Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, June 16, 2011

DNA Babi dalam sos makanan

KUALA LUMPUR, 16 Jun:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan merasa bimbang
dengan pendedahan sejak akhir-akhir ini mengenai pelbagai produk makanan
yang digunakan dengan meluas oleh umat Islam mengandungi DNA babi.Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata,
terbaru pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendedahkan
keputusan oleh Jabatan Kimia Malaysia yang menguji sampel produk HP
Sauce dan Tabasco Pepper Sauce mengesahkan terdapat asid
deoksiribonukleik (DNA) babi di dalamnya.
Laporan akhbar hari ini menyatakan semua pemegang dan pemohon baru
Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper
Sauce diarah menukarkannya kepada produk lain yang memiliki sijil halal
berikutan penemuan DNA babi dalam produk berkenaan.
“Bagi umat Islam, sebarang isu yang berkaitan persoalan halal haram
perlu diambil serius, kerana ia sesuatu yang amat sensitif kepada
mereka,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
CAP juga, ujarnya menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dengan
menguji sampel produk berkaitan dengan sos selain daripada jenama
berkenaan memandangkan begitu banyak sos yang dikeluarkan dalam negara
atau pun dari luar negara.
Beliau menambah, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana sos
digunakan di dalam banyak bahan masakan di rumah dan juga di kedai,
restoran dan gerai-gerai makanan terutamanya dalam makanan ala Barat.
Menurutnya lagi, melalui pembangunan teknologi makanan, pemprosesan
makanan menjadi semakin kompleks dan pengguna juga mempunyai pelbagai
makanan yang diproses untuk dipilih dan keadaan itulah yang mendedahkan
pengguna kepada pelbagai jenis makanan yang mungkin mengandungi bahan
haram.
Oleh sebab itu, tegasnya CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya menarik balik dengan
segera penjualan dua produk itu yang dijual di Malaysia.
“CAP menggesa rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menghentikan
segera pengambilan sos sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim,”
ujarnya.
Pengguna juga, katanya perlu mengelak daripada mengambil produk
Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage kerana Sijil
Pengesahan Halal telah ditarik balik.
Sehubungan itu, ujarnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan mestilah dengan segera mengambil tindakan
untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu
yang serius dan memerlukan tindakan segera

No comments:

Post a Comment

ampuni kami