Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, June 9, 2011

Ulamak bersatu hadapi isu Islamofobia

SHAH ALAM, 9 Jun: Hari terakhir Muktamar Ulamak Sedunia di sini yang berlangsung bermula 6 hingga 8 Jun menggesa seluruh ulamak bersatu bagi menghadapi isu Islamofobia

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama' Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin dan Setiausahanya, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid menyertai muktamar itu dan menghantar laporan ke sini bagi mengemaskinikan maklumat kepada umat Islam di Malaysia.


Menurut Azmi, di peringkat antarabangsa propaganda terhadap imej Islam perlu segera dinilai kerana Barat sedang memberi kesan yang negatif terhadap Islam dan ini penting  agar realiti umat tidak disalahgambarkan dengan fitnah jahat kuasa Barat.

“Ulamak perlu bersama umat bukan hanya dalam masjid semata, Ulamak perlu turun beraksi di lapangan rakyat supaya kefahaman Islam pada peringkat dalaman dapat disampaikan secara mantap dalam kalangan umat Islam sendiri sebelum menangani persoalan imej yang cuba digambarkan dari luar.

“Isu tidak membenarkan kaum Muslimah memakai hijab, menayangkan filem yang menggambarkan fitnah terhadap Rasul, pembatalan projek Pusat Islam dan tidak membenarkan pembinaan masjid adalah antara isu yang menterjemahkan sikap Islamofobia Barat, tegas Azmi.

Dalam muktamar sama, Ustaz Abdul Ghani membentangkan bagaimana Rasulullah SAW menegaskan Islam agama tertinggi dan ulamak bertanggungjawab  mempertahankan kesatuan sosio, ekonomi  dan politik umat demi menjamin imej umat sebagai umat terbaik.

Beliau turut mengupas masalah umat yang dijajah kerana ada pemimpin Islam sendiri yang menyalahguna kuasa dan bersikap korup di Negara Islam.

Ustaz Abdul Ghani juga menegaskan ada kalangan umat yang menolak Islam sebagai penyelesaian dan ada yang memilah-milah Islam dalam pemikiran dan amalan kerana itu, ulamak perlu mengukuhkan kesatuan politik dan ekonomi serta ketenteraan dalam kalangan umat melalui  fikrah yang betul terhadap Islam.

Dari sudut status sosio-ekonomi, beliau menyatakan ulamak perlu berwaspada supaya perpecahan dan penyelewengan dapat dibenteras kerana konflik sesama ulamak dan umat akan merugikan bukan sahaja umat Islam akan tetapi juga seluruh manusia.

Dalam hal kepimpinan, beliau menegaskan perlu diusahakan pemulihan keyakinan umat terhadap para pemimpin dan ulamak. Isu hilangnya keyakinan umat terhadap kebanyakan pemimpin dan ulamak kini  amat serius.

Di samping itu, beliau juga mencadangkan semua sumber media dan para seniman dilibatkan dalam menghadapi isu Islamofobia.

“Seluruh pihak dalam kalangan ulamak, ahli profesional, aktivis NGO dan ahli politik, ahli budayawan hendaklah digemblengkan dengan efektif untuk mempertahankan maruah Islam.

“Amat perlu diwujudkan Pusat Penyelidikan yang berkesan untuk memantau pelbagai isu yang dihadapi oleh umat di peringkat antarabangsa dan menggariskan agenda bertindak yang perlu diambil.

“Wajar digerakkan program latihan yang mantap dalam pelbagai bidang untuk para ulamak menghadapi pelbagai cabaran global; kemahiran pengurusan, komunikasi  dan keupayaan mengendalikan isu umat, perlu dilaksanakan untuk menyiapkan umat mengendali pelbagai isu global,” tegasnya

No comments:

Post a Comment

ampuni kami