Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, June 30, 2011

Tuan Guru Hj Salleh Musa -Sik berdakwah di Perak (semalam 29.06.2011)














Ummah Berselawat bersama Habib Mahdi bin Abu Bakar Al Hamid Hadramaut ,di Daerah Sik Kedah


Orang kampung perdalaman di Daerah Sik sanggat bersyukur apabila mereka dapat bersama ulama keturunan Rasulullah . 
Kampung Landai adalah Kampung yang terpencil , kawasan perdalaman . 
Mereka sanggat bersyukur apabila Ummah Berselawat sudi membawa Guru Mulia Habib Mahdi sepupu kepada Habib Umar Al Hafid Yaman . 

















Penduduk kampung menaiki lori semata-mata ingin menghadiri majlis mengingati Allah dan Rasul . 




Habib Mahdi Bin Abu Bakar Al-Hamid ziarah Tuan Guru Hj Salleh - Sik Kedah

25 JUN 2011,Habib Mahdi Bin Abu Bakar Al-Hamid
Bersama Habib Umar Al Habsyi  dan beberapa ulama kedah ziarah Tn Guru Hj Salleh sempena program Ummah Berselawat di daerah Sik .





Rumusan Isra' Mikraj Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi

Solat hadiah berharga dekati Allah

PERINTAH menunaikan solat adalah ketetapan daripada Allah. Ia bukannya datang daripada ciptaan atau direka-reka oleh manusia. Sebenarnya jika kita benar-benar fahami dan amati solat itu cukup hebat.

Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya.
Maka di situ cukup terasa kesempurnaan Allah.
Kita boleh minta apa sahaja daripada Allah dan Dia pasti memenuhi permintaan hamba-Nya. Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.
Dalam solat ada ubat, pil, tonik dan vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung.
Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.
Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:
1. Rajin – Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas
Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat. Ia mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.
Di dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita akui Allah Maha Suci, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar.
Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.
Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat.
Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak.
Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak. Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat.
Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.
Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh sifat kemalasan.
Orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.
2. Berjiwa besar
Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertakwa itu, Allah kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya pelbagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.
Apa janji Allah kepada orang mukmin, orang bertakwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya keselamatan, kewangan, kehidupan, kepandaian dan kemenangan.
Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Allah boleh arah mereka bertindak.
Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain.
Orang melihat gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan.
Tetapi dengan melihat orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.
Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan.
Dia tidak boleh tengok orang susah. Apabila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya.
Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya.
Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.
Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar

Kejayaan kekang nafsu bentuk insan terbilang

SEORANG yang memiliki sifat unggul sangat beruntung kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Keadaan itu membuatkan ia dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.
Manusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik-baiknya serta sentiasa dapat memenuhi tuntutan rohani dan jasmani dengan terkawal. Aspek rohani dan jasmani manusia terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat.
Aspek rohani dan jasmani itu akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi.
Akal fikiran diciptakan Allah adalah mahkota berharga yang menampilkan imej manusia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta menyampaikannya kepada orang lain.
Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah serta petunjuk Allah menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian alam dan ajaran yang disampaikan orang lain.
Al-Quran menggesa manusia menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian alam. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudian menemui hakikat kebesaran Allah sebagai Pencipta Maha Agung.
Selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah dengan penuh kesedaran dan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredaan Allah.
Roh dan nyawa komponen utama manusia. Terlalu sulit untuk diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah. Walau demikian, ia amat mustahak kerana dengannya manusia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.
Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang dan anggota pancaindera lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan menyempurnakan antara satu sama lain sesuai dengan kejadian manusia dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian.
Seseorang terdidik dengan nilai unggul, jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja yang baik, rehat dan tidur dengan seimbang, memakan makanan bersih dan halal, menjaga kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudaratan.
Firman Allah yang bermaksud: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan hidup seseorang.
Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia sesuatu yang sukar dikawal. Jika nafsu dapat dididik dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan manusia.
Tetapi jika ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa saja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang yang sudah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).” (Surah Yusuf, ayat 53)
Bagi memenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Justeru, umat manusia akan berkembang dengan cara yang betul di samping sebagai salah satu nikmat kurniaan Allah dalam hidup berkeluarga.
Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang melaksanakan tanggungjawab khususnya kepada diri sendiri bergantung kepada berjaya atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara itu. Aspek ini asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara

Awas daging haram !!!



Wajib Boikot Macdonal !!!
Awas jangan bagi keluarga kita terlibat memakan benda najis dan diharamkan syara !
Tujuan Yahudi adalah untuk merosakkan Islam ...
Tanggungjawab kita untuk sebarkan pada ummat

Wednesday, June 22, 2011

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W


1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam

Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah s.a.w

SECARA umumnya faedah dan maksud terpenting yang dapat dipetik melalui peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.
Di sudut yang lain pula, menzahirkan ketuanan, kemuliaan dan keutamaan kekasih-Nya, Sayyiduna Muhammad SAW berbanding makhluk lain.
Telah thabit melalui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dan di sanalah Baginda menjadi imam kepada sekelian rasul bagi membuktikan keutamaan dan kemuliaannya sebagai penghulu bagi sekelian nabi Allah SWT.
Apabila kita telah mengetahui dan mengakui hakikat tersebut, maka secara tidak langsung kita telah mengikrarkan di dalam diri bahawa kemuliaan Rasulullah itu adalah sentiasa mendahului para rasul yang lain.
Sebarang penghormatan yang dikurniakan ke atas mereka juga adalah terlebih layak dan utama dianugerahkan ke atas Baginda. Maka sesuailah Baginda digelar dengan gelaran penghormatan yang selayaknya dengan kedudukannya sebagai kekasih Allah yang paling agung dalam sejarah umat dan bangsa semenjak kejadian Nabi Adam lagi.
Para ulama yang telah dikurniakan basiroh (pandangan mata hati) oleh Allah telah menyatakan beberapa pendapat yang indah dan menakjubkan berdasarkan peristiwa Baginda diperjalankan ke langit.
Di sisi mereka, perjalanan Baginda ke langit melepasi tingkatan-tingkatan yang ada pada setiap tingkat tersebut para rasul yang mulia bukanlah sekadar melintasi suatu lapisan langit ke satu lapisan yang lain.
Bahkan, ia adalah suatu simbolik ruhiyyah bahawa kemuliaan Baginda itu naik setingkat demi setingkat melebihi kemuliaan para rasul dan nabi yang lain. Demikian juga Baginda naik sehingga ke suatu peringkat yang tidak boleh dinaiki oleh Jibril. Ia bertepatan dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Rasulullah adalah lebih mulia daripada Jibril.
Kewajaran Gelaran Sayyiduna
Di antara cara memelihara adab dengan Baginda ialah dengan menggandingkan namanya dengan sebutan yang mulia seperti Kekasih Allah, Nabi Termulia atau Penghulu yang agung atau menggandingkan nama Nabi dengan lafaz siyadah (ketuanan) seperti Sayyidi atau Sayyiduna yang bermaksud ‘Penghuluku’ atau ‘Penghulu Kami’.
Lafaz penghormatan seumpama ini bukanlah merupakan suatu pelampauan dan berlebih-lebihan dalam memberi penghormatan. Bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik yang telah dipetik oleh ulama-ulama tentang keharusannya melalui firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepadamu dengan kelahiran seorang bayi bernama Yahya sebagai membenarkan kalimah Allah, menjadi Sayyid (penghulu), lelaki yang menahan diri dari menurut runtunan nafsu dan sebagai seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi yang soleh. (al-Maidah: 39 )
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah telah menggelarkan Nabi Yahya sebagai Sayyid. Maka adalah terlebih utama bagi kita menggunakan lafaz ‘Sayyiduna’ atau ‘Tuan’ atas Penghulu Sekelian Rasul iaitu Sayyiduna Rasulullah SAW.
Dalam menguatkan lagi pendapat ini, Sheikh al-Islam al-Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud yang merupakan seorang Sheikh al-Azhar yang terunggul di kurun ini menyatakan di dalam fatwanya yang bermaksud: “Adalah Rasulullah merupakan seorang yang tawaduk dan tidak memandang sesuatu melainkan sebagai suatu tanda pengabdian kepada Allah.
“Tatkala Baginda ditanya bagaimana caranya hendak mengucapkan selawat ke atasnya, maka Baginda tidak menyebut lafaz siyadah di dalam selawat tersebut.
“Akan tetapi Baginda tatkala menceritakan tentang nikmat Allah SWT ke atasnya, maka Baginda bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Aku adalah Sayyid (Penghulu Anak-anak Adam) pada hari kiamat dan aku tidaklah berbangga, di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (panji kepujian) dan aku tidaklah hendak berbangga-bangga dengannya. (Fatawa al Imam Abdul Halim Mahmud. Jilid 1, Halaman 270-271)
Di dalam perenggan yang lain pula beliau menyatakan tegahan terhadap orang yang melarang dan melampau-lampau dalam meninggalkan lafaz siyadah dengan katanya: “Maka yang tinggal lagi yang hendak saya nyatakan di sini bahawa sesetengah manusia terlalu melampau dalam meninggalkan lafaz siyadah terhadap Nabi SAW lalu mengharamkan sebutannya.
“Tatkala dia tidak menemui dalil syarak sebagai sandarannya untuk menghukumnya sebagai haram, maka dia pun mencipta hadis-hadis palsu yang secocok dengan hawa nafsunya iaitu mendakwa Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian mengucapkan sayyiduna ke atasku di dalam solat”.
