Ucaptama
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sempena Himpunan :
Front Bertindak Anti Murtad [Forkad] dan Bongkar Kepincangan SPR [Bongkar]
Dewan Bandaran MPKj Bandar Kajang Selangor. [ 20 Ramadhan 1432 ]
-----------------------------------------------------------
Pertahankan Aqidah Ummah
Menangi Pilihanraya ke 13.
Muqaddimah :
Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
Surah Ibrahim. Ayat 24 - 25
---------------------------------------------------------
Aqidah Islam adalah noktah perjuangan PAS.
1. Perjuangan Islam yang didokong oleh PAS adalah manifestasi dari tuntutan 2 kalimah syahadah لا اله الا الله محمد رسول الله . Sebuah perjuangan yang diasaskan oleh Rasuulul Ummah Musthafa saw. yang sekurang – kurangnya berpaksi pada 4 prinsip.
· ان اعبدوا الله و اجتنبوا الطاغوت - surah an nahl ayat 36
· اقامة الدين و سياسة الدنيا به - makna khalifah dari surah al baqarah ayat 30
· بلدة طيبة و رب غفور - surah saba’ ayat 15
· الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر - surah aali imran ayat 104
2. Aqidah Islam menjadi rahsia umum keupayaan PAS bertahan merentasi tribulasi di sepanjang zaman. Pejuang – pejuangnya menjadi mulia kerana mempertahankan aqidah Islam dan kita wajib merasa mulia untuk melangsungkan kesinambungan perjuangan dengan aqidah ini. Kerana aqidah ini, kita sanggup berkorban, mendepani cabaran dan meredah mehnah biarpun berapa harga pengorbanan tersebut.
3. PAS adalah benteng utama untuk mempertahankan syariat dan aqidah ummah sesuai dengan dasar dan prinsip perjuangannya. Sebagai sebuah parti politik yang perjuangannya berteraskan Islam, PAS senantiasa dihadapan memperjuangkan aqidah, syariat dan kebajikan ummah.
4. Menyedari keruntuhan nilai hidup beragama yang semakin parah dalam negara kita, gara – gara budaya maksiat dan mungkar yang disiram subur oleh kerajaan UMNO dan BN sejak sekian lama, Dewan Pemuda PAS Malaysia sebagai sayap utama parti, dibawah slogan Duta Penyelamat dan Kasih Sayang telah menubuhkan Front Bertindak Anti Murtad [ Forkad ] untuk menyelamatkan aqidah ummah dari musibah murtad.
5. Saya mengharapkan Dewan Pemuda PAS mampu berperanan sebagai dahan kukuh tempat ummah berpaut dan bergantung bagi menyelamatkan aqidah mereka. Sekurang – kurangnya 3 peranan besar dapat dilaksanakan melalui Forkad.
· Memberi bimbingan khusus dan khidmat asuhan aqidah kepada mereka yang mengalami keraguan terhadap Islam dan syariatnya.
· Melebarkan dakwah Islamiyah kepada masyarakat dan membentengi mereka dengan amal Islami di dalam kehidupan mereka.
· Mengawasi dan memantau sebarang anasir yang tidak bertanggungjawab dari merosakkan aqidah ummat Islam seperti penularan gaya hidup bebas, free thinker dan lain - lain.
6. Isu aqidah adalah isu yang berterusan dan berpanjangan. Ianya akan terus ditangani dengan hikmah dan serius tanpa apologetic. Namun kita tetap akan memberikan komitmen kita, bahawa non muslim berhak beramal dengan agama mereka tanpa gangguan, malah kita turut menentang apa jua tindakan yang melanggar hak – hak non muslim yang dipelihara oleh syara’ seperti meruntuhkan rumah ibadah mereka, menghalang mereka mengadakan upacara agama mereka dan seumpamanya.
7. Sebagaimana kita juga akan bermati – matian berjuang mempertahankan aqidah ummah dari dicemari dan dinodai oleh mana – mana pihak termasuk mereka yang mengambil kesempatan di atas kelemahan fizikal dan material ummat Islam. Bahkan kita mesti berjiwa besar, berani dan rajin untuk tampil memperbaiki kelemahan ummat Islam dan berjuang membebaskan mereka dari belenggu kelemahan tersebut.
