Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Showing posts with label isu 2011 ummah. Show all posts
Showing posts with label isu 2011 ummah. Show all posts

Wednesday, May 30, 2012

Nik Aziz: Mufti boleh jadi perantara, bukan serang



KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya bijak menangani isu perpaduan serta pandai menjaga sempadan dengan tidak mencerobohi urusan orang lain.

Beliau berkata, mufti boleh menjadi orang tengah dalam sebarang usaha perpaduan asalkan tidak menyerang sebelah pihak sahaja.

“Mana mungkin menjadi orang tengah jika sekilas percakapan yang terungkap, orang dah tahu kita di sebelah mana. Islam memang mengajar umatnya hidup bersatu padu tapi mesti ingat, tiada asas kekuatan untuk bersatu kalau semata-mata atas nama bangsa Melayu.

"Pas amat menyokong sebarang usaha perpaduan umat, namun ia semestinya berlaku atas landasan Islam.

“Mana-mana pihak khususnya orang agama seumpama mufti bolehlah beritahu kepada pemimpin Umno agar menukar dasar partinya dan pentadbiran kerajaannya kepada Islam," kata beliau.

Selain itu kata Nik Aziz: "Begitu juga harus dipersoalkan kenapa Umno boleh menerima kebangsaan dan menolak perjuangan politik Islam?"

"Ada baiknya persoalan ini juga ditanyakan kepada mana-mana ahli Majlis Fatwa Mesir. Jangan sekadar menanyakan isu mengundi parti masuk syurga,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberi respons kepada kenyataan Harussani kelmarin.

Katanya, membuat ulasan lalu membenarkan pihak media massa mengaitkan nama individu sepertinya, bukanlah satu akhlak terpuji dan amat malang apabila akhlak itu menjadi 'pakaian' seorang mufti.

DAPATKAN LAPORAN PENUH DALAM SINAR HARIAN ESOK 31.5.2012
NORHASRAM MOHAMAD
30 Mei 2012

Saturday, December 3, 2011

Parti Islam PJD menang pilihan raya Morocco

KUALA LUMPUR, 3 Dis: PAS turut mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang dilaporkan memenangi jumlah terbesar kerusi dalam pemilihan parlimen Morocco.


"PAS mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan Morocco yang telah berjaya memenangi pilihan raya di negara itu yang diadakan Jumaat lalu.

"Kita melihat kemenangan yang ditempa parti berteraskan Islam ini sebagai petanda positif rakyat yang kini mahu berubah untuk menerima parti Islam sebagai pemerintah," kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Seorang tokoh berpengaruh parti Islamik moderat Morocco itu, Lahcen Daodi mendakwa, berdasarkan laporan yang disampaikan mereka memenangi pilihan raya di Rabat, Casablanca, Tangier, Kenitra, Dijual, Beni dan Sidi Ifni Mellal dan beberapa tempat lainnya.

"Parti kami telah memenangi jumlah kerusi tertinggi," tambahnya.

PJD ini akan menjadi parti Islam moderat yang kedua yang memimpin pemerintah Afrika Utara sejak awal pemberontakan Musim Semi Arab menyusul Tunisia.

Keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan bagi pilihan raya kali ini adalah 395 kerusi parlimen dan PJD didakwa memenangi lebih separuh darinya

Friday, November 18, 2011

Awas! Sihir kini menular melalui Facebook


sumber : Akhbar Sinar 
KOTA BHARU – Pengguna laman sosial ‘facebook’ kini perlu berhati-hati terutama ketika memasukkan gambar-gambar mereka untuk paparan umum bagi mengelak unsur sihir dan gangguan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Perubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Kelantan, Zaki Ya berkata, pada zaman alam siber ini, jin boleh juga merapati manusia melalui internet atau gelombang termasuk laman sosial ‘facebook’.
“Sebelum ini, saya pernah merawat satu kes orang terkena sihir yang meracau-racau secara tiba-tiba ketika berada di hadapan komputer semasa melayari internet.
“Beberapa hari lalu, saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang bapa yang mahu anaknya dirawat setelah setahun tidak mahu ke sekolah dan bapa tersebut mengesyaki ada jin yang menyihir anaknya melalui talian internet,” katanya semasa ditemui di Klinik Rawatan Islam dan Tradisional (Rawatid) Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini.
Zaki berkata, bapa terbabit menceritakan dalam SMS itu anaknya akan mengamuk setiap kali ibu bapanya menghalang dia bermain internet, malahan anak berkenaan juga pernah mengancam akan membunuh diri jika dihalang.
Beliau berkata, pesakit itu belum ditemuinya dan perawat Pusat Rawatan Islam Darussyifa’ akan membantu anak berkenaan supaya pulih semula.
Dalam pada itu, katanya, dianggarkan 60 peratus rakyat di negeri ini masih mempercayai bomoh melalui perubatan tradisional, sedangkan perbuatan itu bertentangan dengan ajaran agama.
Menurutnya, walaupun zaman berubah, namun masih ada segelintir masyarakat yang masih mempercayai bomoh dan tukang sihir.
“Berdasarkan pengalaman kami sebagai perawat, dianggarkan 60 peratus rakyat di Kelantan mencari bomoh terutama ketika mereka mengalami gangguan atau mengesyaki ada penyakit. Amalan dan budaya menemui bomoh ini masih tinggi di kalangan orang Kelantan, malahan majoriti bomoh itu mengamalkan ilmu daripada Thailand dan segelintirnya adalah bomoh Melayu,” katanya .
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Kubang Kerian, Dr Wan Nudri Wan Daud berkata, pihaknya mengadakan Rawatid yang membolehkan 13 kakitangan USM bakal memperoleh sijil pada majlis konvokesyen bidang itu pada 23 Disember depan.
“Kami membantu pesakit di wad mendapatkan rawatan Islam berdasarkan permintaan keluarga setelah pesakit itu tidak dikenal pasti penyakitnya atau perlu segera diselamatkan daripada gangguan jin atau sihir,”

Wednesday, November 16, 2011

Umno Berselindung Atas Nama Mempertahankan Melayu dan Islam

Mutakhir ini banyak penulisan meluahkan kebimbangan terhadap kekuasaan orang Melayu Islam – seolah-olah melihat dengan jatuhnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), maka kekuasaan orang Melayu juga akan turut hilang.



Kewujudan Pakatan Rakyat (PR) dilihat akan melemahkan kekuasaan orang Melayu dan juga akan menghakiskan kekuatan Islam di negara ini.

Pandangan begini bukan baru, malah semakin lumrah dalam pemikiran sebahagian besar penulisan dan cetusan idea di kalangan pemikir Melayu Islam.

Namun, apa yang penting ialah “Adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?”

Bagi menjawab kebimbangan golongan ini, kita harus berpijak kepada sejarah negara dan kedudukan kekuasaan Melayu dan agama Islam selama ini.

Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan Umno-lah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah.

Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno.

Tapi, wajarkan ketakutan begitu? Sekali imbas, atas permukaan ada terasa seperti benar, namun fikirkanlah selepas membaca hujah-hujah di bawah ini.

1.     Kalau betul Umno pentingkan kekuasaan Melayu Islam, kenapa tiada tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah - sehinggakan ada kawasan parlimen yang jumlah pemgundinya mencecah hampir seratus ribu orang.

2.     Kenapa tambahan kerusi banyak pula dilakukan di Sarawak dan Sabah?

3.     Umno dah tewas lebih  20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana.

4.     Kalaulah benar Umno ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut. Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong Umno di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?

5.     Kenapa Umno sanggup serahkan beberapa kerusi parlimen yang dahulunya ditandingi oleh Umno kepada parti lain seperti yang berlaku di Kuala Selangor, Kuantan, Raub, Port Dikson dan puluhan kerusi yang lain. Bukan ke ini Umno sendiri yang melakukan pengkhianatan kepada Melayu?

6.     Siapakah yang membuang tulisan Jawi dari sistem pendidikan kalau bukan kerajaan Umno dan menteri yang mencadangkannya pun dari Umno?

7.     Siapa yang meluluskan pelbagai jenis loteri dan judi halal untuk berakar umbi di negara ini kalau bukan pemimpin Umno?

8.     Apakah hanya Melayu Umno (yang pandai mengampu sahaja, yang mengkritik tak termasuk) dianggap sebagai Melayu Islam, sedangkan kalau Melayu dari PAS, PKR dan DAP mereka ini bukan Melayu Islam?


Kebimbangan hilangnya kekuasaan orang Melayu dilihat tertunjang dengan kekuasaan Umno – seolah-olah tiada parti lain dalam Malaysia yang akan memelihara kuasa Melayu dsn agama Islam.

Namun hakikatnya, dalam soal membela Melayu, Umno selama ini tidak mampu menaikkan martabat dan sosio-ekonomi mereka dengan ketara walaupun sudah 54 tahun memerintah negara. Begitu juga, dalam soal membela Islam, berapa kali Umno melacurkan Islam dan menggunakan Islam hanya apabila keadaan perlu untuk memelihara kepentingan politik semata-mata?

Janganlah rakyat Melayu Islam terus membuta tuli menyokong kerajaan yang sengaja menakut-nakutkan mereka dengan propaganda, “Tanpa Umno, mereka hilang tempat bernaung.” Sebaliknya, mereka harus menuntut Umno untuk berubah dan sekiranya tidak, slogan ‘Asal bukan Umno’ akan menjadi laungan dan pilihan mereka pada pilihanraya akan datang.  

Pemikiran sempit dari era sebelum merdeka dilihat masih dianuti oleh parti perkauman sehingga hari ini. Namun, pemikiran sedemikian diyakini akan bakal berakhir dengan kemunculan gabungan politik berbentuk majmuk seperti PAS-PKR-DAP, di mana ketiga-tiga parti ini boleh menerima semua bangsa sebagai ahli mereka tidak seperti gabungan Umno-MCA-MIC.

Kini, rakyat negara ini dilihat sudah bersedia berhadapan dengan era baru yang lebih terbuka.

Harus diingat, kaum dan bangsa seseorang bukanlah pilihan seseorang manusia - ianya ketentuan Allah. Lantaran itu, Islam melihat kemuliaan bukan kepada bangsa dan warna kulit tetapi pada ketaqwaannya.

Apakah yang rakyat Melayu Islam nak bangga kalau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa berleluasa dalam negara diketuai oleh sebuah kerajaan yang majoriti ahlinya mendadik dada sebagai pembela orang Melayu dan Islam?

Rakyat Melayu Islam mesti melakukan perubahan besar untuk melahirkan umat Islam yang kuat akidahnya dalam berpegang kepada ajaran Islam. Mereka perlu segera menyelaraskan tindakan mereka dengan ajaran Islam dan menterjemahkan sifat sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, tanpa mengira apakah mereka Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Kerana itu, janganlah mereka terus mempertahankan kerajaan korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan dengan berselindung semata-mata atas nama mempertahankan Melayu dan Islam. Ini bukan sahaja memalukan umat Melayu Islam malah mencemarkan agama Allah kerana penganutnya bersifat sebegitu rupa.

Ustaz Dato'Tuan Ibrahim Tuan Man


Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, November 3, 2011

Seksualiti Merdeka: Ingin laksana 'revolusi gila'


KUALA LUMPUR, 3 Nov: Slogan Queer Without Fear program Seksualiti Merdeka 2011 menunjukkan golongan berkenaan terlalu menginginkan revolusi gila mereka itu terlaksana.
Justeru, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas) berpendapat program itu amat bertentangan dengan norma budaya segenap lapisan masyarakat yang wujud di Malaysia.
“Baik agama Islam, Buddha, Hindu bahkan Kristian sekalipun melarang hubungan sejenis mahupun ‘kemerdekaan gender’ yang mereka perjuangkan,” kata jurucakapnya, Ciffi Faizal Zahinor.
Katanya, golongan yang menubuhkan kumpulan ‘seksualiti merdeka’ itu bukanlah terdiri dari golongan yang biasa-biasa sahaja tetapi kebanyakannya terdiri daripada golongan artis, pelukis, penceramah, peguam, pakar perubatan serta golongan elit yang berorientasikan pemikiran liberal.
Golongan itu, ujarnya bijak memilih perkataan ‘merdeka’ seumpama mereka dijajah, didikriminasikan oleh kerajaan dan ‘golongan agama’.
“Namun realitinya, golongan inilah yang sebenarnya dijajah oleh pemikiran ‘kuning’ budaya barat yang sebelum ini tidak pernah digembar-gemburkan di rantau Asia ini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, slogan queer without fear atau ‘ganjil tanpa rasa takut’ jelas mengajak mereka yang sefahaman dengan golongan itu tampil ke hadapan untuk meninggalkan adab susila budaya Timur.
Beliau menambah, jika dilihat pada tentatif program, ternyata penganjuran program kali ini amat tersusun jika hendak dibandingkan tahun 2008 dahulu yang hanya menjalankan persembahan pentas dan beberapa ceramah bebas.
Namun, katanya berlainan pula pada tahun ini di mana mereka telah berjaya mengumpulkan aktiviti berbentuk forum dan ceramah yang berfokus kepada ke arah menjadikan Malaysia negara yang menerima seksualiti songsang sebagai satu gaya hidup.
Selain itu, ujarnya golongan itu juga giat berusaha agar satu polisi bagi melindungi hak-hak mereka terlaksana.
“Program ini harus disekat daripada terus diadakan kerana ia amat bertentangan dengan akidah dan sudah tentu terang-terangan melanggar fitrah kejadian manusia,” tegasnya.
Selain itu, tambah beliau impak kepada program itu adalah ia akan lebih banyak menyebabkan dan menggalakkan penyakit jangkitan seksual seperti HIV/Aids dan penyakit kelamin.
Menurutnya, melalui program itu juga, dikhuatiri fahaman liberalisma semakin tersebar dan akhirnya akan menyebabkan kerancuan kepada masyarakat.
Beliau berkata, dari satu sudut yang lain pula, penganjuran program seperti itu sebenarnya amat bercanggah dengan norma budaya masyarakat Asia sendiri yang terkenal dengan kesopanannya dan amat berpegang teguh kepada agama dan adat warisan.
“Unggas amat khuatir sekiranya berlaku kepincangan rumahtangga jika pihak-pihak berwajib mengambil langkah untuk ‘menghalalkan’ program-program sebegini seperti yang sedang berlaku di negara barat,” ujarnya.
Katanya, kerosakan dan kepincangan masyarakat memang tidak akan dirasai dalam masa yang singkat tetapi akan tetap berlaku jika semua pihak menganggap program-program seperti itu sebagai suatu perkara yang remeh.

