TAWASSUL DALAM BENTUK SERUAN
Utusan Malaysia, 15 Mac 2011
Ke arah kesimpulan bicara kita di dalam memurnikan kefahaman tentang Tawassul ini, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT. Sebahagiannya merupakan perbuatan para Sahabat RA. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.
Semboyan Perang “Wahai Muhammad!
Suatu contoh yang menarik ialah Tawassulnya tentera Muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah ialah: “Ya Muhammadaah!” (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).
Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid RA membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya. Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, “Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera ‘Aamir dan Zaid.” Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, “Ya Muhammadaah!” (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324).
Jelas dari peristiwa ini bahawa para Sahabat tidak merasa kekok untuk menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut. Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.
Menyeru Nama Nabi SAW Untuk Berubat
Daripada al-Haitham ibn al-Khannas berkata: Pada suatu hari, ketika kami bersama Abdullah ibn Umar RA, kakinya terasa kejang. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya, “Sebutlah nama manusia yang paling kamu kasihi.” Maka dia menyebut, “Wahai Muhammad!” Maka kekejangan kakinya pun sembuh.
Dalam satu riwayat daripada Mujahid: Pada suatu hari kaki seorang lelaki menjadi kebas ketika sedang bersama Ibnu Abbas RA. Maka Ibnu Abbas RA berkata kepadanya, “Sebutlah nama orang yang paling kamu kasihi.” Maka dia berkata, “Muhammad.” Rasa kebas kakinya tiba-tiba hilang. (Kisah ini ada di sebut oleh Ibnu Taymiyyah dalam al-Kalim al-Toyyib, bahagian 47, H: 165) Maka ini juga adalah tawassul dalam bentuk seruan.
Seruan Kepada Selain Nabi SAW
Daripada Utbah ibn Ghazwan daripada Nabi Allah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu kehilangan sesuatu, atau inginkan pertolongan, sedangkan ketika itu dia berada di tanah (kawasan) yang tiada berpenghuni, maka hendaklah dia mengucapkan, “Wahai hamba Allah! Bantulah aku.” Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang tidak dapat kita lihat.”
Amalan tawassul ini didapati mujarab.(Riwayat al-Tabrani, sebahagian rijalnya dhaif). Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa malaikat di bumi selain malaikat Hafazah yang ditugaskan mencatat daun pokok yang gugur. Maka apabila seseorang kamu berdepan dengan kesulitan di kawasan bukit tinggi di padang sahara, hendaklah berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Bantulah aku” (Riwayat al-Tabrani, rijalnya thiqah).
Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: Sabda Rasulullah SAW : ِ"Apabila binatang peliharaan kamu terlepas di tanah lapang, maka hendaklah kamu berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia. Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia”, kerana Allah mempunyai makhluk yang hadir di muka bumi yang akan menahannya.”(Abu Ya`la dan al-Tabrani) Walaupun ada kelemahan dalam sanad sebahagian hadis-hadis ini, tetapi ia saling sokong menyokong.
Nabi SAW Berdoa dengan Seruan Nabi SAW juga pernah bertawassul dalam bentuk seruan.
Dinyatakan di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW berdoa selepas solat Fajar dua raka’at: “Ya Allah! Wahai Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad! Aku berlindung denganMu daripada api neraka.” Al-Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al Sunni, telah berkata al Hafiz setelah mentakhrijnya: Ia adalah hadith hasan. (Ibnu Allan, Syarah al-Azkar, Jilid 2 H: 139)
Pengkhususan sebutan mereka dalam erti kata bertawassul dengan mereka, seolah-olah Baginda SAW bersabda, “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan Jibril, Israfil….hingga akhirnya. Ibnu ‘Allan telah mengisyaratkan kepada makna ini di dalam syarahnya, dengan katanya: Bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan qudrat ruh-ruh yang hebat ini; yang dikaitkan dengan kehidupan; mempunyai kesan yang besar kepada terhasilnya hajat-hajat dan tercapainya keinginan-keinginan yang penting.
Begitu juga penjelasan Ibnu ‘Allan di dalam Syarh al Azkar, tentang pensyariatan tawassul, beliau berkata sebagai memberikan komentar terhadap hadith, “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan kemuliaan orang-orang yang memohon.” Di dalam hadith ini terdapat keharusan bertawassul dengan kemuliaan orang-orang yang mulia secara umum dari kalangan orang-orang yang meminta (kepada Allah), dan juga orang-orang yang seperti mereka, lebih-lebih lagi lah para Nabi dan juga Rasul.
Maka bolehlah disimpulkan bahawa bertawassul dalam bentuk menyeru nama Nabi SAW atau orang-orang yang disepakati kemuliaan mereka disisi Allah SWT adalah dibolehkan dalam Islam. Tinggal lagi perbuatan ini haruslah disertai dengan keyakinan yang murni bahawa pada tahap yang sebenar, kuasa membantu dan menolong seseorang hanyalah milik Allah SWT. Wa allahu Aqlam
Ketika aku sedang duduk di sisi maqam Nabi SAW, datang seorang Arab Dusun lalu mengucapkan: “Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah SAW! Aku telah mendengar Allah SWT berfirman: “Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa`: 64) Sesungguhnya aku datang kepadamu kerana memohon keampunan dari segala dosaku, dan mengharapkan syafa’atmu kepada Tuhanku.”Setelah itu, Arab Dusun tersebut mendendangkan beberapa bait syair: “Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.”“Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati.” Kemudian orang Arab Dusun itu beredar dari situ. Peristiwa tersebut terbawa-bawa dalam tidurku. Lalu aku bermimpi melihat Nabi SAW bersabda kepadaku, “Wahai ‘Utbi! Pergi dapatkan lelaki itu dan sampaikan berita gembira kepadanya, bahawa Allah telah mengampunkan dosanya.”
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Idhah (ms. 498). Ia juga diriwayatkan oleh al Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya yang begitu masyhur ketika mentafsirkan ayat di atas. Kisah ini turut diriwayatkan oleh Syeikh Abu Muhammad Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni (jilid 3, ms.556). Ia juga dinaqalkan oleh Syeikh Abu al Farj Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Syarh al-Kabir (Jilid 3, ms.495). Selain itu, ia juga dinaqalkan oleh Syeikh Mansur ibn Yunus al-Buhuti di dalam kitabnya yang dikenali dengan Kasyshaf al-Qina’; salah sebuah kitab termasyur dalam mazhab Hanbali (Jilid 5, ms.30).
Imam al Qurtubi, seorang ulama’ besar yang menjadi sandaran ahli Tafsir, menyebut kisah yang hampir sama di dalam tafsirnya yang terkenal, al-Jami’ li Ahkam al-Quran.Beliau berkata: Telah meriwayatkan Abu Sodiq daripada Ali berkata:
“Telah datang kepada kami seorang Arab Dusun selepas tiga hari kami mengkebumikan jenazah Rasulullah J. Dia melemparkan dirinya di sisi maqam Rasulullah dan melumurkan debu-debunya di atas kepalanya. Lalu dia berkata, “Engkau telah bersabda, wahai Rasulullah! Dan Aku telah mendengar sabdamu itu. Aku telah mengingatinya daripada Allah dan daripadamu (ayat tersebut). Antara yang diturunkan oleh Allah kepadamu: “Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
“Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku datang kepadamu untuk meminta agar engkau memohon keampunan untukku.” Lalu berseru suatu suara dari Maqam, “Sesungguhnya kamu telah diampunkan.” (Al-Jami` li al-Ahkam al-Quran, Jilid 5, ms. 265)
Inilah kisah al ‘Utbi, dan mereka yang telah disebutkan di atas adalah ulama’ yang telah menaqalkan kisah ini; sama ada dengan sanad yang sohih atau pun dha’if; yang boleh menjadi sandaran para ahli hadith di dalam menentukan suatu khabar. Maka kita ingin bertanya, adakah para tokoh ulama ini menaqalkan sesuatu yang menimbulkan kekufuran dan kesyirikan? Atau, apakah mereka menaqalkan sesuatu yang membawa kepada penyembahan berhala dan peribadatan kepada kubur? Jika perkara tersebut sedemikian, maka apakah wajar diletakkan kepercayaan kepada mereka atau kepada kitab-kitab mereka? Sedangkan kita semua maklum kedudukan mereka dan kitab-kitab mereka ini di sisi umat Islam. “Maha Suci Engkau, ya Allah! Ini adalah satu pembohongan yang besar.”
Sebagaimana yang lepas, disebutkan dua bait syair yang didendangkan oleh orang Arab Dusun tersebut ketika menziarahi Nabi SAW. Ia diriwayatkan oleh al ‘Utbi, seperti berikut: “Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.”“Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati.”