8. Mutaakhir ini, satu perkembangan menarik apabila UMNO dan BN juga berminat untuk bercakap soal aqidah dan memperlihatkan kononnya mereka juga sedang memperjuangkan aqidah. Buat masa ini, UMNO dan BN sememangnya diragui oleh kebanyakan pihak dalam usaha mereka memperjuangkan aqidah, justeru sejak sekian lama mereka menentang Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Namun saya yakin dan percaya bahawa ini sebahagian dari kejayaan kita mendidik masyarakat selama ini, bahawa aqidah adalah suatu yang mesti diperjuang dan dipertahankan oleh seluruh ummat Islam justeru ia adalah suatu yang melepasi sempadan politik kepartian.
9. Sebagaimana kita berjaya menghapuskan doktrin politik suku dan agama suku yang dianut oleh UMNO dan BN sejak sekian lama sehingga hari ini, kita hampir tidak mendengar lagi pemimpin UMNO dan BN bercakap soal politik suku agama suku. Kita mengharapkan suatu masa nanti UMNO dan BN benar – benar memperjuangkan aqidah Islam dan melaksanakan tuntutan aqidah ini lalu meninggalkan perjuangan batil yang berasaskan faham nasionalis dan menerima Islam sebagai dasar perjuangan.
10. Saya yakin dan optimis bahawa PAS mampu memberi suatu yang jauh lebih baik dari UMNO dan BN untuk membangunkan Islam dan syariatnya di negara ini jika diberi peluang memerintah dan berdaulat. Sekaligus memperbaiki beberapa kerosakan teruk pada system pengurusan dan pentadbiran khususnya system pengurusan demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara.
11. Kebetulannya kini, negara tidak boleh menghadapi pilihanraya berhakimkan SPR yang kini telah mengalami kecacatan parah pada nilai kepercayaan awam terhadap ketelusan dan keadilan mereka mengendalikan pilihanraya. SPR kini tiada pilihan melainkan hanya terpaksa berdepan dengan 3 keadaan :
· Yang di Pertuan Agong merombak Suruhanjaya Pilihanraya yang ada pada hari ini.
· Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya meletakkan jawatan segera
· Merombak keseluruhan struktur Suruhanjaya ini dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti - parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat nasional dan antarabangsa.
12. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar salah satu pilihan di atas dikenakan kepada SPR sebelum terlambat. Tiada makna lagi pilihanraya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil. Sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang keyakinan dan kepercayaannya kepada SPR.
13. Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya sehingga kini masih kabur fungsinya. Tanpa penglibatan semua termasuk parti politik yang bertanding, ngo dan pemantau bebas di dalam Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya , ianya akan terus terdedah kepada keraguan terhadap tahap keberkesanan Jawatankuasa Khas itu dibentuk.
14. Sungguhpun begitu, pemuda PAS mesti senantiasa bersedia untuk menghadapi apa jua bentuk makar dari pihak lawan dan sayugianya mengambil apa jua langkah berkesan untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang.
· Kekuatan asas pemuda PAS menghadapi pilihanraya sebagaimana yang telah digariskan oleh pihak Jabatan Pilihanraya Pemuda mesti dimiliki bagi memastikan peluang memenangi pilihanraya senantiasa besar dan tinggi disamping kita terus berjuang menuntut pengendalian system pilihanraya yang adil dan telus.
· Tugas utama pemuda PAS mesti diselesaikan mengikut dateline yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pilihanraya Pemuda. Jangan lengah dan tangguh kerja sehingga akhirnya semua perkara menjadi tunggakkan yang membebankan di saat akhir kita menghadapi pilihanraya. Perkara ini boleh dirujuk kepada manual tindakan atau manual operasi gerakkerja pilihanraya pemuda yang akan dipimpin dan dipantau oleh Jabatan Pilihanraya Pemuda.
· Hala tuju pemuda PAS mesti dihadham atau dicerna dalam setiap aktiviti dan gerakkerja pemuda sehingga matlamat dan objektif perjuangan pemuda dapat dicapai dengan baik dan cemerlang.
15. Kita mesti menangi pilihanraya demi agenda perjuangan suci yang kita dokong ini. Selepas ini, semua organ pemuda di pelbagai peringkat mesti berperanan selayaknya. Ambil posisi dan pastikan berfungsi. Berjuanglah dengan penuh dedikasi demi melunaskan amanah perjuangan dan tanggungjawab kita kepada Allah swt.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ISLAM ITU INDAH
Info Terkini
Maklumat terkini
-
-
-
PUNCA THAI BAHT MELAMBUNG !!!!5 years ago
-
MB ucap selamat berjaya kepada calon SPM6 years ago
-
MAULIDUR RASUL 1439H7 years ago
-
No comments:
Post a Comment