PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183. Dalam menjaga agar puasa tidak rosak, keprihatinan masyarakat Muslim dalam menanyakan perkara yang membatalkan puasa amat dihargai.
Ada soalan yang sudah lazim dan biasa. Namun ada soalan-soalan yang masih baru di mana ia tidak wujud pada zaman Nabi SAW dan zaman awal Islam.
Biasanya ia merujuk kepada puasa dan aspek perubatan. Contohnya penggunaan inhaler ketika berpuasa, penggunaan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang, suntikan insulin, bius dan sebagainya.
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam masalah ini. Banyak buku boleh dikaji.
Persoalan yang diajukan itu memberi tanda yang positif. Ia satu penanda aras tahap kefahaman segelintir masyarakat Muslim dalam memahami hukum-hakam puasa. Namun sedikit malang apabila persoalan yang amat penting juga dalam ibadah puasa sedikit terabai.
Contohnya segelintir masyarakat Muslim tidak melihat akhlak yang buruk sebagai perkara yang membatalkan puasa atau membatalkan pahala ibadah puasa.
Maka waktu senggang yang asalnya diisi dengan makan digunakan untuk mengumpat, bercakap bohong, berbual perkara yang lagha atau sia-sia secara keterlaluan.
Oleh itu, amat wajar untuk direnungi suatu sabda Nabi SAW maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah Allah berhajat baginya untuk dia meninggalkan makan dan minum. (riwayat al-Bukhari).
Mengikut tafsiran hadis ini sebagaimana dalam Fath al-Bari – satu karya yang menghuraikan Sahih al-Bukhari. Hadis ini menggambarkan bahawa amalan puasa ini tidak diterima oleh Allah.
Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Perit-jerih bangun bersahur pada awal pagi hanya menjadi amalan yang sia-sia.
Maka menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar bagi seorang mukmin.
Tidakkah al-Quran menjelaskan ciri-ciri golongan mukmin yang berjaya. Antaranya ialah menjauhi perkara yang sia-sia sebagaimana firman Allah mafhumnya:Sesungguhnya orang mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha (sia-sia). (al-Mukminun: 1-3).
Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata. Walaupun definisi puasa ialah imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, namun hikmah puasa yang sebenar ialah bagi menjana nilai takwa dalam diri insan. Firman Allah mafhumnya: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardukan kepada umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).
Oleh itu, ada beberapa riwayat hadis yang menggesa agar akhlak dijaga dengan baik ketika berpuasa. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: …maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa. (riwayat al-Bukhari).
Hari ini, manusia tidak kisah untuk memfitnah, mencaci dan berkata dusta. Ada juga yang dihalalkan atas nama kebenaran. Entah benar atau tidak, Islam ada garis panduannya. Namun nampaknya garis panduan tersebut sudah tidak diendahkan. Akhirnya, ia hakikatnya satu fitnah, cacian dan pendustaan. Oleh itu, adalah amat wajar tempoh sebulan Ramadan ini diisi dengan perkara yang boleh menjana nilai takwa.
Saya yakin ramai umat Islam mampu berpuasa dengan erti menahan diri daripada makan dan minum. Pelajar sekolah rendah pun nampaknya boleh memahami makna puasa sebegitu. Mungkin ada yang sembunyi-sembunyi makan dan minum, itu di luar kemampuan kita. Namun bagi Muslim yang sudah lama berpuasa, bilakah puasa kita akan meningkat maju?
Ada juga isu yang dibangkitkan bagi memberikan kefahaman yang lebih baik berkaitan amal ibadah dalam bulan Ramadan. Antaranya isu rakaat solat Terawih dan isu waktu imsak di mana dalam jadual takwim ada dicatat waktu imsak sepuluh minit sebelum waktu Subuh. Tidak mengapa jika ia dibangkitkan dan dibicarakan dalam suasana ilmu dan harmoni jauh daripada keji-mengeji dan sebagainya. Apalah gunanya dibicarakan isu sebegini jika akhlak kita makin jauh daripada tuntutan sunnah Nabi SAW.
Antara slogan yang perlu disematkan dalam kotak pemikiran kita ialah bagaimana hendak mewujudkan akhlak keikhlasan dalam beribadat. Keikhlasan beribadat ini pula didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya ia dilanjutkan dengan kekuatan semangat istiqamah.
Ingatlah bahawa banyak orang mampu berpuasa namun puasanya itu tidak ke mana. Hanya sekadar lapar dan dahaga. Bangkitlah untuk menjadikan puasa kita lebih berkualiti.
No comments:
Post a Comment