Nik Aziz minta kerajaan halang Seksualiti Merdeka

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sama sekali tidak menyokong malah mengecam langkah pembabitan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga dalam penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam sehingga 13 November ini.

    
Menteri Besar Kelantan itu meminta pihak kerajaan dan berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program itu yang jelas boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.
    
"Ini tidak betul. Kita sokong Ambiga dalam soal lain tetapi dalam program ini (Seksualiti Merdeka) saya tidak sokong (Ambiga) kerana dalam soal agama, kita tidak boleh sokong perkara itu.
    
"Kerajaan... kalau boleh halanglah, dan ambillah tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pasukan The Red Warriors di Kota Bharu hari ini.
    
Penganjuran program itu dipromosikan melalui lamanweb www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.
    
Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu adalah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.
    
Nik Aziz berkata soal kebebasan sebenarnya mempunyai had tertentu dan negara ini tidak boleh sama sekali membenar dan mengiktiraf budaya songsang diamalkan.
    
"Kebebasan secara mutlak sememangnya tidak ada dan saya khuatir tidak lama lagi akan ada yang menyebut tentang soal kebebasan merompak dan menyamun atas nama kebebasan," katanya.
    
Katanya sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi yang diciptakan Allah SWT kerana sebarang aktiviti yang bertentangan dengannya akan mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia.
    
"Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan daripada mana-mana pihak," katanya

Sunday, October 30, 2011

Semuanya selamat apabila al-Quran disanjung


GEORGETOWN, 29 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Maipp (Maipp) memberi perhatian terhadap usaha melahirkan para huffaz di kalangan mualaf.

Jelasnya, memandangkan Islam bukan hanya untuk orang Melayu maka sewajarnya Maipp memberi penekanan terhadap usaha tersebut sebagai galakan golongan berkenaan untuk menghafal Al-Quran.
Baginya, Pulau Pinang boleh dijadikan contoh terbaik pelaksanaan program seumpama itu memandangkan golongan mualaf begitu ramai sekaligus memberikan semangat untuk mereka mempelajari Al-Quran dengan betul, lancar dan tertib.
"Sempena majlis pengiktirafan Al-Hafiz dan Ijtimak Al-Huffaz Negeri Pulau Pinang ini, saya cadangkan Maipp melahirkan ramai huffaz daripada kalangan muaalaf.
“Bukan apa ia sebagai langkah meramai serta menggalakkan golongan terbabit beramal dengan Islam," ujarnya ketika memberi ucaptama majlis pengiktirafan Al Hafiz dan Ijtimak Al Huffaz Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang pagi tadi.
Islam katanya, didatangkan untuk semua kaum maka Al-Quran perlu dibawa kepada pengetahuan masyarakat bukan Islam selari dengan konsep dakwah yang diajarkan oleh Rasullulah s.a.w.
Lagipun, ujarnya Al-Quran patut diterjemahkan ke semua bidang tidak hanya dihafaz termasuk bidang kenegaraan atau pemerintahan agar negara berada dalam rahmat Allah SWT.
Bila Islam disanjung maka sesebuah negara itu akan aman, sejahtera serta berada dalam limpah ruah keberkatan yang tiada tolok bandingnya.
"Bila Al-Quran disanjung semuanya selamat. Tiada lagi gejala rasuah yang merosakan negara. Kekacauan tidak akan berlaku kerana manusia memahami isi kandunganya," kata beliau.
Beliau yang dijemput khas buat kali pertama dalam majlis rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut terpanggil bersama-sama membantu setakat termampu untuk bersama mencari kaedah pendekatan berhemah memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini.
Tn Guru Bersama Yang Dipertua Negeri P . Pinang dan ketua Menteri P Pinang 
Semalam 29.10.2011

Pulau Pinang sambungnya, merupakan negeri yang unik, berlainan dengan Kelantan yang peratus tertinggi penduduknya adalah orang Melayu beragama Islam.
Di Pulau Pinang pula jika mahu Islam bertapak kukuh tegasnya, institusi Islam mesti pandai memperkenalkan beberapa kaedah untuk menarik minat bukan Islam mendekati dan seterusnya memeluk agama Islam.
"Di Kelantan situasinya lain berbanding di Pulau Pinang, maka umat Islam wajar mencari kaedah terkini bagaimana mahu menjinakkan bukan Islam dengan Islam, barulah Islam dapat dikembangkan tidak hanya lingkungan orang melayu sahaja," tambah beliau dalam majlis yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Mansor Othman, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kasim dan Timbalan Yang Dipertua Maipp, Datuk Saleh Man.

Thursday, October 27, 2011

Remaja dan isu akidah


ISU akidah adalah perkara pokok bagi remaja Islam. Di tengah-tengah simpang siur aliran pemikiran yang pelbagai, landasan akidah adalah amat penting bagi remaja. Akidah diambil daripada akar kata aqa’id iaitu tautan atau ikatan diri terhadap Allah.
Akidah tauhid memberi landasan ikatan kepada Allah yang satu. Terdapat banyak aliran ideologi yang berkembang dalam hidup manusia sejak dahulu sehingga kini. Terdapat juga pemikiran falsafah dan silang budaya yang terkait dengan isu akidah.
Fahaman liberal dan pluralis umpamanya mempunyai kesan langsung kepada isu akidah.
Usaha-usaha agama lain terutama Kristian melakukan pemurtadan adalah sesuatu yang bercanggah dengan akidah tauhid.
Akidah bukan sekadar pernyataan mengesakan Allah dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Sebaliknya, yang amat penting adalah pemahaman dan aplikasi terhadap Allah yang satu dalam keyakinan, kata-kata, amalan dan juga manifestasi ilmu.
Para remaja tidak sahaja menjadi penganut Islam berasaskan warisan keturunan tetapi hendaklah memahami ilmu tentang akidah tauhid, mengukuhkan ibadah, memahami jalur syariah dan fikah di samping memiliki akhlak yang mulia.
Asas ini sangat penting bagi remaja kerana keyakinan tanpa pemahaman boleh membawa jiwa remaja kepada kekosongan. Keyakinan tanpa didukung oleh ilmu tidak akan memberi kekuatan, memahami hakikat kewujudan dan kaitan dengan penciptaan.
Memahami Islam bukan sekadar memahami hal-hal yang nyata dan tampak, tetapi ia terhubung dengan faktor-faktor ghaibiyat. Di sini pentingnya para remaja memahami al-Quran sebagai sumber petunjuk kepada yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib.
Sekiranya para remaja diberi fahaman Islam dan tauhid secara ilmu, ia bakal memantapkan lagi keyakinan remaja terhadap perkara tauhid.
Berlakunya kelonggaran dan ketidakfahaman remaja terhadap isu akidah ini adalah akibat daripada kekosongan ilmu dan kelompangan keyakinan yang menyebabkan anutan terhadap agama menjadi tidak teguh dan kukuh.
Keteguhan dan kekukuhan akidah bersumberkan pemahaman yang jelas terhadap pencipta dan juga pemahaman yang nyata terhadap kaitan wahyu Allah dengan penciptaan-Nya sebagai contoh.
Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas tentang faktor ghaibiyat yang terhubung dengan faktor yang nyata supaya keyakinan kita terhadap wujudnya Allah dan kaitannya dengan alam ini menjadi teguh.
Dalam surah Al-Alaq, Allah menyebutkan khalaqal insanamin alaq… membawa makna bahawa kejadian manusia itu bermula daripada seketul darah beku.
Dalam surah Al-Mukminun pula, Allah menyatakan bahawa punca kejadian manusia adalah daripada sari pati tanah. Apakah kaitannya sari pati tanah dengan pokok-pokok dan buah-buahan yang menyumbang terhadap kejadian air mani?
Ia adalah sesuatu yang saintifik. Apabila kromosom X dan kromosom Y bertemu, ia menghasilkan zigot. Ia disebut dalam bahasa al-Quran sebagai nutfah.
Apabila proses pembenihan itu subur menghasilkan susuk dan bentuk, Allah tiupkan roh ke dalam embrio tersebut. Ia menghasilkan manusia dalam rahim yang mempunyai kekuatan. Roh walaupun tidak nampak, tetapi bagi yang hidup merasakan ia ada.
Al-Quran menyebutkan roh itu adalah milik Allah dan yang diketahui oleh manusia hanyalah sedikit sekali. Adanya roh (yang ghaib) menyebabkan akal berfikir, hati merasa dan daya melakukan amal. Tanpa roh, seluruh jasad dan potensi yang ada pada manusia akan kaku dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Asas berfikir seperti ini boleh menanamkan landasan akidah yang teguh di kalangan remaja. Mengkaji benda dan fenomena tidak terputus dengan hakikat Penciptaan. Daripadanya lahir hikmah yang tinggi memahami yang nyata dengan ghaib.
Pertimbangan saintifik tidak hanya dalam batas akal, uji kaji dan hasil tetapi merentasi terhadap hikmah di sebalik kejadian dan manfaatnya kepada manusia.
Kelemahan akidah remaja, kelonggaran pemahaman ilmu, kealpaan melakukan reflektif terhadap kekuatan tamadun silam menyebabkan para remaja mudah terpengaruh dengan fahaman popular Barat yang menyesatkan.
Apabila kekaguman terhadap Barat sifatnya melampaui, pemahaman secara ritual dan berkala terhadap Islam tidak boleh menyebabkan para remaja memiliki kekentalan akidah tauhid.
Keadaan seperti ini mendedahkan remaja kepada kerosakan akhlak, kemuflisan ilmu Islami dan akhirnya mudah terjebak kepada fahaman hedonisme (berpoya-poya), melupakan agama, terjebak dengan ajaran sesat dan juga boleh menjadi murtad.
Ilmu dan amal
Oleh itu, amat penting para remaja Islam memahami agamanya secara ilmu dan amal. Kadangkala para remaja memiliki kekuatan rohani yang tinggi, tetapi lemah dalam amal Islamnya. Islam sebagai sistem kepercayaan perlu diperlihatkan dengan kekuatan amal.
Keindahan Islam sejak dahulu zaman tamadunnya hingga kini terlihat daripada pekerti dan amal manusia. Ini yang menyebabkan orang lain tertarik dengan Islam bukan sahaja kerana kebenaran yang terdapat dalam al-Quran dan agama ini, tetapi keindahan peribadi pemeluknya memiliki daya tarik yang tinggi.
Cabaran yang mendatangi zaman ini memerlukan remaja untuk sentiasa mencari jalan mempertingkatkan ilmu dan pemantapan iman di samping keupayaan diri untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
Pelbagai pergolakan serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat ada kalanya menguji tahap ketahanan diri. Tanpa asas serta pemahaman yang betul terhadap akidah tauhid, remaja boleh terjebak dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat agama.
Justeru, para remaja harus bertitik tolak dengan pemahaman akidah yang mantap atas dokongan ilmu yang benar dan akhirnya bakal mampu menjadi agen perubahan terhadap kebaikan dan kesejahteraan umat manusia.
Menjadi pengagum kepada kemajuan Barat adalah tidak salah sekiranya remaja sendiri berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk umat Islam dan manusia.
Di Barat sendiri, krisis agama menjadi suatu yang meruncing. Fahaman liberal, pluralis serta fahaman tidak beragama juga menjadi pegangan hidup masyarakat Barat.
Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding.
Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan perubahan yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islam.
Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.
Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.
Remaja sewajarnya reflektif terhadap puncak kepemimpinan Islam tatkala Tamadun Andalusia berkembang di Sepanyol, di mana orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam yang berasaskan kepada akidah tauhid.
Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun. Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri.
Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.
Justeru, para remaja dalam berfikir tidak harus berfikir secara ringan dan mudah terhadap Islam. Sebaliknya, pemikiran Islam harus ditunjangi dengan kefahaman ilmu Islami dan tamadunnya.

