| 
     | 
|
 | MARANG, 2 Okt: Lebih 5,000 peserta Ijtima' Tarbawi  Dewan Pemuda PAS peringkat kebangsaan menerima suntikan semangat  daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis  perasmian malam tadi. Abdul Hadi dalam ucapannya mengingatkan  pemuda bahawa golongan mereka penting dalam perjuangan Islam.
 
 "Islam  meletakkan pemuda sebagai kumpulan yang penting dalam perjuangan  sehingga Allah meletakkan satu surah yang khusus mengenai pemuda dalam  al-Quran," kata Abdul Hadi.
 
 
  Namun jelasnya, perjuangan pemuda  haruslah ditunjangi tarbiah dan bukannya semangat semata-mata. 
 "Terdapat  kumpulan yang menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini  mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi dan  rasul-rasul terdahulu.
 
 "Oleh itu Allah meletakkan agenda tarbiah  kepada perjuangan ini," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.
 
 Sementara  itu, Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media  selepas majlis itu mengulangi penegasan Abdul Hadi mengenai kepentingan  tarbiyah di kalangan pemuda.
 
 "Kita lihat bagaimana Presiden telah  meletakkan asas-asas utama yang perlu difahami dalam proses tarbiyah.
 
 "Bukan  sahaja kita bergerak kerja atas dasar semangat tetapi dengan bimbingan,  panduan daripada wahyu Allah dalam al-Quran dan hadis," kata Tuan  Ibrahim.
 
 Menurutnya juga, di samping ilmu dan  kesungguhan,tarbiyah merupakan elemen penting dalam parti untuk  menghadapi tekanan politik di negara ini.
 
 "Dalam menghadapi  tekanan politik di Malaysia, tarbiyah merupakan elemen penting dan kita  harapkan agar kepimpinan yang lahir selepas ini dapat menilai sesuatu  berdasarkan nas dan asas-asas yang bersumberkan sirah Rasulullah  S.A.W.," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
 
 Beliau  juga menyifatkan ijtima' ini sebagai tepat pada waktunya memandangkan  PAS memerlukan jentera bagi menghadapi pilihan kecil di Dewan Undangan  Negeri (Dun) Galas tidak lama lagi.
 
 "Ijtima' ini diadakan sesuai  pada waktunya walaupun sebenarnya ia dirancang awal, sebelum berlaku  kematian lagi.
 
 "Ini boleh dijadikan asas bagi menyusun gerak  kerja untuk pilihan raya di Galas dan kita harap ia menjadi pemangkin  semangat untuk pemuda menghantar jentera ke sana," katanya.
 
 |  |  |  |  | 
No comments:
Post a Comment