Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Saturday, August 10, 2013

Ciri-ciri membentuk akhlak mulia

Perlakuan zahir asas ukuran sama ada individu itu baik atau buruk
Perkataan akhlak berasal daripada perkataan Arab jamak ‘khuluq’ yang diertikan sebagai budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat. Menurut Iman al-Ghazali, dua perkataan yang berkaitan langsung dengan akhlak ialah al-khuluq dan al-khalqi.
Al-Khuluq merujuk kepada gambaran zahir manusia, manakala al-khalqi pula gambaran batinnya. Menurut al-Ghazali lagi, akhlak menerangkan keadaan yang terdapat dalam jiwa seseorang dan daripadanya terbit semua perbuatan tanpa memerlukan fikiran serta penelitian.
Sabda Baginda SAW: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat daripada perangai yang baik, kerana sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang keji lagi kotor perangainya.”
Oleh itu, dari segi teknikal, akhlak adalah gambaran atau perihal mengenai keadaan serta suasana dalam jiwa manusia yang sudah berada pada tahap kukuh dan sebati.
Selanjutnya daripada keadaan jiwa itu akan muncul perbuatan atau perlakuan secara spontan (tidak memerlukan pelakunya berfikir atau membuat apa-apa pertimbangan lagi) yang boleh dikategorikan kepada akhlak baik dan buruk.
Perbuatan yang elok dan terpuji dari sudut pandangan akal serta syarak dikatakan akhlak baik, manakala sebaliknya adalah akhlak buruk. Akhlak yang mulia adalah matlamat asasi bagi risalah Islam.
Rasulullah SAW membuat kesimpulan terhadap misi pengutusannya sebagai menyempurnakan akhlak. Sabda Baginda SAW: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat daripada perangai yang baik, kerana sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang keji lagi kotor perangainya.”
Akhlak mulia inti pati segala ibadah
Akhlak yang mulia adalah inti pati bagi segala ibadah di mana tanpa akhlak, ibadah hanya adat resam dan gerak laku tidak mempunyai nilai serta faedah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Syarat bagi terhasilnya akhlak yang baik telah diperincikan oleh al-Ghazali seperti yang diringkaskan. Akhlak yang baik mempunyai kekuatan atau daya ilmu yang memudahkan seseorang faham serta dapat membezakan kebenaran dan dusta dalam kata-kata, akidah atau perbuatan.
Mengawal kekuatan atau daya marah seseorang (dalam keadaan tertekan dan tegang) pada had dan kadar diperlukan secara berhikmah (hasil daripada daya kekuatan ilmu).
Kekuatan atau daya syahwat yang berada di bawah panduan hikmah. Mempunyai kekuatan atau daya keadilan atau pertengahan dan kesederhanaan.
Antara sifat akhlak baik yang terhasil daripada memenuhi syarat itu ialah hikmah, berani, mulia dan adil. Sebaliknya akhlak buruk yang terhasil adalah jahil, gopoh atau terburu-buru, pengecut, tidak semangat, tamak, jumud dan zalim.
Jauhi perkara haram, syubhah
Sehubungan itu, Fathi Yakan dalam bukunya ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ menyarankan supaya umat Islam mempunyai ciri-ciri akhlak yang menjauhkan diri daripada melakukan perkara haram dan berjaga-jaga daripada melakukan perkara syubhah iaitu dengan menutup pandangan daripada perkara diharamkan Allah, memelihara lidah daripada perkataan yang tidak memberi faedah, kalimah keji, bercakap kosong, mengumpat dan mengadu domba.
Bersifat malu dalam semua keadaan, di mana sifat ini mendorong seseorang meninggalkan perkara buruk dan menghalang daripada mencuaikan hak orang lain. Lemah lembut, sabar, bersifat benar, jujur dan tidak merasa takut kepada celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah SWT.
Tawaduk terutama dalam kalangan saudara Islam, menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mencari keburukan orang lain, pemurah, mengorbankan diri serta harta ada jalan Allah selain menjadi teladan dalam tindak tanduk.
Sememangnya aspek akhlak dalam Islam cukup luas di mana batasannya disempadani ‘penghasilan kebaikan’ dan garis penamatnya ‘penghalang kemudaratan’. Kedua-duanya dilaksanakan demi mencari keredaan Allah.
Oleh kerana perbuatan atau perlakuan zahir seseorang itu adalah hasil keadaan jiwanya, maka untuk mengukur akhlak seseorang adalah sukar. Namun pengukuran akhlak boleh dibuat secara tidak langsung dengan lihat tanda kepada akhlak iaitu perbuatan atau perlakuan zahir seseorang itu.
Sebagai tanda aras akhlak ini, Imam al-Ghazali meletakkan peranan syahwat dan akal sebagai piawai pengukur kebaikan serta keburukan akhlak seseorang. Ini bermakna perbuatan atau perlakuan dipamerkan seseorang sesuai kehendak syarak dan akal manusia dianggap akhlak yang baik