Thursday, October 13, 2011

Zahrain syor ambil cukai arak untuk bola sepak ? Ini bercanggah disisi Islam !



PULAU PINANG, 13 Oktober: Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda KeAdiLan Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrin Mohamad yang mahu mempupolarkan semula membabitan syarikat 'rokok' dan 'arak' dalam urusan bola sepak negara.

Walhal 'rokok dan arak' kata mereka telah pun ditolak dalam arena bola sepak negara apabila Malaysia tidak lagi mengambil syarikat rokok 'Dunhill' untuk dijadikan penaja sukan sepertimana dulu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah membidas cadangan itu yang dianggap terkebelakang jika berfikiran bahawa hanya wang dari dua syarikat tersebut sahaja mampu meningkatkan prestasi serta sebagai punca dana oleh persatuan bola sepak negeri termasuk Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

"Jelas sekali Umno tidak boleh memisahkan diri mereka dengan wang hasil penjualan rokok atau arak.

Kita tahu walaupun beliau ahli Parlimen bebas namun suara itu adalah suara Umno dan Barisan Nasional (BN), "ujarnya.

Sensitiviti umat Islam

Sementara itu, Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali pula menyifatkan Datuk Zahrin tidak ada hala tuju sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh menghiris perasaan umat Islam.

Bola sepak katanya, bukan sahaja diminati oleh bukan Islam di Malaysia bahkan lebih ramai peminatnya terdiri daripada orang Islam maka kenyataan itu satu kenyataan biadap.

Sepatutnya beliau sebagai Pengerusi FAP harus mencari kaedah lain yang lebih efesyen bukan ortodok walaupun untuk menanggung kos pengurusan bola sepak.

"Beliau sendiri tidak boleh bertindak baik terhadap FAP yang juga tidak lekang dari menghadapi masalah kewangan.

