Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, June 2, 2011

SABDA RASULULLAH S.A.W. MENGENAI GOLONGAN UMAT ISLAM


Dalam sejarah Islam telah tercatat bahawasanya ada beberapa firqah (golongan) dalam lingkungan umat Islam, yang antara satu sama lain amat jelas dan nyata perbezaannya.

Sesiapa yang membaca kitab-kitab Usuluddin akan mendapati di dalamnya beberapa firqah-firqah. Antaranya ialah Ahlussunnah wal Jama’ah, Mu’tazilah, Qadariyah, Jabariyah, Syiah, Mujassimah, Bahaiyah, Ahmadiyah dan sebagainya.

Banyak hadith-hadith yang membicarakan akan adanya firqah-firqah yang berselisihan fahaman sesama umat Islam.


Hadith pertama

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam:

“Maka bahawasanya sesiapa yang hidup (lama) selepasku daripada kalangan kamu, nescaya akan melihat perselisihan (fahaman) yang banyak. Ketika itu pegang teguhlah Sunnahku dan Khalifah ar-Rasyidin yang diberi hidayah.Berpegang teguhlah dan gigitlah dengan gerahammu.”

[Hadith riwayat Imam Abu Daud dan lain-lain. Lihat sunan Abu Daud m/s 201]



Hadith kedua

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam :

“Akan ada dalam lingkungan umatku 30 orang pembohong dan mendakwa bahawa dia adalah Nabi. Aku adalah Nabi penutup, tidak ada lagi Nabi sesudahku”.

[Hadith riwayat Tirmidzi. Lihat Sahih Tirmidzi juzu’ 9 m/s 63]


Hadith ketiga

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam :

“Ada dua firqah dari umatku yang pada hakikatnya mereka tiada sangkut paut dengan Islam, iaitu kaum Murji’ah dan Qadariyah”.

[Hadith riwayat Imam Tirmidzi.]


Hadith keempat 

Daripada Hudzaifah r.a., beliau berkata : Telah bersabda RasulullahSollallahu ‘alaihi wa sallam :

“Bagi tiap-tiap umat ada majusinya, dan majusi umat aku adalah orang yang mengingkari takdir. Kalau mereka mati jangan hadir pengkebumiannya dan kalau mereka sakit jangan dijenguk. Mereka adalah kelompok dajjal. Memang Allah berhak memasukkan mereka dalam kelompok dajjal.”

[Hadith riwayat Abu Daud, Sunan Abu Daud]


Hadith kelima

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Telah berfirqah orang yahudi diatas 71 firqah dan orang nashara seperti itu juga, dan akan berfirqah umatku diatas 73 firqah”

[Hadith riwayat Imam Tirmidzi.]


Hadith keenam 

Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Bahawasanya Bani Israil telah berfirqah sebanyak 72 millah (firqah) dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya masuk neraka kecuali satu.”

Sahabat-sahabat mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?”

Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam menjawab:

“Yang satu itu ialah orang yang berpegang (beri’tiqad) sebagai peganganku (I’tiqadku) dan pegangan sahabat-sahabatku”.

[Hadith riwayat Imam Tirmidzi]


Hadith ketujuh

Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Demi Tuhan Yang Memegang jiwa Muhammad ditangan(kuasa) Nya, akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah yang satu masuk syurga dan yang lain masuk neraka”.

Bertanya para sahabat:

“Siapakah firqah (yang tidak masuk neraka) itu Ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab sollallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,

“Ahlussunnah wal Jama’ah”.

[Hadith riwayat Imam Thabrani]


Hadith kelapan

Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Akan ada segolongan dari umatku yang tetap diatas kebenaran sampai hari kiamat dan mereka tetap atas kebenaran itu”.

[Hadith Sahih riwayat Bukhari]

No comments:

Post a Comment

ampuni kami