Bait syair ini, dengan kurniaan Allah tertulis di bahagian hadapan maqam Nabi SAW yang mulia; di tiang yang terdapat di antara tingkap bilik maqam Rasulullah SAW. Tulisan itu boleh dilihat oleh semua, yang mulia mahupun hina sejak beratus-ratus tahun hingga zaman kita ini. Ia mengingatkan sekalian yang hadir tentang betapa mulianya maqam yang sedang diziarahi oleh mereka yang menziarahinya. Secara tidak langsung ia juga mengingatkan kita tentang sikap dan budaya para Salaf dalam menziarahi dan bermuamalah dengan Rasulullah SAW sesudah kewafatan Baginda SAW.
Mereka tidak merasa canggung untuk memuliakan maqam Rasulullah SAW. Tidak kekok untuk berbahasa dengan Baginda SAW dengan nama panggilan pertama, sama seperti bicara mereka dengan Baginda ketika hayat Baginda SAW. Tidak melepaskan peluang ziarah yang mulia itu untuk mengadu dan memohon bantuan dan syafa`at Baginda SAW sebagai wasilah mereka yang paling ampuh kepada Allah SWT. Pendek kata, mereka tidaklah cenderung untuk mengaitkan ziarah maqam yang paling mulia itu dengan gejala kesyirikan, bid`ah mahupun kesesatan.
Maka di musim umat Islam berziarah ke Tanah Suci ini, marilah kita memperbetulkan kefahaman kita tentang empunya maqam yang kita ziarahi di kota Madinah yang bercahaya itu. Janganlah dalam kita membawa jasad kita menghampiri Nabi SAW, hati kita dipenuhi dengan pra-sangka dan salah-sangka yang pada hakikatnya lebih menjauhkan diri kita daripada hadrat Nabi SAW lantas menjauhkan pula kita dengan Allah SWT. Bersiaplah dan berziarahlah sebagaimana tuan-tuan menziarahi Nabi SAW yang hidup dan bersemayam atas takhta kenabian Baginda SAW. Kerana itulah hakikatnya dan Baginda SAW amat sedar dan tahu tentang setiap yang menziarahinya, mengucap selawat dan salam ke atasnya dan merindui Baginda SAW.
TAWASSUL SAIDINA UMAR DENGAN AL ABBAS
Arkib Utusan Malaysia, 21 Mac 2011
Kisah masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup. Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.
Kisah masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup. Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: “Bahawa Umar ibn al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibn Abdul Muttalib RA, dengan doanya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.”
Al-Zubair ibn Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibn Umar RA berkata:Umar ibn al Khattab telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan ‘Abbas ibn Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang beterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai :
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya. Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah S menghormati bapa saudaranya, ‘Abbas dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai ‘Abbas!”
Di antara doa ‘Abbas RA ialah: “Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepadaMu kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepadamu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepadaMu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya.”
Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui ‘Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, “Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain.” Umar RA berkata berikutan hal tersebut, “Demi Allah! Dia (‘Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.
Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan ‘Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya. Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan ‘Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah. Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.
Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka. Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri dari kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.
‘Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: “Umat ini telah mendekatiMu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! NabiMu pada bapa saudaranya.” Maksudnya, terimalah doaku kerana NabiMu SAW.
Persoalan ini termasuk dalam permasalahan istisqa’ (memohon diturunkan hujan). Ia tiada kaitan dengan tawassul yang baru sahaja kita bicarakan sebentar tadi dan diperselisihkan. Ini adalah perkara yang diketahui oleh mereka yang mempunyai dua mata, kerana kisah ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka telah ditimpa kemarau dan berhajat untuk meminta pertolongan dengan melakukan solat istisqa’ (minta hujan). Untuk mendirikannya, sudah tentu memerlukan kepada seorang imam yang akan solat dengan mereka, berdoa untuk mereka dan mendirikan syiar Islam ini yang pernah ditegakkan oleh Nabi SAW ketika berada di alam pentaklifan (dunia) seperti syiar-syiar agama yang lain; menjadi imam, solat Jumaat dan berkhutbah. Kesemuanya ini adalah tugasan dalam pentaklifan yang tentu sahaja tidak boleh didirikan oleh penghuni alam barzakh kerana telah terputusnya pentaklifan daripada mereka dan kesibukan mereka dengan sesuatu yang lebih besar daripada itu.
Orang yang memahami bahawa Umar RA hanya bertawassul dengan ‘Abbas RA dan tidak bertawassul dengan Rasulullah SAW kerana ‘Abbas RA masih hidup dan Nabi SAW telah wafat, adalah orang yang telah mati kefahamannya, dikuasai oleh keraguannya dan hanya mengajak dirinya menilai dengan kejahilannya yang nyata. Atau pun, dia telah dikuasai oleh sifat ekstrim dengan pendapat sendiri yang ada dalam dirinya. Sesungguhnya Umar RA bertawassul dengan ‘Abbas RA hanya kerana hubungan kerabat yang dimiliki oleh ‘Abbas RA dengan Rasulullah SAW, sebagaimana yang ditunjuki di dalam doanya, “Sesungguhnya kami bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Dengan doanya itu, dia telah bertawassul dengan Rasulullah SAW melalui cara yang paling baik.