Tuesday, July 2, 2013

Hati beriman bebas sifat tercela

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa yang memiliki hati yang suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu.
“Ketahuilah! Wahai anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)
Hati manusia adalah raja bagi keseluruhan anggota tubuh badan. Baik dan buruk, sejahtera atau sengsara, sihat atau sakit bergantung kepada kedudukan hatinya.
Sekiranya baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati. ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati memainkan peranan yang penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi dan jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang soleh atau yang toleh.
Hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah dan niat. Di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.
Yang paling menariknya, dalam helaian al-Quran perkataan hati biasa disebut sebagai al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap, berubah-ubah dan berbalik.
Hati mudah berubah
Bertepatan dengan konotasi al-qalb itu, maka hati mudah berubah-ubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain.
Di dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain, iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar, hak dan batil.
Maka, tidak hairanlah betapa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa ini iaitu “Ya Allah Ya Tuhanku Yang membalikkan hati! Tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-Mu”.
Apabila ditinjau dalam al-Quran, ada banyak rangkaian ayat yang membicarakan mengenai hati terutama hati yang bersih lagi suci dari dosa dan maksiat.
Hati bersih dan suci itu ialah hati yang diterangi dengan cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun perasaan keraguan dan syirik dalam hatinya.
Seterusnya, hati yang bersih yakin bahawa segala apa yang wujud di alam semesta ini dicipta oleh Allah yang Maha Berkuasa. Hati yang bersih juga adalah hati yang terhindar daripada sebarang penyakit hati seperti dendam, dengki, fitnah dan pelbagai sifat tercela.
Hati yang bersih adalah hati yang dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Ia sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan dan ketaatan yang kudus kepada Allah.
Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah.
Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya memiliki hati yang bersih ini sehingga dianggap sebagai seorang manusia yang terbaik. Baginda pernah ditanya oleh seorang sahabat:
“Siapakah manusia yang terbaik? Baginda menjawab: Orang mukmin yang bersih hatinya. Kemudian baginda ditanya lagi: Siapakah orang mukmin yang hatinya bersih? Lantas Nabi pun menjawab: Iaitu orang yang bertakwa, hatinya bersih, tidak melakukan kedurhakaan dan pengkhianatan terhadap Allah, tidak berdendam dan mendengki kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Allah memberikan ganjaran kepada setiap hamba-Nya yang berniat untuk melakukan kebajikan, Allah tidak pula mencatatkan keburukan atau dosa kepada seorang yang hanya berniat di hatinya untuk melakukan kejahatan, bagaimanapun ia tidak pula dilakukannya.
Amalan tidak beretika dan tidak bermoral yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita adalah isyarat hati seseorang yang kotor, ketandusan nilai kerohanian yang luhur dan jauh daripada prinsip Islam.
Pernah berlaku satu peristiwa, yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’ad yang berkata: “Ada seorang lelaki yang lalu melewati hadapan Rasulullah, lalu baginda bertanya kepada sahabat yang duduk di sebelah baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang ini? Maka, sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki daripada kalangan terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak untuk dinikahi jika dia datang melamar, diberi syafaat jika dia meminta syafaat.
Rasulullah SAW pun diam seketika. Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati hadapan baginda. Baginda kembali bertanya: “Apakah pendapatmu mengenai orang ini pula? Lantas sahabat itu pun berkata: Wahai Rasulullah! Dia ini adalah daripada kalangan orang fakir miskin. Dia ini sememangnya layak ditolak jika datang melamar, tidak layak diberi syafaat jika dia meminta dan juga tidak layak diberi perhatian jika dia berbicara. Maka Rasulullah bersabda: “Orang ini (yang kedua) jauh lebih baik daripada orang yang pertama tadi.”
Jelas daripada kisah yang dipaparkan di atas bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukan diukur daripada kebesaran rupa lahiriah. Sebaliknya, neraca piawaian yang sebenarnya di sisi Allah ialah iman yang bertapak kukuh di dasar hatinya.

