Prinsip mudah diamalkan Rasulullah bukti ajaran Islam praktikal, disenangi
BIJAK pandai menyebut, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maksudnya jika ada tumpuan, kesanggupan dan motivasi tinggi, pasti apa juga kerja dan cita-cita dapat dilunaskan. Melalui hari sebagai pekerja, tidak semua yang kita hadapi itu mudah atau sukar sentiasa.
Roda cabaran bekerja sentiasa berputar dan putaran itulah yang mengindahkan alam pekerjaan, apabila dihayati penuh hikmah, kita pasti akan menemui pelbagai manfaat, pengalaman dan pengajaran sama ada untuk diperbaiki mahupun disyukuri.
Persoalannya, bagaimana untuk kita menghadapi putaran itu dengan tenang dan bijaksana supaya kita benar-benar mendapat manfaatnya walau di mana roda berhenti berputar.
Sudah tentu sebagai pekerja mahupun pelanggan, kita mahukan yang terbaik daripada urusan kita. Tetapi ingatlah bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Tiada yang terhasil secara automatik kecuali dengan usaha.
Setiap usaha atau kerja kita juga tidak boleh dibiarkan hasilnya seperti nasib sabut dan batu. Untung yang ringan akan timbul dan berat akan tenggelam. Dengan sebab itulah, maka beberapa prinsip syariah digariskan ulama sebagai panduan pelaksanaannya.
Ia boleh dijadikan panduan atau manual prosedur dalam kerja seharian kita. Antaranya ialah prinsip memilih yang memudahkan dalam berurusan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesusahan.” (Surah al-Hajj, ayat 78).
Malah, Islam itu sifatnya adalah mudah sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya agama itu (Islam) adalah mudah.” (Riyawat Imam Ahmad).
Gambaran kepada prinsip mudah dan kaedah memudahkan itu boleh dilihat melalui beberapa tindakan Rasulullah SAW. Sunnah nabi sebagaimana diriwayatkan Saidatina Aisyah ialah Baginda akan memilih yang paling mudah antara dua perkara selagi mana ia tidak berdosa.
Rasulullah SAW juga pernah menasihati sahabatnya Muaz bin Jabal untuk memudahkan ibadat solat berjemaah dengan cara memendekkan bacaannya ketika mengimamkan solat apabila ada dalam kalangan makmum itu orang yang lemah, orang tua dan mempunyai hajat. (Riwayat Imam al-Bukhari).
Bahkan Nabi sendiri mempercepatkan solat Baginda apabila mendengar tangisan bayi di belakang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan membuatkan orang lain lari (dari agama kamu).” (Riwayat al-Bukhari).
Sabda ini bertitik tolak daripada hukum mandi hadas bagi sahabat yang cedera sehingga menyebabkan kematiannya. Cara ini bertujuan jangka pendeknya, untuk meringankan makmum dan sekali gus menyebabkan amalan berjemaah dapat dilakukan dengan khusyuk dan tenang oleh semua golongan selain menjauhkan daripada kemudaratan.
Bagi tujuan jangka panjangnya pula adalah sebagai dakwah bagi membolehkan ajaran Islam itu disenangi serta mudah diikuti dan diamalkan. Dalam konteks perkhidmatan hari ini, memudahkan sesuatu urusan di tempat kerja menjadi suatu keperluan dan boleh mengurangkan kerenah birokrasi.
Kerenah seperti kelewatan kelulusan, kesukaran mendapatkan perakuan, kerumitan mengisi borang permohonan kerana jumlah halaman yang banyak dan proses menunggu giliran di kaunter sudah banyak diperbaiki dan dipermudahkan.
Contohnya, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau ringkasnya PEMUDAH adalah antara usaha murni ke arah pencapaian matlamat itu. Laporan PEMUDAH 2009 menunjukkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengurangkan masa untuk meluluskan persijilan halal daripada 60 hari kepada 30 hari selepas proses pengaturan semula.
Jabatan Imigresen telah mengurangkan masa meluluskan permohonan Pas Pekerjaan daripada 14 kepada tujuh hari bekerja untuk kelulusan perjawatan.
Apabila sesuatu urusan itu dipermudahkan, ia memberi keselesaan kepada pelanggan dan sekali gus membina keyakinan mereka terhadap kemampuan organisasi berkenaan.
Jika tidak, mereka yang berkemampuan akan memilih perkhidmatan lain yang lebih berkualiti dan meninggalkan persepsi negatif di fikiran serta imej kurang baik kepada organisasi.
Semua contoh ini menunjukkan nilai kasih sayang dan toleransi yang terkandung dalam kaedah memudahkan sesuatu urusan.
Justeru, jika prinsip dan kaedah ini diamalkan dalam pekerjaan dan apa juga urusan seharian, semua urusan itu juga menjadi cepat.
Hasilnya, pelanggan berasa selesa dan gembira. Bertepatan sekali dengan tujuan syariat untuk memberikan kebahagiaan, ketenteraman dan kejayaan, Saidina Umar bin al-Khattab menyatakan: “Kami dilarang daripada membebani (berlebih-lebihan) pada diri.” (Riwayat Imam al-Bukhari).
Bagi memudahkan tugas seharian, seseorang perlu memiliki tiga syarat utama iaitu mudahkan terlebih dulu cara kita berfikir dengan maksud membetulkan paradigma yang sering menganggap kerja itu sukar atau rumit untuk dilaksanakan.
Kedua, mudahkan sikap dengan sifat tolak ansur, empati, mementingkan kebajikan dan sensitif terhadap masalah atau kehendak pelanggan.
Ketiga, mudahkan sistem kerja dengan maksud menyediakan sistem bersifat mesra pelanggan iaitu mudah diakses dan tidak rumit.
Sering berdoa mendapatkan petunjuk Allah seperti doa Rasulullah SAW bermaksud: “Ya Allah tidak ada kemudahan kecuali jika Engkau menjadikannya mudah. Sesungguhnya jika Engkau menghendaki, Engkau berkuasa untuk menjadikan sesuatu yang susah itu mudah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
No comments:
Post a Comment