Sesungguhnya telah melencong terlalu jauh, orang yang melemparkan tuduhan syirik ke atas orang-orang Islam disebabkan perbuatan tersebut, sedangkan dia mengharuskan tawassul dengan orang hidup. Sekiranya bertawassul itu adalah syirik, sudah tentu ia tidak harus; tidak kira dengan kemuliaan orang yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Bukankah adanya kepercayaan sifat rububiyyah (ketuhanan) dan melayakkan peribadatan kepada selain Allah; sama ada kepada nabi, malaikat atau wali adalah perbuatan syirik dan kufur; tidak boleh dilakukan tanpa mengira sama ada ketika hidupnya di dunia atau di akhirat? Adakah kita pernah mendengar seseorang berkata: Sesungguhnya mengi’tiqadkan sifat rububiyyah kepada selain Allah, adalah harus jika ia masih hidup, tetapi syirik jika ia telah mati?!
Maka ketahuilah bahawa menjadikan insan yang dimuliakan sebagai wasilah kepada Allah bukan bermakna menyembah wasilah tersebut kecuali apabila dia mengi’tiqadkan bahawa wasilah itu adalah Tuhan sebagaimana keyakinan penyembah-penyembah berhala terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Apabila orang yang bertawassul tidak ada keyakinan sedemikian, maka dia melakukannya kerana diperintahkan oleh Allah supaya mengambil wasilah. Dari yang demikian, maka mengambil wasilah adalah suatu bentuk ibadah kepada Yang Memerintahkan perkara tersebut, iaitu Allah SWT.
Orang yang memahami bahawa Umar RA hanya bertawassul dengan ‘Abbas RA dan tidak bertawassul dengan Rasulullah SAW kerana ‘Abbas RA masih hidup dan Nabi SAW telah wafat, adalah orang yang telah mati kefahamannya, dikuasai oleh keraguannya dan hanya mengajak dirinya menilai dengan kejahilannya yang nyata. Atau pun, dia telah dikuasai oleh sifat ekstrim dengan pendapat sendiri yang ada dalam dirinya. Sesungguhnya Umar RA bertawassul dengan ‘Abbas RA hanya kerana hubungan kerabat yang dimiliki oleh ‘Abbas RA dengan Rasulullah SAW, sebagaimana yang ditunjuki di dalam doanya, “Sesungguhnya kami bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Dengan doanya itu, dia telah bertawassul dengan Rasulullah SAW melalui cara yang paling baik.
Sesungguhnya telah melencong terlalu jauh, orang yang melemparkan tuduhan syirik ke atas orang-orang Islam disebabkan perbuatan tersebut, sedangkan dia mengharuskan tawassul dengan orang hidup. Sekiranya bertawassul itu adalah syirik, sudah tentu ia tidak harus; tidak kira dengan kemuliaan orang yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Bukankah adanya kepercayaan sifat rububiyyah (ketuhanan) dan melayakkan peribadatan kepada selain Allah; sama ada kepada nabi, malaikat atau wali adalah perbuatan syirik dan kufur; tidak boleh dilakukan tanpa mengira sama ada ketika hidupnya di dunia atau di akhirat? Adakah kita pernah mendengar seseorang berkata: Sesungguhnya mengi’tiqadkan sifat rububiyyah kepada selain Allah, adalah harus jika ia masih hidup, tetapi syirik jika ia telah mati?!
Maka ketahuilah bahawa menjadikan insan yang dimuliakan sebagai wasilah kepada Allah bukan bermakna menyembah wasilah tersebut kecuali apabila dia mengi’tiqadkan bahawa wasilah itu adalah Tuhan sebagaimana keyakinan penyembah-penyembah berhala terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Apabila orang yang bertawassul tidak ada keyakinan sedemikian, maka dia melakukannya kerana diperintahkan oleh Allah supaya mengambil wasilah. Dari yang demikian, maka mengambil wasilah adalah suatu bentuk ibadah kepada Yang Memerintahkan perkara tersebut, iaitu Allah SWT.
kalau benarlah kisah utbi itu benar, dari Usul Fikh mana pula yang anda dapati yang membenarkan MIMPI menjadi dalil?
ReplyDelete