Saturday, June 8, 2013

5 pesanan penting Rasulullah s.a.w

Baginda SAW merumuskan peristiwa Israk dan Mikraj dengan beberapa pesanan penting dalam sabdanya: Pada waktu malam Israk dan Mikraj, Allah SWT telah memberikan lima pesanan berguna, antaranya:

Janganlah engkau terlalu cenderungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
Jabir bin Abdullah berkata: Pada suatu hari sewaktu saya bersama Baginda Rasulullah SAW maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW dengan berkata: Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu? Maka Rasulullah SAW berkata: Dunia itu adalah impian orang yang tidur. Bertanya orang itu lagi: Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah? Berkata Rasulullah SAW: Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam neraka Sair. Jadikan cintamu hanya kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
Firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa kamu, dan anak kamu, dan saudara kamu, dan isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah, ayat 24)
Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga kerana tiada istilah rehat semasa di dunia.
Imam Ahmad Bin Hambal apabila ditanya bilakah manusia akan merasakan kerehatan? Jawabnya: Manusia akan merasai kerehatan selepas kakinya melangkah ke syurga. Adapun sebelumnya tiada istilah yang bernama rehat.
Janganlah menaruh harapan daripada makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak berkuasa mengubah sesuatu pun.
Orang mukmin akan berputus asa dengan makhluk kerana makhluk tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kerana kekuatan sebenar adalah kekuatan Allah SWT. Dia bertawakal dan berserah diri hanya kepada Allah SWT.
Galakan mengerjakan solat tahajud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.
Ini adalah kerana malam mempunyai kelebihan tersendiri sehingga Allah SWT memilih peristiwa penting ini pada malam hari. Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu berqiamullail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi)

Monday, May 13, 2013

Kelebihan Rejab bulan menyemai benih akhirat


Rejab termasuk satu daripada empat bulan yang disebut al-Quran sebagai al-Asyhur al-hurum atau ‘Bulan Yang Dihormati’ dalam ayatnya yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36).
Hakikat ini ditegaskan dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu sudah kembali seperti keadaannya pada waktu Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan yang dihormati dan yang tiga berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dan Rejab adalah bulan Mudhar – bulan yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. (Hadis riwayat Muslim).
Antara sebab mengapa empat bulan itu dihormati adalah kerana dalam semua bulan itu dilarang melakukan apa-apa yang berkaitan dengan peperangan pada zaman Jahiliah yang dipetik hadis bermaksud: “Utusan Abdul Qais datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, kami berasal dari wilayah Rabi’ah. Antara kami dan engkau, terhalang oleh orang kafir Bani Mudhar. Kerana itu, kami tidak dapat datang kepadamu kecuali pada bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Oleh itu, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang dapat kami kerjakan dan kami seru kepada orang di belakang kami.
Baginda Rasulullah SAW sentiasa berdoa dengan doanya yang masyhur “Allahumma barik lana fi Rajab wa ballghna Ramdan” atau ertinya, “Wahai Allah, anugerahkanlah keberkatan Rejab kepada kami dan kurniakanlah kehidupan kepada kami sehingga kami berjumpa dengan bulan Ramadan.”
Kemuliaan Rejab turut dipetik bangsa Arab dalam peribahasa mereka yang menyebut ’Isy rajaban tara ’ajaban yakni hiduplah dari Rejab ke Rejab maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban. Rejab dalam peribahasa ini dikiaskan sebagai tahun. Dalam Islam ia juga dimuliakan sehingga perkara sama juga kita dapati dalam syair bahasa Melayu yang menyebut “Rejab bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, Ramadan bulan menuai. Rejab menyuci badannya, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya. Rejab bulan maghfirah, Syaaban bulan syafaat dan Ramadan bulan menggandakan pahala.”
Adat istiadat jahiliah yang dilakukan pada Rejab yang kemudian dilarang Islam adalah seperti dalam sebuah hadis maksudnya: “Tidak ada lagi fara` (anak unta pertama yang disembelih untuk berhala-berhala mereka) dan tidak pula ’atirah (haiwan ternak yang disembelih pada sepuluh hari pertama dari bulan Rejab. (Hadis riwayat Muslim).
Dari segi bahasa ‘Rejab’ bermakna ‘memuliakan, mengagungkan.’ Ibn Rajab al-Hanbali mengatakan bahawa Rejab mempunyai 14 nama termasuk Munassil al-Alsinah; Munaffis; al-Asamm; Mutahhir; Mu’alli; Muqim; Haram; Muqasyqisy; Mubri’; Fard dan Rajab Mudhar (Rejab Mudhar).

