Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Monday, August 22, 2011

Perbanyak Selawat terutamanya dibulan Ramadhan


Dalam bulan Ramadhan ini, jangan lupa untuk kita memperbanyakkan lagi sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Tanpa Baginda tidaklah sampai al-Quran kepada kita kerana kepada bagindalah Allah SWT mewahyukan al-Quran. Bagindalah wasithah bagi penyampaian al-Quran kepada umat manusia, justru jangan kita abaikan jasa dan hak baginda yang agung. Maka selain membaca al-Quran yang mulia, jangan pula diabaikan shalawat atas Junjungan SAW, ungkapkanlah ucapan sholawat yang disertai kerinduan dan mahabbah kepada baginda. Para ulama kita terdahulu sungguh bijaksana apabila mereka menghiaskan pada sela-sela sholawat Tarawih dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan SAW. Maka bergemalah ucapan sholawat dan salam tersebut sehingga perlaksanaan tarawih secara berjemaah menjadi meriah dan bersemangat. Namun fenomena akhir-akhir ini di beberapa masjid/surau kek tompek ese ni, suasananya lemah dan layu apabila ucapan sholawat dan salam daripada bilal tiada disambut oleh jemaah. Maka tinggallah kedengaran suara serak-serak basah tok bilal tu sorang-sorang je .... Allahu ... Allah. 

Bukankah dalam hadits masyhur yang biasa kita dengar tatkala masuk Ramadhan mengenai doa Jibril ketika Junjungan Nabi SAW naik mimbar, memberi amaran bukan sahaja kepada orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal memperolehi keampunan, ianya juga memberi amaran kepada orang yang mendengar nama Junjungan Nabi SAW disebut namun gagal bershalawat ke atas baginda. Untuk lebih menghayati, ese bawakan hadits tersebut:-

Daripada Sayyidina Ka`ab bin 'Ujarah RA yang menyatakan bahawa satu ketika Junjungan Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat: "Datanglah kamu ke mimbar", maka para sahabat pun datang berkumpul di sekitar mimbar. Ketika baginda menaiki satu anak tangga, baginda mengucapkan "aamiin", ketika baginda menaiki anak tangga kedua, baginda mengucapkan lagi "aamiin", dan ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda mengucapkan "aamiin". Apabila baginda selesai berkhutbah dan turun ke bawah, kami bertanya kepada baginda: " Wahai Rasulallah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar." Maka Junjungan SAW bersabda: " Bahawasanya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata: Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan namun gagal memperolehi keampunan bagi dirinya", maka aku pun berkata: "aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang engkau disebut di sisinya, namun dia tidak bershalawat ke atasmu", aku pun berkata; :"aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapat ibubapanya atau salah seorang daripadanya berusia lanjut, namun mereka berdua tidak menjadi sebab baginya untuk mendapat syurga", aku pun berkata : "aamiin".
Allahu ... Allahu.... ingat wahai ikhwah sekalian, tatkala nama Junjungan SAW disebut, ucapkanlah shalawat. Begitulah juga hendaknya apabila kita mendengar ucapan shalawat ke atas Junjungan SAW, sambutlah juga dengan shalawat, jangan dibiarkan begitu sahaja, takut-takut terkena kutukan Jibril AS yang diaminkan oleh Junjungan Nabi SAW. Sungguh sesiapa yang melalaikan amalan bershalawat, dia pasti akan kerugian yang amat sangat di sana nanti. Shalawat itu antara sebesar-besar amalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah SWT sebagaimana kata Syaikh al-`Alim al'`Allaamah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani rahimahUllah dalam karya beliau yang berjodol "Hadiqatul Azhar war Riyahin" sebagai berikut:-
"Ketahuilah olehmu, bahawasanya shalawat atas Nabi SAW itu setengah daripada sebesar-besar barang yang mendampingkan diri hamba kepada Tuhannya. Dan daripada seelok-elok dan sepatut-patut barang yang dihaluankan (yakni ditujukan) kepada hadratnya SAW kerana syukur baginya atas hidayatnya bagi kita. Dan dengan dialah tertolak sekalian mudarat dan tertarik sekalian manfaat pada dunia dan akhirat."
Makanya, hadir Tarawih jangan lupa menjawab shalawat ke atas baginda SAW. Dan marila kita sempena peristiwa Badar al-Kubra, bermunajat kepada Allah berwasilahkan Shalawat Badar yang masyhur. Moga kita meraih segala keberkatan dunia dan akhirat.


No comments:

Post a Comment

ampuni kami