Patut beliau lebih bijak bukan menjadikan hasil rokok dan arak sebagai harapan, " katanya.

Semalam, Zahrain mencadangkan supaya kutipan cukai dari arak dan rokok disalurkan untuk pembangunan sukan khususnya bola sepak.

Menurutnya, walaupun rokok telah diharamkan sebagai penaja utama dalam sukan, kutipan cukai oleh kerajaan boleh disalurkan semula untuk tujuan pembangunan bola sepak negara.



Saturday, August 20, 2011

Aqidah didahulukan ! Pertahankan Aqidah Menangi Pilihanraya ke 13

Ucaptama
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
 
Sempena Himpunan :
Front Bertindak Anti Murtad [Forkad] dan Bongkar Kepincangan SPR [Bongkar]
 
Dewan Bandaran MPKj Bandar Kajang Selangor. [ 20 Ramadhan 1432 ]
-----------------------------------------------------------
 
Pertahankan Aqidah Ummah
Menangi Pilihanraya ke 13.

 
 
Muqaddimah  :
 
Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
 
Surah Ibrahim. Ayat 24 - 25
---------------------------------------------------------
Aqidah Islam adalah noktah perjuangan PAS.
 
1. Perjuangan Islam yang didokong oleh PAS  adalah  manifestasi  dari  tuntutan 2 kalimah  syahadah لا اله الا الله محمد رسول الله  . Sebuah perjuangan yang diasaskan oleh Rasuulul Ummah Musthafa saw. yang sekurang – kurangnya  berpaksi pada 4 prinsip.
 
·         ان اعبدوا الله و اجتنبوا الطاغوت  - surah an nahl ayat 36
·         اقامة الدين و سياسة الدنيا به  - makna khalifah dari surah al baqarah ayat  30
·         بلدة طيبة و رب غفور -  surah saba’ ayat 15
·         الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر  - surah aali imran ayat 104
 
2. Aqidah Islam menjadi rahsia umum keupayaan PAS bertahan merentasi tribulasi di sepanjang zaman. Pejuang – pejuangnya menjadi mulia kerana mempertahankan aqidah Islam dan kita wajib merasa mulia untuk melangsungkan kesinambungan perjuangan dengan aqidah ini. Kerana aqidah ini, kita sanggup berkorban, mendepani cabaran dan meredah mehnah biarpun berapa harga pengorbanan tersebut.
 
3. PAS adalah benteng utama untuk mempertahankan syariat dan aqidah ummah sesuai dengan dasar dan prinsip perjuangannya. Sebagai sebuah parti politik yang perjuangannya berteraskan Islam, PAS senantiasa dihadapan memperjuangkan aqidah, syariat dan kebajikan ummah.

4. Menyedari keruntuhan nilai hidup beragama yang semakin parah dalam negara kita, gara – gara budaya maksiat dan mungkar yang disiram subur oleh kerajaan UMNO dan BN sejak sekian lama, Dewan Pemuda PAS Malaysia sebagai sayap utama parti, dibawah slogan Duta Penyelamat dan Kasih Sayang telah menubuhkan Front Bertindak Anti Murtad [ Forkad ] untuk menyelamatkan aqidah ummah dari musibah murtad.
 
5. Saya mengharapkan Dewan Pemuda PAS mampu berperanan sebagai dahan kukuh tempat ummah berpaut dan bergantung bagi menyelamatkan aqidah mereka. Sekurang – kurangnya 3 peranan besar dapat dilaksanakan melalui Forkad.
 
·         Memberi bimbingan khusus dan khidmat asuhan aqidah kepada mereka yang mengalami keraguan terhadap Islam dan syariatnya.

·         Melebarkan dakwah Islamiyah kepada masyarakat dan membentengi mereka dengan amal Islami di dalam kehidupan mereka.

·         Mengawasi dan memantau sebarang anasir yang tidak bertanggungjawab dari merosakkan aqidah ummat Islam seperti penularan gaya hidup bebas, free thinker dan lain - lain.

 
6. Isu aqidah adalah isu yang berterusan dan berpanjangan. Ianya akan terus ditangani dengan hikmah dan serius tanpa apologetic.  Namun kita tetap akan memberikan komitmen kita, bahawa non muslim berhak beramal dengan agama mereka tanpa gangguan, malah kita turut menentang apa jua tindakan yang melanggar hak – hak non muslim yang dipelihara oleh syara’ seperti meruntuhkan rumah ibadah mereka, menghalang mereka mengadakan upacara agama mereka dan seumpamanya.
 
