Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Monday, January 2, 2012

TAZKIRAH 2012 - BERAMAL SEBELUM AJAL DATANG MENJEMPUT


7 Safar 1433 H | 2 January 2012 

Nukilan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Saya membaca dalam akhbar bagaimana kemeriahan sambutan tahun baru 2012, dan juga azam baru yang ditanam pada awal tahun. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kita nafas yang panjang dan mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya sementara kita dijemput untuk mengadapNya dan pergi buat selama-lamanya.

Cuma ingin saya menukilkan sedikit rasa terkilan kerana umat Islam kini seolah-olah terpaksa menggunakan dua kalendar yang berlainan. Baru saja pada bulan lepas kita menyambut awal Muharram yang merupakan sambutan tahun baru 1433 H dan hari ini kita menyambut pula tahun 2012 yang merupakan tahun baru mengikut kiraan kalendar Masehi. 


Saya sering tertanya-tanya, kenapa perlunya untuk kita menggunakan dua kalendar ini dalam kehidupan kita pada hari ini? Apakah salahnya jika hanya menggunakan kalendar Hijrah dalam semua urusan hidup kita sehari-hari?


Penetapan awal tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib yang kemudiannya ditukar nama menjadi Madinah. Menggunakan kalendar hijrah bererti menyegarkan semula ingatan kita kepada perjuangan hijrah Rasulullah SAW dan 
pahit maung perjuangan baginda dalam menyebarkan dakwah. Ia bukannya sekadar satu catatan sejarah semata-mata, tetapi ia satu pengajaran kepada umat Islam agar berusaha terus-menerus untuk melaksanakan tuntutan dakwah. 

Adakah generasi muda kita pada hari ini arif dengan sejarah Rasulullah SAW dan Bani Hasyim yang pernah menghadapi pemulauan ekonomi dan sosial selama tiga tahun? 


Adakah generasi muda kita tahu bagaimana sejarah Rasulullah SAW yang pernah berdakwah ke Taif bersama-sama Zaid bin Harithah namun dilempar dengan batu?


Inilah sebenarnya mutiara-mutiara yang berharga dalam khazanah sirah Rasulullah SAW yang jarang sekali diperdengarkan di kalangan kita pada hari ini. Justeru, apabila kalendar hijrah digunakan, ingatan terhadap sirah ini pasti akan segar semula dan masyarakat pastinya tidak terada asing dengan sejarah Rasulullah SAW.


Sayangnya hari ini, kalendar hijrah hanya menjadi satu maklumat sampingan semata-mata diatasi oleh kalendar masihi sebagai kalendar yang utama. Paling tidakpun, pada bulan Ramadhan dan Syawal kalendar hijrah menjadi terkenal tetapi selepas itu, ia hanya tinggal tulisan yang kecil sahaja di tajuk-tajuk akhbar. 


Oleh yang demikian, sangatlah besar cita-cita saya untuk melihat kalendar hijrah ini dijadikan sebagai kalendar utama khususnya di dalam kehidupan umat Islam. Apatah lagi kalendar masihi inipun asalnya dari penjajah dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran pada era penjajah. Saya tidak melihat sebarang sebab yang boleh menghalang kalendar hijrah ini digunakan sebagai kalendar utama dalam pentadbiran.


Apapun, saya berharap agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir ke alam barzakh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami