Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Wednesday, April 27, 2011

SALAH FAHAM TERHADAP SYAFA’AT

ALHAMDULILLAH, sesudah kita menamatkan perbahasan mengenai isu tawassul, pada minggu ini, dengan memohon taufik dan inayah Ilahi, kita akan usaha memurnikan salah faham terhadap isu-isu agama dengan beralih kepada isu syafaat. Seperti sebelumnya, pendekatan yang kita ambil adalah dengan merujuk kepada huraian pandangan Al-’Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki dalam bukunya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan). 
Usaha kami sangat sederhana dalam menyumbang kepada tugas yang berat dan besar iaitu mempertahankan agar aliran kefahaman agama Islam di negara ini dapat dikekalkan atas fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).  Sedangkan pihak-pihak yang mahu menukarkannya kepada aliran-aliran fahaman lain terus berusaha dengan menggunakan pelbagai ruang media arus perdana dan alternatif, menganjurkan seminar kecil dan besar, didokong dengan dana luar dan dalam, demi menghakis keutuhan fahaman Islam di Malaysia yang sangat dicemburui. 
Kita hanya mampu berdoa bahawa usaha kita yang tidak setanding dengan cabaran yang ada akan ditampung dan ditimbal dengan rahmat dan inayah ilahi kepada kita semua. 
Syafaat bermaksud pertolongan atau bantuan. Dalam konteks perbincangan kita, isu syafaat merujuk kepada perbahasan yang timbul berkenaan seseorang yang memohon pertolongan dan bantuan kepada selain Allah khususnya memohon syafaat daripada Rasulullah SAW. 
Sebahagian orang berpendapat bahawa tidak boleh memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia. Bahkan, menurut sebahagian orang yang gemar menimbulkan kekeliruan, bahawa memohon syafaat adalah perbuatan syirik dan sesat. 
Dalil yang mereka gunakan untuk mempertahankan pendapat mereka yang salah itu adalah firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allahlah semua syafaat. (al-Zumar: 44) 
Kita menegaskan bahawa kaedah penggunaan dalil mereka ini adalah batil. Ternyata menunjukkan kepada kefahaman mereka yang rosak.  Kesalahan mereka ini boleh dibuktikan daripada dua aspek.
Pertama, hakikatnya, tidak terdapat di sana mana-mana nas; sama ada dari al-Quran, mahupun sunnah yang melarang memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia.
Kedua, ayat itu sama sekali tidak menunjukkan kepada larangan memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia (dan di akhirat). Sebaliknya, seperti ayat-ayat lain yang seumpamanya, ayat ini diturunkan bagi menjelaskan pengkhususan Allah dengan apa yang dimiliki-Nya dan tidak dimiliki oleh orang lain (makhluk). 
Maknanya, Allah adalah Pengurus urusan syafaat yang hanya khusus bagi-Nya. Namun, ini tidak menafikan bahawa Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, apabila Dia menghendakinya.  Dia adalah pemilik kerajaan, yang berhak memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menarik kekuasaan atau kerajaan itu daripada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Ayat lain yang seumpama dengan ayat Syafa’at ini ialah firman Allah SWT: “BagiNya segala Kerajaan, dan bagiNya juga segala pujian.”(al-Taghaabun:1) Allah menyifatkan diriNya sebagai Pemilik Kerajaan, tetapi Dia juga dengan tegas menyatakan: “Engkau memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.”(Aali Imran:26) 
Sama seperti dalam ayat mengenai Syafa’at di atas, ayat-ayat ini menisbahkan segala kerajaan dan kekuasaan kepada Allah SWT. Dalam ayat lain mengenai pemilik `Izzah atau kemuliaan Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatNya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya, orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) adalah bagi mereka azab seksa yang berat, dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.” (al-Faatir:10) Tetapi di tempat lain dalam al-Quran, Allah SWT juga berfirman: “Dan milik Allahlah kemuliaan itu dan bagi rasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.”(al-Munafiqun:8) 
Begitu jugalah dalam permasalahan syafa’at. Allah SWT berfirman:“Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allah (memberi) syafa’at itu semua.”(al-Zumar: 44) Namun, Allah SWT juga berfirman, “Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah Yang Maha Melimpah-ruah rahmatNya.” (Maryam: 87). Dalam satu ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafa’at pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang sebenar-benarnya, mereka mengetahuinya dengan yakin.” (al-Zukhruf: 86) 
Maka jelasnya, sebagaimana Allah SWT berhak memberikan apa saja, kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya, bahkan Dia juga memberikan ‘kemuliaan’ yang menjadi milikNya kepada rasulNya, dan kepada orang-orang Mukmin, demikian jugalah dengan Syafa’at. Dialah yang memiliki Syafa’at itu sepenuhnya; tetapi Dia juga telah memberikan (hak memberi) Syafa’at itu kepada para Nabi dan hamba-hambaNya yang soleh. Bahkan, kepada kebanyakan orang Mukmin awam, sebagaimana yang disebut di dalam hadith-hadith sohih yang mutawatir makna. 
Lalu, halangan bagaimanakah lagi yang menghalang seseorang manusia memohon kepada Allah Yang Maha Memiliki, sebahagian daripada apa yang dimilikiNya? Lebih-lebih lagi, jika yang dipohon itu adalah kepada Yang Maha Pemurah, sementara yang memohon itu pula dalam keadaan sangat memerlukan kepada apa yang dipohonnya.
Bukankah memohon Syafa’at itu merupakan doa, dan doa itu pula suatu perkara yang diizinkan untuk melakukannya, diupayakan ke atasnya, bahkan akan dikabulkan daripada orang-orang yang beriman, lebih-lebih lagi jika yang berdoa itu adalah para nabi dan orang-orang soleh; baik semasa hidup mahupun setelah wafat; baik ketika mereka berada di alam kubur (alam barzakh), mahupun ketika hari Kebangkitan. Justeru, Syafa’at akan diberikan kepada hamba-hamba Allah yang memang telah membuat perjanjian dengan Allah Yang Maha Pemurah (bahawa Tuhan mereka adalah Allah) dan akan diterima di sisi Allah pada setiap insan yang mati dengan membawa tauhid. 
Di awal-awal bicara kita ini sudah terbayang bagi kita bahawa adalah terlalu gopoh dan cuai untuk kita menghukum sesat atau syirik sesama Islam hanya kerana memohon Syafa’at kepada Nabi SAW ataupun orang-orang soleh. Semoga kita di beri kekuatan untuk menyempurnakan perbahasan isu ini

