Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Monday, June 20, 2011

Antara Punca saudara baru Murtad

BILANGAN mereka yang murtad di negara kita didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa. Walaupun tanpa perangkaan rasmi berhubung perkara ini tetapi berdasarkan kejadian sejak mutakhir ini menunjukkan gejala riddah sudah berada pada peringkat agak membimbangkan.
Tindakan murtad sebenarnya bukan perkara baru di negara kita. Ia telah berlaku untuk suatu tempoh masa yang lama. Mungkin kejadian murtad membabitkan umat Islam baru sahaja berjaya dikesan tetapi ia telah lama berlaku di kalangan saudara baru. Tetapi kejadian murtad melibatkan saudara baru ini tidak menimbulkan kekecohan kerana ia dianggap sebagai suatu perkara biasa.
Namun begitu, masalah murtad di kalangan saudara baru tidak perlu dipandang ringan kerana kesan buruk akan turut dihadapi oleh umat Islam secara keseluruhannya. Malahan ia tidak seharusnya dibiarkan berlaku dan dilakukan oleh saudara baru. Justeru itu, satu pendekatan yang sistematik dan berkesan perlu diambil bagi menghalang pihak saudara baru ini daripada terus kembali kepada agama asalnya.
Tetapi sebelum itu, punca dan faktor penyebab seseorang saudara baru itu murtad perlu diperhalusi sebelum langkah susulan dapat diambil untuk membendungnya. Kita mungkin merasa hairan dan pelik bagaimanakah seseorang saudara baru boleh bertindak keluar daripada agama Islam. Walhal untuk memeluk agama Islam di negara kita tidak semudah seperti mana yang disangkakan.
Selain daripada terpaksa berdepan dengan karenah birokrasi dan proses yang rumit, mereka juga menghadapi pelbagai masalah dan rintangan. Di samping menghadapi tindakan daripada keluarga, saudara baru juga menghadapi masalah kejutan budaya dan kehilangan identiti diri. Oleh itu, para mereka perlu dibantu dan diberikan sokongan moral untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran hidup baru.
Apa yang berlaku adalah di sebaliknya, saudara baru ini kadangkala dipandang serong oleh umat Islam sendiri disebabkan perbezaan bangsa, budaya, bahasa dan warna kulit. Kehadiran mereka tidak begitu diterima dan dialu-alukan oleh masyarakat Islam yang lain khususnya kepada mereka yang masih mahu mengekalkan identiti dirinya. Tidak kurang saudara baru yang kecewa dengan keadaan ini.
Golongan ini bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada umat Islam tetapi dibiarkan hidup tersisih. Apa yang mereka pelajari tentang Islam jauh berbeza dengan hakikat yang terpaksa mereka hadapi. Persaudaraan yang ditekankan oleh Islam tidak membezakan penganutnya. Setiap umat Islam adalah bersaudara dan kemuliaan sebenar atas dasar keimanan, ketaqwaan serta ketinggian akhlak.
Tetapi kewujudan saudara baru ini dianggap sebagai satu kelompok individu asing, terpisah daripada umat Islam lainnya. Mereka diberikan pelbagai gelaran dan panggilan mendiskriminasikan mereka dengan umat Islam lain. Sama ada disedari ataupun tidak menyebabkan perasaan rendah diri di kalangan saudara baru semakin membesar dan kuat mencengkam sanubari mereka. Akhirnya mereka akan bergaul dan bercampur sesama mereka sendiri menyebabkan integrasi serta komunikasi mereka dengan umat Islam lain agak terputus.
Apabila ini berlaku, ia menyebabkan seseorang saudara baru itu mudah hanyut dan membawa haluan diri masing-masing. Umat Islam seharusnya membimbing, memandu dan memimpin mereka supaya aqidah yang baru bertunas itu dapat bertapak serta membentuk tapak yang kukuho di dalam hati mereka.
Seseorang saudara baru dibiarkan tanpa usaha susulan untuk membantu dan membimbingnya akan menyebabkannya mudah hanyut dibawa oleh arus perubahan serta perkembangan persekitarannya. Ada di antara mereka masih lagi beragama Islam tetapi mengamalkan cara hidup yang tidak Islamik. Bagi yang kecewa dan putus asa dengan keadaan dirinya akan mengambil tindakan yang lebih nekad iaitu keluar daripada agama Islam.
Sesetengah kes murtad yang membabitkan saudara baru ini berpunca daripada masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi. Ada di antara saudara baru ini memeluk agama Islam kerana mahu berkahwin dengan gadis atau lelaki Islam. Sekiranya pasangan yang dipilihnya mempunyai latar belakang agama yang baik maka ia mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah kerana suami atau isterinya boleh membimbing pasangannya.
Tetapi masalah mungkin timbul apabila pasangan saudara baru itu gagal melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya. Kekecewaan dan masalah yang dihadapinya akan menyebabkan seseorang itu mudah hilang pertimbangan tidak terkecuali para saudara baru yang masih lagi terkapai-kapai mencari arah hidup sebagai seorang Islam. Walaupun dari segi nawaitunya tidak begitu sempurna tetapi pengIslaman kerana faktor perkahwinan perlu diterima dengan hati yang terbuka dan disusuli pula dengan usaha-usaha pemantapan aqidah.
Sekiranya ini dapat dilakukan oleh semua pihak yang dipertanggungjawabkan termasuk umat Islam sendiri, maka gejala riddah dapat di atasi dengan sebaiknya. Walauapapun alasan seseorang itu untuk memeluk agama Islam, ia tidak seharusnya menimbulkan perasaan prejudis umat Islam terhadap golongan ini.
Dengan penerimaan secara terbuka oleh umat Islam dan kesediaan saudara baru menerima hakikat serta kedudukan mereka sebagai golongan ‘istimewa’, segala masalah membabitkan saudara baru dapat diselesaikan, tidak terkecuali masalah murtad ‘duri dalam daging’ kepada usaha dakwah Islamiyyah di negara kita

No comments:

Post a Comment

ampuni kami