Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, January 25, 2019

Tuan Guru Haji Bakar Palestin



Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin (1908 - 1998) dilahirkan di Kampung Gandai, Ayer Hitam, Mukim Jerlun, Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman. Dalam tahun 1924, beliau dihantar ke Makkah untuk menyambung pengajiannya. Beliau duduk belajar dengan para ulama di sana sehingga tahun 1944. Dalam tempoh 20 tahun tersebut, beliau telah berguru dan menadah kitab dengan ramai ulama di sana daripada berbagai bangsa, bahkan beliau sendiri pernah menyebut yang jumlah gurunya di sana tidak kurang dari 40 orang. Kemudian beliau merantau mencari penghidupan dan pengalaman ke Palestin dan duduk di sana selama 3 tahun. Dalam tahun 1947, beliau mengambil keputusan untuk kembali ke tanahair. Beliau terkenal sebagai seorang yang amat tawadhu dan tidak suka menunjuk-nunjuk kepandaiannya. Diceritakan bahawa sekembalinya ke tanahair, ayahanda beliau, Haji Hanafiah, agak khuatir kerana tidak nampak kealiman pada diri beliau. Pada satu ketika, tok guru Pondok Ayer Hitam ketika itu, Tuan Guru Haji Idris telah memanggil dan menguji Syaikh Abu Bakar Palestin. Setelah pertemuan tersebut, Tuan Guru Haji Idris berjumpa dengan Haji Hanafiah dan memberitahu bahawa anaknya tersebut memiliki lautan ilmu. Bukti lain atas kealiman beliau adalah tok-tok guru daripada kalangan ulama Nusantara di Makkah pernah menghantar karya-karya mereka kepada Haji Abu Baka untuk ditashihkan. Di antara ulama yang pernah berbuat sedemikian adalah Syaikh Abdul Qadir al-Mandili yang masyhur ilmunya di Makkah.

Syaikh Abu Bakar Palestin meninggal dunia pada 6 Oktober 1998. Selain meninggalkan anak keturunan dan murid-murid yang ramai, Tok Guru Haji Bakar turut meninggalkan karya tulis yang banyak sehingga dianggarkan berjumlah 40 buah karya, kecil besar, dalam berbagai disiplin ilmu seperti tawhid, fiqh, tasawwuf, politik dan sejarah. Di antara karamah beliau yang dizahirkan Allah adalah ketika jenazah beliau diusung ke tanah perkuburan, turun hujan dengan lebatnya. Namun yang pelik, lubang kubur beliau tetap kering seolah-olah tiada hujan. Mudah-mudahan Allah merahmati sentiasa Tok Guru Haji Bakar Palestin dan menempatkan beliau bersama para anbiya` dan awliya`Nya.

Berbalik kepada karya beliau Nurush Shofa, karya ini walau pun ditulis dengan bahasa yang cukup bersahaja dan ringkas, namun sarat berisikan ilmu dan sirah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kewibawaan Syaikh Abu Bakar dalam bidang sirah dan sejarah telah diakui umum oleh ulama yang sezaman dengannya seperti Tuan Guru Haji Zakaria Kubang Jawi, Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Baru dan lain - lain. Syaikh Abu Bakar memulakan karangannya tersebut dengan menyatakan bahawa antara tujuan beliau menulis mengenai sirah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah untuk meraih syafaat baginda. Beliau mentamsilkan upaya menulis sirah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai ibarat mencari ikhtiar bersahabat dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam melalui mata kalam atau pena.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami