KUALA LUMPUR, 13 Ogos: PAS memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu pembersihan daftar pemilih melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS mahu Agong mengambil tindakan terhadap pihak atasan SPR khususnya pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.
"Walaupun sudah berulang kali disebut mengenai pembersihan daftar pemilih tapi dinafikan SPR, sekarang sudah terdedah banyak penyelewengan dalam SPR sehingga ada nama Kg Baru sebagai pemilih dan kes Mismah.
"PAS harap Yang di-Pertuan Agong dapat mengambil tindakan terhadap SPR supaya pilihan raya yang adil dapat dilaksanakan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Baru-baru ini, heboh apabila media mendedahkan mengenai penduduk tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah mendapat taraf warganegara dengan mudah, sekaligus didaftarkan sebagai pemilih.
Nama Kg Baru pula didapati layak mengundi di sebuah kawasan di Besut, Terengganu.
Selain itu terdapat pertindihan nama pemilih di beberapa kawasan yang sangat meragukan.
Tambah Mohamad, SPR harus mengakui kesilapan dan pengerusinya harus meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan yang setimpal.
Mohamad berkata, memandangkan memorandum mengandungi lapan tuntutan Bersih 2.0 telah diterima Agong, pihaknya mahu Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Kita tidak perlu serah memorandum lagi tapi mempertegaskan lapan tuntutan Bersih 2.0 khususnya dalam isu daftar pemilih ini," katanya.
Tegasnya, isu ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana melibatkan sistem demokrasi dan kepercayaan rakyat.
"Pilihan raya yang adil penting kerana kalau rakyat tidak terima keputusan pilihan raya, itu sangat bahaya kerana rakyat sekarang semakin celik maklumat," katanya.
Beliau juga kesal dengan SPR yang sering bertindak double standard terhadap Pakatan Rakyat.
"Datuk Wan Ahmad selalu guna kalimah parti pembangkang sedangkan beliau tidak berhak melabelkan mana-mana parti sebagai pembangkang kerana semua parti ialah pelanggannya dan harus bersifat adil," katanya.
Turut bersama pada sidang media tersebut ahli jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir
No comments:
Post a Comment