Sesungguhnya perkataan ini bukanlah hadis dan seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi dan selainnya dari kalangan ulama-ulama hadis: Hadis ini tidak ditemui asalnya dalam mana-mana kitab hadis.” (Fatawa, Jilid 1, Halaman 271)
Demikian juga telah diriwayatkan banyak hadis yang mana Baginda menggelar para sahabat dengan lafaz sayyid. Semua ini secara tidak langsung menggugurkan tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak boleh mengucapkan lafaz Sayyiduna pada nama Rasulullah kerana ia terlalu mendewa-dewakannya dan gelaran sayyid hanya untuk Allah.
Di sini dipaparkan beberapa kalam Rasulullah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu perlampauan dalam memberikan penghormatan:
Pertama: Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa tatkala penghulu bagi kaum Ansar yang bernama Saad ibnu Muaz masuk ke dalam majlis, Rasulullah memerintahkan para sahabat berdiri dengan sabda yang bermaksud: Bangunlah kalian bagi memuliakan Sayyid (penghulu) kalian. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)
Kedua: Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Sayyiduna Umar ra berkata: Abu Bakar adalah Sayyiduna (penghulu kami) dan beliau telah memerdekakan Sayyiduna (Bilal r.a).
Ketiga: Rasulullah SAW bersabda mengenai cucunya al Hasan, maksudnya: Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud, al Nasa’i dan Ahmad)
Menunaikan Perintah dan Memelihara Adab
Di antara perkara yang sering dibangkitkan dan menyemarakkan lagi fitnah dalam masyarakat Islam kini adalah pendapat bahawa haram hukumnya mengucapkan lafazSayyiduna dalam bacaan tasyahhud ketika solat.
Ada juga pendapat yang lebih melampau daripada itu menyatakan haram dan batal solat seseorang yang mengucapkannya.
Pendapat ini pada hakikatnya dipetik dan dikeluarkan oleh hati-hati yang dikuasai nafsu. Jika dikaji dan diteliti, hanya terdapat dua sebab lemah yang menjadi dalil sandaran mereka dalam memarakkan lagi fitnah dalam kehidupan masyarakat umat Islam:
Pertama: Hadis larangan mengucapkan selawat ke atas nabi di dalam solat.
Kedua: Lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW tiada sebutan Sayyiduna dan Nabi tidak melafazkannya di dalam solat dan tidak dilakukan pula oleh para salaf.
Dalil pertama di atas telah pun kita sebutkan mengenai martabatnya sebagai hadis dusta yang tidak diriwayatkan oleh mana-mana imam dan kitab hadis yang muktabar. Dalil yang kedua pula mengajak kita sama-sama merenung tentang bagaimana para sahabat mempraktikkan persembahan adab terhadap Rasulullah SAW dan mendahulukannya daripada menunaikan perintah.
Ketika Rasulullah gering yang membawa kepada kewafatan, Baginda SAW memerintahkan Abu Bakar r.a menjadi imam solat. Jika diteliti ini adalah suatu perintah. Akan tetapi Abu Bakar tidak berganjak ke depan untuk menjadi imam bagi menunaikan perintah tersebut. Apabila Nabi keluar dari rumahnya, maka Baginda bertanya kepadanya, lalu Abu Bakar menjawab: “Tidaklah harus bagi anak kepada Abu Quhafah (Abu Bakar) mendahului Rasulullah SAW dalam hal ini”.
Maka Rasulullah mengakui (taqrir) mengenai perbuatan Abu Bakar tersebut dalam mengutamakan persembahan adabnya.
Telahpun kita ketahui sebelum ini bahawa hadis yang menerangkan kaifiat membaca selawat telah dilafazkan oleh Baginda SAW tanpa lafaz Sayyiduna dan di masa yang sama tidak terdapat dalil menunjukkan Baginda melarang atau mengharamkannya. Maka dari perkara seumpama inilah ulama fiqh menerbitkan kaedah: Al-Tarku La Yuntiju Hukman. Maksudnya, sesuatu yang ditinggalkan tidak dilakukan oleh Nabi SAW tidak membawa hukum haram selagi tiada dalil menunjukkan tentang pengharamannya. Bahkan telah didatangkan pula banyak hadis yang terdapat lafaz Sayyid disifatkan kepada Nabi SAW.
Maka tiada masalah dan terlebih utama sekiranya lafaz Siyadah diharuskan dalam ucapan selawat baik di dalam dan di luar solat sebagai suatu cara mempersembahkan adab dan memuliakan Nabi SAW.
Pendapat yang baik ini disokong dan didokong oleh ramai ulama di antaranya al-’Allamah al-Muhaqqiq al-Usuli Jalaluddin al-Mahalli dengan katanya: “Dan ucapan orang yang solat yang menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhudnya adalah satu tanda menunaikan perintah memuliakan Nabi SAW berdasarkan dalil-dalil dan menambahkan lagi penerangan mengenai realiti kemuliaan Nabi (dengan melafazkan siyadah) adalah suatu adab, maka ucapan sayyiduna lebih utama diucapkan daripada ditinggalkan.”
Al Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami menaqalkan, sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud membatalkan solat adalah pendapat yang jelas salah, maka hendaklah ia dijauhi.
Semoga kita semua sentiasa ditawfiqkan untuk mendaulatkan ketuanan Nabi kita Muhammad SAW serta memelihara adab-adab dan hak Baginda ke atas kita dengan sesempurna mungkin

Israk dan Mikraj bukti kebesaran Allah

Sungguh sedih, kecewa dan hampa apabila ada di kalangan umat Islam sendiri tidak mempercayai paling bersejarah dalam Islam, iaitu Israk dan Mikraj.
Seperti yang tersiar di Utusan Malaysia Khamis lalu, satu laporan telah dibuat, yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna laman sosial, Facebook yang mempersendakan peristiwa itu.
Mereka yang tidak mempercayai peristiwa itu sama dengan golongan kafir Quraisy yang tidak menerima kebenaran peristiwa tersebut.
Ketika Rasulullah SAW bercerita kepada mereka mengenai peristiwa yang baru ditempuhi itu, tidak ada kalangan kafir Quraisy mahu mempercayainya. Malah baginda terus diejek sebagai orang gila dan sebagainya.
Berbeza pendirian yang ditunjukkan oleh sahabat baik baginda iaitu Abu Bakar selepas mendengarkan sendiri dari Rasulullah mengenai peristiwa perjalanan malam tersebut.
Beliau berkata; “Engkau benar! Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah.”
Sejak itulah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud; yang membenarkan. Langsung tidak ada sebarang rasa ragu beliau terhadap Rasulullah.
Apabila ditanya oleh kaum kafir Quraisy bagaimana Abu Bakar boleh mempercayai peristiwa yang dialami oleh Rasulullah itu sedangkan mereka yang selalu ke Palestin memerlukan masa dua bulan untuk perjalanan pergi dan balik ke sana, Abu Bakar berkata: “Aku mengakui kebenaran Muhmmad pada perkara yang jauh lebih besar daripada itu (Israk dan Mikraj).
“Aku beriman kepada Muhammad mengenai wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata sahaja.
“Kalau itupun aku percaya, kenapa pula aku tidak percaya Muhammad boleh pergi Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?”
Begitupun baginda memahami kesukaran mana-mana pihak memahami dan mempercayai secara tuntas mengenai peristiwa yang baginda alami itu.
Lalu baginda menerangkan dan menceritakan kepada mereka mengenai keadaan di Palestin (Baitul Maqdis) iaitu terutama Masjid Al Aqsa termasuklah struktur binaan, tiang, tingkap dan sebagainya dan kawasan sekitarnya.
Baginda juga memberitahu mengenai sebuah rombongan dagang yang dipintas oleh baginda ketika dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas turun dari Sidratul Muntaha.
Rombongan dagang itu kemudiannya membenarkan kata-kata baginda itu ekoran mereka mendengar suara dari langit yang memberitahu mengenai unta mereka yang lari kerana ketakutan ternampak buraq yang ditunggangi oleh Rasulullah.
Walaupun telah diceritakan dengan begitu jelas dengan bukti-bukti yang dibawa oleh Rasulullah namun golongan kafir Quraisy tetap berdegil dan langsung tidak mahu mempercayai baginda apatah lagi untuk beriman terhadap Allah, tuhan yang Esa.
Hal ini sememangnya menguji keimanan seseorang. Pelbagai persoalan tidak dapat dielakkan timbul mengenai kebenaran kejadian Israk dan Mikraj itu.
Perkataan Israk berasal dari kata asas saraa yang bererti berjalan. Ia merujuk perjalanan di muka bumi pada waktu malam oleh Nabi Muhammad dengan roh dan jasad (bukannya mimpi) dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Seterusnya menyaksikan baginda yang ditemani oleh malaikat Jibrail (dalam bentuk manusia) naik ke langit dari Masjid Al Aqsa itu. Dari situ baginda juga singgah ke Baitul Makmur dan kemudiaannya ke Sidratul Muntaha, dekat kursi Allah SWT dan kemudian turun semula ke bumi dengan menaiki semula kenderaannya iaitu Buraq.