7. Sebagaimana kita juga akan bermati – matian berjuang mempertahankan aqidah ummah dari dicemari dan dinodai oleh mana – mana pihak termasuk mereka yang mengambil kesempatan di atas kelemahan fizikal dan material ummat Islam. Bahkan kita mesti berjiwa besar, berani dan rajin untuk tampil memperbaiki kelemahan ummat Islam dan berjuang membebaskan mereka dari belenggu kelemahan tersebut.
 
8. Mutaakhir ini, satu perkembangan menarik apabila UMNO dan BN juga berminat untuk bercakap soal aqidah dan memperlihatkan kononnya mereka juga sedang memperjuangkan aqidah. Buat masa ini, UMNO dan BN sememangnya diragui oleh kebanyakan pihak dalam usaha mereka memperjuangkan aqidah, justeru sejak sekian lama mereka menentang Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Namun saya yakin dan percaya bahawa ini sebahagian dari kejayaan kita mendidik masyarakat selama ini, bahawa aqidah adalah suatu yang mesti diperjuang dan dipertahankan oleh seluruh ummat Islam justeru ia adalah suatu yang melepasi sempadan politik kepartian.
 
9. Sebagaimana kita berjaya menghapuskan doktrin politik suku dan agama suku yang dianut oleh UMNO dan BN sejak sekian lama sehingga hari ini, kita hampir tidak mendengar lagi pemimpin UMNO dan BN bercakap soal politik suku agama suku. Kita mengharapkan suatu masa nanti UMNO dan BN benar – benar memperjuangkan aqidah Islam dan melaksanakan tuntutan aqidah ini lalu meninggalkan perjuangan batil yang berasaskan faham nasionalis dan menerima Islam sebagai dasar perjuangan.
 
10.  Saya yakin dan  optimis bahawa PAS mampu memberi suatu yang jauh lebih baik dari UMNO dan BN untuk membangunkan Islam dan syariatnya di negara ini jika diberi peluang memerintah dan berdaulat. Sekaligus memperbaiki beberapa kerosakan teruk pada system pengurusan dan pentadbiran khususnya system pengurusan demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara.
 
11.  Kebetulannya kini, negara  tidak boleh menghadapi pilihanraya berhakimkan SPR yang kini telah mengalami kecacatan parah pada nilai kepercayaan awam terhadap ketelusan dan keadilan mereka mengendalikan pilihanraya. SPR kini tiada pilihan melainkan hanya terpaksa berdepan dengan 3 keadaan :

·         Yang di Pertuan Agong merombak Suruhanjaya Pilihanraya yang ada pada hari ini.
·         Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya meletakkan jawatan segera
·         Merombak keseluruhan struktur Suruhanjaya ini dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti - parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat nasional dan antarabangsa.

 
12. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar salah satu pilihan di atas dikenakan kepada SPR sebelum terlambat. Tiada makna lagi pilihanraya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil. Sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang keyakinan dan kepercayaannya kepada SPR.
 
13. Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya sehingga kini masih kabur fungsinya. Tanpa penglibatan semua termasuk parti politik yang bertanding, ngo dan pemantau bebas di dalam Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya , ianya akan terus terdedah kepada keraguan terhadap tahap keberkesanan Jawatankuasa Khas itu dibentuk.
 
14. Sungguhpun begitu, pemuda PAS mesti senantiasa bersedia untuk menghadapi apa jua bentuk makar dari pihak lawan dan sayugianya mengambil apa jua langkah berkesan untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang.
 
·         Kekuatan asas pemuda PAS menghadapi pilihanraya sebagaimana yang telah digariskan oleh pihak Jabatan Pilihanraya Pemuda mesti dimiliki bagi memastikan peluang memenangi pilihanraya senantiasa besar dan tinggi disamping kita terus berjuang menuntut pengendalian system pilihanraya yang adil dan telus.

·         Tugas utama pemuda PAS mesti diselesaikan mengikut dateline yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pilihanraya Pemuda. Jangan lengah dan tangguh kerja sehingga akhirnya semua perkara menjadi tunggakkan yang membebankan di saat akhir kita menghadapi pilihanraya. Perkara ini boleh dirujuk kepada manual tindakan atau manual operasi gerakkerja pilihanraya pemuda yang akan dipimpin dan dipantau oleh Jabatan Pilihanraya Pemuda.

·         Hala tuju pemuda PAS mesti dihadham atau dicerna dalam setiap aktiviti dan gerakkerja pemuda sehingga matlamat dan objektif perjuangan pemuda dapat dicapai dengan baik dan cemerlang.

 
15. Kita mesti menangi pilihanraya demi agenda perjuangan suci yang kita dokong ini. Selepas ini, semua organ pemuda di pelbagai peringkat mesti berperanan selayaknya. Ambil posisi dan pastikan berfungsi. Berjuanglah dengan penuh dedikasi demi melunaskan amanah perjuangan dan tanggungjawab kita kepada Allah swt.
 
 
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
ampuni kami