Bulan ketujuh Hijrah punyai kedudukan tersendiri sama ada pada zaman Jahiliah mahupun Islam
BERBANDING bulan-bulan Tahun Masihi, bulan pada tahun Hijrah sebaliknya hanya memiliki satu nama yang dikhususkan kepada seseorang iaitu bulan Rejab manakala yang lainnya diambil sempena keadaan musim ketika itu seperti Ramadan yang merujuk musim panas.
Separuh bulan pada tahun Masihi turut mengambil nama orang seperti Mac (nama dewa peperangan) dan Ogos (nama seorang raja) manakala bakinya pula mengikut urutan seperti September dan Disember; dan hanya dua nama bulan yang diperuntukkan kepada musim yakni Januari dan Februari.
Bagi Rejab, sebagai bulan ketujuh dalam tahun Hijrah, mempunyai kedudukannya tersendiri sama ada pada zaman Jahiliah mahupun Islam. Cukuplah bukti keutamaan Rejab dipetik sebuah hadis yang menyatakan apabila Rejab tiba, Baginda Rasulullah SAW sentiasa berdoa dengan doanya yang masyhur “Allahumma barik lana fi Rajab wa ballghna Ramdan” atau ertinya, “Wahai Allah, anugerahkanlah keberkatan Rejab kepada kami dan kurniakanlah kehidupan kepada kami sehingga kami berjumpa dengan bulan Ramadan.”
Rejab termasuk satu daripada empat bulan yang disebut al-Quran sebagai al-Asyhur al-hurum atau ‘Bulan Yang Dihormati’ dalam ayatnya yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36).
Hakikat ini ditegaskan dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu sudah kembali seperti keadaannya pada waktu Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan yang dihormati dan yang tiga berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dan Rejab adalah bulan Mudhar – bulan yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. (Hadis riwayat Muslim).
Antara sebab mengapa empat bulan itu dihormati adalah kerana dalam semua bulan itu dilarang melakukan apa-apa yang berkaitan dengan peperangan pada zaman Jahiliah yang dipetik hadis bermaksud: “Utusan Abdul Qais datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, kami berasal dari wilayah Rabi’ah. Antara kami dan engkau, terhalang oleh orang kafir Bani Mudhar. Kerana itu, kami tidak dapat datang kepadamu kecuali pada bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Oleh itu, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang dapat kami kerjakan dan kami seru kepada orang di belakang kami.
Rasulullah SAW bersabda: “Aku memerintahkan kepada kalian empat perkara dan melarang kalian daripada empat perkara. (Perintah itu ialah) beriman kepada Allah kemudian beliau menerangkannya. Beliau bersabda: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat dan memberikan satu perlima harta rampasan perang kalian. Dan aku melarang kalian dari arak dubba’ (arak yang disimpan dalam tempurung), arak hantam (arak yang disimpan dalam kendi yang terbuat dari tanah, rambut dan darah), arak naqier (arak yang disimpan dalam kendi diperbuat daripada batang pohon) dan arak muqayyar (arak yang disimpan dalam potongan tanduk).” (Hadis riwayat Muslim).
Kemuliaan Rejab turut dipetik bangsa Arab dalam peribahasa mereka yang menyebut ’Isy rajaban tara ’ajaban yakni hiduplah dari Rejab ke Rejab maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban. Rejab dalam peribahasa ini dikiaskan sebagai tahun. Dalam Islam ia juga dimuliakan sehingga perkara sama juga kita dapati dalam syair bahasa Melayu yang menyebut “Rejab bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, Ramadan bulan menuai. Rejab menyuci badannya, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya. Rejab bulan maghfirah, Syaaban bulan syafaat dan Ramadan bulan menggandakan pahala.”
Adat istiadat jahiliah yang dilakukan pada Rejab yang kemudian dilarang Islam adalah seperti dalam sebuah hadis maksudnya: “Tidak ada lagi fara` (anak unta pertama yang disembelih untuk berhala-berhala mereka) dan tidak pula ’atirah (haiwan ternak yang disembelih pada sepuluh hari pertama dari bulan Rejab. (Hadis riwayat Muslim).
Dari segi bahasa ‘Rejab’ bermakna ‘memuliakan, mengagungkan.’ Ibn Rajab al-Hanbali mengatakan bahawa Rejab mempunyai 14 nama termasuk Munassil al-Alsinah; Munaffis; al-Asamm; Mutahhir; Mu’alli; Muqim; Haram; Muqasyqisy; Mubri’; Fard dan Rajab Mudhar (Rejab Mudhar).
Rejab dikhaskan kepada puak Mudhar oleh Baginda sebagai pengiktirafan kepada mereka yang turun menurun sudah memelihara kesucian dan kehormatannya.
Rejab adalah bulan pemanasan untuk menghadapi bulan melipatgandakan pahala pada Ramadan dan ia disebut Rasulullah sebagai Syahrullah atau Bulan Allah sedangkan bulan khas Baginda adalah bulan Syaaban manakala bulan bagi umat Baginda adalah bulan Ramadan.
Apa yang perlu kita perhatikan menerusi Rejab pada masa kini, adalah daripada sudut perbincangan bidaah amalan Rejab adalah musibah yang menimpa umat Islam dengan penawanan Baitulmaqdis di Palestin.
Mungkin ada satu kesengajaan bahawa ia ditawan oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 ketika negara Israel ditubuhkan kerana ia bersamaan 6 Rejab 1367H selepas ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Mungkinkah Baitulmaqdis kembali kepada kita Rejab ini? Atau Rejab tahun depan? Atau bila?