Kesemua perjalanan itu seperti yang kita ketahui mengandungi pelbagai peristiwa terutama detik bermulanya umat Islam disyariatkan mendirikan solat.
Allah memperlihatkan
Justeru, segala peristiwa ini merupakan kejadian yang menjadi hak mutlak kepada Allah untuk mengadakannya, iaitu dengan segala ilmu dan kekuasaan milik-Nya.
Secara bijaksana Allah memperlihatkan kekuasaan mutlak milik-Nya itu dengan awalan kalimat Subhanal-ladzii (Maha Suci Allah) iaitu dalam ayat surah al-Israk ayat 1 yang menjadi dalil naqli bagi mengesahkan kebenaran mengenai kejadian yang besar itu.
Firman Allah, Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Oleh kerana kedua-dua peristiwa iaitu Israk dan Mikraj itu sangat menakjubkan setiap umat Islam pasti menyebut subhanallah berulang kali kerana yakin dengan bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda SAW.
Ia memerlukan satu bentuk keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan Allah Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.
Apatah lagi apabila disebutkan Rasulullah menaiki buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Jadi adakah kelajuan yang dicapai oleh buraq itu menyamai lajunya kilat? Iaitu sebahagian dari fenomena alam yang dari aspek sainsnya merupakan satu gelombang elektromagnet dengan kadar kelajuan maksimumnya adalah seperti kelajuan cahaya.
Jika kita membacanya di mana-mana pelbagai kisah diceritakan mengenai buraq. Malah terdapat juga gambaran-gambaran lukisan mengenainya.
Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu ‘sekelip mata’ pantasnya.
Namun, kita percaya soal buraq ini seadanya tanpa perlu berlebih-lebihan kerana yang pasti tanpa menaiki kenderaan ini tidak mungkin baginda Rasulullah mampu melalui satu perjalanan yang jauh dan kembali semula ke Mekah dalam tempoh hanya sebahagian malam.
Ia berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah, tahun ke-11 Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul.
Allah kurniakan kepada Nabi Muhamad akan kejadian yang begitu besar maknanya ini sebagai memujuk kembali hati Rasulullah yang begitu berduka ekoran pelbagai musibah berturut-turut menimpa baginda, iaitu:
lPeristiwa diboikot dan dipulau oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun yang menyebabkan seluruh kaum keluarga dan pengikut baginda teruk menderita.
l Kehilangan dua insan tersayang, iaitu kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Mutalib yang banyak melindungi baginda dari gangguan kaum kuffar Mekah dan disusuli kewafatan isteri kesayangan, Siti Khadijah yang terlalu banyak berkorban.
l Apabila dakwah baginda ditolak mentah-mentah malah baginda diserang sehingga mengalami cedera ketika baginda mula untuk berdakwah di luar di lingkungan kota Mekah, iaitu apabila baginda pergi ke Taif.
Umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa ini bukan berdasarkan kejahilan tetapi kerana sikap sombong mereka terhadap kemuliaan Al Quran.
ampuni kami