Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, June 2, 2011

GOLONGAN AL-ASYA'IRAH IALAH GOLONGAN AHLI SUNNAH WAL JAMA'AH

Definisi Ahli Sunnah wal Jama'ah

Golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah ialah golongan yang menganut i'tiqad yang dianuti oleh Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam dan sahabat-sahabatnya. I'tiqad ini telah termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.


Mazhab al-Asya'irah

I'tiqad yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah kemudiannya dikumpulkan dan dirumuskan oleh ulama' Usuluddin terbesar, Syeikh Abu al-Hasan Ali al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu (260H-324H). Oleh kerana itu, golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah disebut sebagai golongan al-Asya'irah (kalimah jama' daripada kalimah Asy'ari) yang dikaitkan dengan Abu Hasan al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu.

Beliau bukanlah orang yang pertama yang bercakap dengan lisan Ahli Sunnah, tetapi beliau merupakan pendukung dan penolong mazhab yang dikenali dalam kalangan salaf as-Soleh dan menambah hujah tanpa mendatangkan rekaan baru dan mazhab tersendiri. Beliau menyusun kaedah-kaedah aqidah Ahli Sunnah dan menulis dalil-dalilnya.

Berita gembira daripada Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam

Terdapat berita gembira yang dibawa oleh Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam mengenai kehadiran imam Abu Hasan al-Asy'ari sebagaimana yang terdapat dalam hadith al-Asy'ariyyin. Antaranya Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

أتاكم أهل اليمن، هم أرق أفئدة، وألين قلوبا، الإيمان يمانن، والحكمة يمانية

"Telah datang kepada kalian penduduk Yaman, mereka ialah orang yang mempunyai perasaan kasih, hati yang lembut, keimanan dan hikmah (berada) di Yaman".
[Diriwayatkan oleh al-Bukhari (4127) dan Muslim (52)]

Di dalam hadith lain, Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

يقدم قوم هم أرق أفئدة منكم

"Akan datang suatu kaum, mereka mempunyai hati yang lembut dalam kalangan kamu".


Selepas Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam mensabdakan hadith tersebut, datang kaum al-Asy'ariyyun dari Yaman, seorang antara mereka ialah Abu Musa al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu (nenda Abu Hasan al-Asy'arirodhiallahu 'anhu)

Di dalam hadith menyatakan, selepas diturunkan ayat al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 54:


فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ

"Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasih kepada mereka dan mereka kasih kepada Nya (Allah)".


Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda sambil tangannya menepuk belakang Abu Musa al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu. "Mereka ialah kaum ini".

Dapat ditegaskan di sini bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallammenegaskan bahawa kaum Abu Musa al-Asy'ari rodhiallahu 'anhumerupakan kaum yang dikasihi Allah dan mereka mengasihi Allah kerana mengetahui kesohihah dan keyakinan mereka. Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu adalah berasal daripada kaum Abu Musa al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu dan dalam kalangan keturunannya yang dikurniakan limpahan ma'rifah dan rezeki memahami sesuatu ilmu, mendukung sunnah Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam, menghancurkan bid'ah, menegakkan hujah dan menolak kesamaran.

Antara kesimpulan yang telah dibuat ialah ulama menyatakan bahawa hadith-hadith berunsur isyarat ini sebenarnya memberitahu berita gembira mengenai kedatangan Abu Hasan al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu.

Kaedah-kaedah Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari rodhiallahu 'anhudalam menyusun ilmu Tawhid.
Keistimewaan Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu dalam menegakkan fahamannya adalah beliau mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah. Kemudian barulah pertimbangan akal. Berbeza dengan kaum Mu'tazilah yang mendasari fikiran mereka kepada akal dan falsafah dari Yunani dan Greek dalam membicarakan ilmu Usuluddin.

Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari rodhiallahu 'anhu juga berbeza dengan golongan Mujassimah (beri'tiqad Allah berjisim) dan Musyabbihah (beri'tiqad Allah serupa dengan makhluk) yang mana mereka itu (Musyabbihah dan Mujassimah) berpegang  zahir makna ayat al-Quran dan al-Hadith berkenaan ayat Mutasyabihat yang tanpa memahami i'tiqad Tanzih (Maha Suci Allah) dan Tafwidh (Allah Maha Mengetahui makna sebenar) dengan sebenar-benarnya

No comments:

Post a Comment

ampuni kami