Menghayati Keistimewaan Bulan Rejab



Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di awal bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1434 ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.
Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.

Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Sunday, October 7, 2012

Derhaka zaman moden,Anak biar ibu bapa hidup melarat


Fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Suka atau tidak, kita seharusnya menerima hakikat bahawa setiap yang muda akan menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT.
Namun, persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus dinilai setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar seorang anak.
Rasulullah SAW pernah bersabda “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu diceraikan beliau menggantikannya sebagai suami dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesama sendiri dengan hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)
Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua.
Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang dengan tulus dan ikhlas, tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan Muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Riwayat Al-Tabrani).
Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa.
Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera.
Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta.
Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah kebajikan, walaupun pada dasarnya rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris.
Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka.
Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni di kalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan saja di negara kita malah seluruh dunia.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2012, seramai 2,020 penghuni di rumah kebajikan JKM. Daripada jumlah itu seramai 982 orang (48 peratus) adalah orang Melayu Islam dan 19 peratus daripada jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes pengabaian serta dipinggirkan keluarga sendiri.
Sebanyak 26 peratus berkaitan masalah penjagaan dan tiga peratus berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.
Membenci ibu bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan adalah dosa besar.
Rasulullah SAW pernah bersabda “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu diceraikan beliau menggantikannya sebagai suami dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesama sendiri dengan hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-’As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar.
Sabda baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya”. Tanyanya lagi: “Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?” Jawab Nabi SAW: “Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya”.
Apalah gunanya anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan derhaka kepada kedua-dua orang tuanya.
Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua.
Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis bila mereka mengenangkan anak-anak yang dibelai dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.
Janganlah kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.
Sempena 1 Oktober yang diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua.
Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka.
Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang.
Ingatlah bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah pintu keredaan Allah SWT di dunia ini.

