SEJAK akhir-akhir ini kita mendengar pelbagai keluhan serta rungutan terutama dari golongan remaja mengenai masalah yang dihadapi sehingga mereka tidak dapat meneruskan kehidupan sebagai manusia normal.
Malah, ada kala terlintas di sudut hati untuk menghabiskan riwayat mereka bagi menyelesaikan semua masalah yang membelenggu kehidupan.
Tidak kurang pula yang mempersoalkan keadilan Allah SWT terhadap hamba-Nya dan berasakan bahawa dialah orang paling disisihkan Allah SWT sehingga menghilangkan rasa yakin dalam dirinya dengan segala ketentuan Ilahi.
Setiap ciptaan dari makhluk mempunyai kedudukan yang tersendiri di sisi Allah SWT. – Surah As-Saffat, Ayat 164
Sifat ini dirakamkan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan sememangnya manusia adalah sejenis makhluk yang banyak protes dan bantahan mereka.” (Surah Al-Kahfi, ayat 54)
Sebagai mukmin sebenar, mereka mestilah yakin setiap kurniaan Allah SWT sama ada nikmat atau ujian adalah satu kebaikan buat seseorang individu. Setiap insan mempunyai keperluan tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah SWT demi kebaikan mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setiap ciptaan dari makhluk mempunyai kedudukan yang tersendiri di sisi Allah SWT.” (Surah As-Saffat, ayat 164)
Hadis dari Jabir Bin Abdillah menyebut: “Tidak wajar bagi seseorang itu meninggal melainkan dia sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT.” (Hadis riwayat Muslim). Baginda juga menyebut yang bermaksud: “Allah SWT sentiasa memerhatikan prasangka seorang hamba terhadap segala kurniaan-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Penjelasan daripada Allah SWT sudah cukup untuk kita fahami segala ketentuan Allah SWT dan betapa bahaya mereka yang bersangka buruk terhadap-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setelah kamu ditimpa kesedihan, dia (Allah) menurunkan rasa aman dan tenang kepadamu. Ada golongan yang telah mencemaskan diri mereka sendiri kerana prasangka buruk terhadap Allah SWT seperti sangkaan orang jahiliah dulu di mana mereka berkata: Adakah ada sesuatu di sebalik urusan ini. Apa maknanya semua ini? Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya segala urusan itu di tangan Allah SWT.” (Surah Al-Imran, ayat 154)
Peristiwa perang Uhud juga menceritakan perihal mereka yang binasa akibat prasangka dengan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu (orang Musyrikin) menyangka bahawa Rasul dan orang mukmin sekali-kali tidak akan kembali ke pangkuan keluarga mereka buat selamanya sedangkan keindahan dan ketenangan itu berada di hatimu dan kamu berprasangka buruk. Sebab itulah kamu mendapat kebinasaan.” (Surah Fath, ayat 12)
Segala yang diberikan semuanya tertulis dan menunggu bagaimana tindakan kita terhadap apa diputuskan Allah SWT.
Ada kala musibah yang datang menimpa adalah daripada kesilapan tindakan kita sendiri dan hendaklah diterima sesuatu kenyataan itu dengan dada terbuka.
Justeru, hendaklah menerima apa yang dikurniakan Allah SWT sama ada nikmat atau sebaliknya dengan berlapang dada serta berdoa supaya diberi kekuatan menghadapinya. Mereka yang dikasihi Allah akan ditimpa ujian dan musibah untuk menambahkan ganjaran pahala buat mereka.
No comments:
Post a Comment