Wednesday, July 4, 2012

Rebut kelebihan Nisfu Sya’aban


SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Ata’ ibn Yasar berkata: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban.”
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata: “Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha’ hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar.”
Malam pengampunan
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan).”
Imam al-Auza’i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap pelaku bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan ummah (Muhammad SAW).
Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani’: Saya bertanya Ibnu Thauban tentang makna musyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan darah mereka.
Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya.”
Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah RA berkata: “Pada suatu malam, saya kehilangan Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di Baqi’ sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda: “Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?” Aisyah RA berkata: “Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain.”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab.”
Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: “Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud AS “Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya.”
Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: “Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka.”
Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.
“Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim.”
Mustajab doa
Abu Sa’id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah berkata, “Wahai Abu Sa’id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang pernah kamu dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu pula apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW.”
Berkata Abu Sa’id RA, “Apabila Rasulullah SAW keluar solat Subuh, Baginda SAW akan membaca: “Ya Allah! Penuhilah pendengaranku dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku dengan cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan hidayah dengan rahmat-Mu terhadapku.”
Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah: “Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan menzalimimu?” Aisyah berkata, “Saya berkata, “Bukan begitu, wahai Rasulullah!” Sabda Baginda: “Telah datang kepada saya Jibril AS dan berkata, “Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak.”
Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang dibacanya, maka Baginda bersabda, “Wahai Aisyah! Adakah kamu telah mengetahuinya?” Saya berkata, “Ya.” Baginda bersabda, “Pelajarilah dan ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada saya dan menyuruh saya mengulang-ulangnya di dalam sujud.”

Saturday, June 9, 2012

Keistimewaan solat dalam kehidupan


Ibadat terap pembinaan moral, disiplin, perpaduan sesama ummah

PERISTIWA Israk dan Mikraj menjadi bukti perjalanan Nabi Muhammad SAW menembusi dimensi waktu serta tempat dalam rangka menerima perintah solat secara langsung daripada Allah SWT, tanpa melalui perantaraan malaikat. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya peranan solat dalam kehidupan umat Islam.
Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)
Jika diamati secara mendalam, ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril, sedangkan ibadat lain seperti puasa, zakat dan lain-lain difardukan kepada umatnya melalui perantaraan wahyu disampaikan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah.
Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah ini sekali gus mengangkat martabat dan nilai ibadat solat di sisi Allah. Dalam Islam, solat adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.
Solat adalah satu kewajipan secara langsung dari Allah kepada Rasulullah dan juga kepada umatnya yang dinilai sebagai satu amalan komunikasi menghubungkan antara manusia dan Allah. Jelas di sini bahawa solat bukan hanya sekadar rukuk dan sujud tanpa pengisian jiwa dan hati sanubari dengan iman.
Sebaliknya solat adalah satu bentuk ibadat yang menuntut keikhlasan, ketakwaan dan kekhusyukan Muslim semasa menghadap Allah.
Peringatan peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu momentum bagi umat Islam untuk melakukan muhasabah diri terhadap kualiti solat dan mengambil pengajaran daripada nilai solat. Ini kerana solat yang dilakukan dengan penuh adab dan penuh khusuk, mampu mengubah seseorang Muslim menjadi lebih bertakwa dalam kehidupan peribadi dan sosialnya.
Di antara nilai solat itu adalah solat mendidik Muslim menyucikan dirinya dari sifat buruk. Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Kedua, solat mendidik kesatuan dan perpaduan ummah. Ini kerana setiap Muslim menunaikan solat akan menghadap ke arah satu kiblat yang sama, iaitu Baitullah al-Haram. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan kesatuan dan perpaduan ummah.
Natijah daripada kesatuan dan perpaduan ini akan mewujudkan perasaan saling memahami dan saling melengkapi antara sesama Muslim.
Ketiga, solat mendidik Muslim supaya memiliki disiplin waktu. Setiap Muslim yang menunaikan solat akan selalu memerhati dan menunggu masuknya waktu solat, sekali gus akan berusaha menunaikannya tepat pada waktunya, di samping menundukkan nafsunya untuk tidak tenggelam dalam kesibukan duniawi.
Keempat, solat mendidik setiap Muslim kepentingan tertib atau susunan organisasi. Solat berjemaah yang didirikan menuntut susunan jemaah yang berbaris lurus di belakang imam dengan memastikan tiadanya celah kosong antara setiap jemaah di kanan kirinya di samping menyedarkan umat Islam perlunya tertib organisasi di dalam segala lapangan hidup ummah.
Kelima, solat mendidik Muslim terhadap ketaatan kepada pemimpin. Mengikuti imam dalam setiap gerakan rukun solat, dengan tidak mendahuluinya walau sesaat pun, menunjukkan adanya ketaatan dan komitmen yang tulus dari makmum, serta menjauhkan diri daripada keingkaran terhadap perintahnya, selama mana perintah itu tidak menjurus ke arah maksiat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada ketaatan sama sekali kepada makhluk dalam keadaan bermaksiat kepada Allah SWT.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Keenam, solat mendidik Muslim memiliki sifat keberanian menegur dan memperingatkan pemimpin. Jika imam terlupa dalam sesuatu rukun solat, maka makmum berkewajipan untuk memperingatkan dan menegur imamnya dengan membaca subhanallah.
Hal ini menunjukkan kewajipan rakyat untuk memperingatkan pemimpinnya jika melakukan kesalahan atau kesilapan dalam kepimpinannya atau tidak menunaikan hak kepada rakyatnya.
Ketujuh, solat menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim. Dalam solat berjemaah, pengisian saf atau barisan solat tidak didasarkan pada status sosial, pangkat kedudukan atau darjat seseorang, walau pun pada saf yang paling hadapan.
Gambaran ini menunjukkan adanya persamaan hak tanpa mengambil kira kedudukan mahu pun tua umurnya, bukan saja di dalam solat jemaah, bahkan dalam arena kehidupan ummah.
Kelapan, solat mendidik umatnya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mendirikan solat secara istiqamah memberikan kesan kesihatan yang menyeluruh, yang dihasilkan melalui gerakan di setiap rakaat, yang dilaksanakan pada setiap hari secara minimum 17 rakaat secara seimbang. Dalam erti kata lain, solat adalah satu bentuk riadah fizikal dengan cara sederhana dan mudah gerakannya.
Jika nilai solat ini dapat diterjemahkan secara holistik dalam kehidupan setiap Muslim, maka sudah pasti satu transformasi dalam setiap dimensi hidupnya ke arah yang lebih baik akan dapat dicapai.
Info
Kelebihan solat:
Mengubah seseorang Muslim menjadi lebih bertakwa dalam kehidupan peribadi dan sosialnya
Mendidik Muslim menyucikan dirinya daripada sifat buruk
Mendidik kesatuan dan perpaduan ummah
Menghargai waktu
Mendidik ketaatan kepada pemimpin
Menanam sikap berani dalam diri Muslim iaitu bersedia menegur pemimpin buat kesilapan
Menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim

Wednesday, May 23, 2012

Menghayati keistimewaan bulan Rejab


Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di awal bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1433ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.
Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya

Thursday, January 12, 2012

Dosa besar meninggalkan solat


SEMUA orang yang mengaku beragama Islam sebenarnya sedar tentang kewajipan melakukan solat. Namun, ramai yang kesedarannya hanya bermain di hujung lidah sahaja. Tidak turun ke hati dan dizahirkan dengan perbuatan.
Maka, bukan suatu yang ganjil sekiranya kita dapati orang yang beragama Islam, namun gagal mendirikan solat. Mungkin kerana malas ataupun jahil akan akibatnya.
Sekiranya Islam itu diumpamakan sebagai rumah, maka tiang yang menjadi tunjang kepadanya ialah solat. Demikianlah perumpamaan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW dalam menyatakan peri pentingnya solat dalam kehidupan beragama seseorang muslim.
Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (riwayat Baihaqi)
Justeru, sesiapa yang meninggalkan solat walaupun mengerjakan ibadah-ibadah yang lain seolah-olah memiliki rumah yang indah dan mewah, tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh untuk menjaminnya kekal teguh.
Maka, lama-kelamaan rumah tersebut akan runtuh dan musnah menyembah bumi. Perumpamaan ini begitu signifikan sekali sekiranya dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam yang ada pada hari ini.
Bukan sedikit yang meninggalkan solat walaupun tetap melakukan ibadah yang lain seperti menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan.
Sebahagian mereka pula pada umumnya tidak meninggalkan solat, tetapi lalai serta alpa dalam mengerjakannya dengan kata lain suka melengah-lengahkan solat dan bersolat di akhir waktu.
Sebahagian lagi walaupun mendirikan solat namun gagal untuk menumpukan hati dengan penuh khusyuk dan tawaduk ketika melakukan solat. Solat hanya menjadi rutin biasa dalam kehidupannya tanpa memberikan kesan yang positif kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Bahkan, semakin hari mereka semakin jauh dari agama Allah SWT. Akhirnya, di atas kealpaan dan kelalaian ini, maka mereka digolongkan dalam neraka bersama dengan azab yang tidak terperi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (al-Maa’un: 4-5)
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (al-Muddathir: 43)
Meninggalkan solat merupakan dosa yang boleh menghampirkan seseorang itu dengan kekufuran. Ini adalah kerana, solat adalah penghubung seseorang hamba kepada penciptanya.
Sekiranya solat tidak dikerjakan, maka terputuslah hubungan dengan Allah SWT. Bukti seseorang itu masih beriman kepada Allah SWT ialah solat. Ini dapat dilihat dari firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku. Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku. (Taha: 14)
Bahkan, ada beberapa hadis yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh dianggap kufur sekiranya meninggalkan solat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a menyatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Antara seorang lelaki Muslim dengan syirik dengan kufur kepada Allah, ialah solatnya yang ditinggalkan. (riwayat Muslim)
Hadis lain yang memperkatakan tentang kekufuran akibat meninggalkan solat dengan sengaja asalah: “Perjanjian antara kami dengan mereka itu adalah solat, maka sesiapa yang meninggalkannya, maka kufurlah dia”.
Namun, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama berhubung hukum meninggalkan solat dengan sengaja, sama ada kufur atau berdosa besar.
Pandangan-pandangan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:
1. Golongan pertama berpandangan bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja, namun tidak mengingkari tentang kewajipannya dikira sebagai berdosa besar (fasiq). Tetapi dia tidak dianggap kafir.
Sebaliknya, orang yang meninggalkan solat dalam keadaan dia menafikan kewajipannya akan dianggap sebagai kafir.
2. Golongan kedua pula berpandangan bahawa meninggalkan solat secara sengaja atau malas boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, bukan berdosa besar.
Justeru, orang yang meninggalkan solat itu perlu untuk mengucap kalimah syahadah semula dan bertaubat dengan dosa kekufuran tersebut.
Daripada kedua-dua pandangan ini, pandangan pertama dilihat lebih tepat. Ini kerana, perkataan kufur atau kafir dalam hadis-hadis tersebut bermaksud melakukan dosa besar.
Walaupun begitu, ini bukanlah bermaksud kita boleh meninggalkan solat sewenang-wenangnya. Ia tetap dosa besar dan boleh mengundang murka daripada Allah SWT.
Solat yang ditunaikan secara sempurna seperti yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW menjadi asas penting kepada kecemerlangan didunia dan di akhirat.
Menerusi solat seseorang itu dididik dan dilatih agar sentiasa mengingati Allah, memperbanyakkan zikir, istiqamah dengan amalan soleh, berdisiplin dengan waktu, menjauhkan kemungkaran dan sebagainya.
Pendek kata, dengan mendirikan solat dan menghayati makna di sebalik solat itu menjadi asas kepada kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat
ampuni kami