 
SYAFAAT iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi isu di sisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain daripada Allah SWT bukan isu yang sengaja diada-adakan. Perkara ini pernah ditimbulkan oleh seorang pelajar dari negara Arab dalam satu majlis yang dianjurkan. Pelajar terbabit dengan tegas telah menegur apabila terdengar ada kata-kata berunsur memohon syafaat Nabi SAW. 
Mari kita melihat bagaimana sikap para sahabat dalam hal ini. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafaat daripada Nabi Muhammad. Baginda tidak pernah mengatakan: "Bahawa meminta syafaat daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyekutukan Tuhan kamu dengan sesuatu.
" Sebagai contoh, Anas ibnu Malik r.a pernah berkata: "Wahai Nabi Allah! Syafaatkanlah aku pada hari Kiamat. " Maka Rasulullah bersabda: "Aku akan melakukannya." (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah).
Sawaad ibnu Qaarib juga pernah berkata di hadapan nabi SAW: "Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib; Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!
" Hingga dia juga mengatakan: "Maka jadilah engkau pemberi syafaat bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafaat, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib." (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibnu ‘Abd al-Barr, dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).
Rasulullah memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafaat daripadanya.
Sahabat lain yang pernah memohon syafaat daripada baginda ialah Mazin ibnu al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: "Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari ‘Uman ke ‘Araj. Agar engkau dapat mensyafaatkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan." (riwayat Abu Nu’aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms: 77)
‘Ukkasyah ibnu Mihsan juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafaat daripada Nabi Muhammad. Ketika baginda menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab. ‘Ukkasyah berkata: "Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu.
" Rasulullah SAW terus bersabda: "Engkau termasuk di kalangan mereka.
"Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafaat atau ditolong oleh Rasulullahmelalui Syafaat Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah dijelaskan jelas dalam beberapa hadis mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafaat.
Riwayat seperti ini banyak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang mulia. Semua hadith tersebut menunjukkan keharusan memohon syafa’at daripada Rasulullah SAW semasa di dunia. Di antara mereka, ialah sahabat yang memohon dengan menentukan permohonannya, “Berilah aku Syafa’at!” Ada yang memohon supaya dapat masuk syurga, atau memohon termasuk dari kalangan orang-orang yang dahulu masuk syurga, atau memohon supaya dapat meminum air telaga Kauthar, atau dapat menjadi teman Baginda SAW di dalam syurga sebagaimana yang dikecapi oleh Rabi’ah al Aslami RA yang pernah berkata, “Aku memohon kepadamu supaya aku dapat menemanimu di syurga!” Lalu Rasulullah SAW menunjukkannya jalan untuk mencapai cita-citanya itu. Rasulullah SAW bersabda, “Bantulah aku untuk (menyempurnakan hajat)mu itu dengan memperbanyakkan sujud.
”Baginda SAW tidak pernah bersabda kepadanya atau kepada sahabat yang memohon masuk syurga, atau memohon dapat bersama Baginda SAW, atau bercita-cita menjadi ahli syurga, atau memohon dapat meminum air telaga Kauthar, atau tergolong di kalangan orang yang mendapat keampunan, “Sesungguhnya permohonan seperti ini adalah haram dan ia tidak boleh diminta sekarang, kerana waktunya belum tiba, dan tunggulah hingga Allah mengizinkan aku untuk memberi syafa’at, atau memasukkan seseorang ke dalam syurga, atau untuk memberi minuman dari Telaga al Kauthar.” Padahal, sebenarnya semua yang diminta oleh para Sahabat RA itu hanya akan terjadi setelah adanya Syafa’at Terbesar. 
Dengan demikian, jelaslah bahawa apa yang mereka minta itu ialah meminta Syafa’at. Nabi Muhammad SAW menggembirakan mereka dengan perkara tersebut dan menjanjikan mereka dengan apa yang menyedapkan hati dan menyejukkan mata mereka. Mustahil jika perkara tersebut suatu perkara yang dilarang, kemudian tidak dijelaskan kepada mereka hukumnya kerana bersikap manis di mulut sahaja atau berputar belit. Rasulullah SAW tidak sekali-kali bersikap penakut atau takut cacian dalam prinsipnya menegakkan kebenaran. Baginda SAW menyambut permohonan mereka dengan meriangkan hati mereka dan menjanjikan perlaksanaannya itu sesuai dengan tuntutan kebenaran dan berasaskan dari asal-usul agama, serta sangat jauh dari segala kebatilan dan kemunafiqan. 
Apabila telah sah memohon Syafa’at daripada Rasulullah SAW di dunia, sebelum di akhirat, bererti, Syafa’at yang diminta daripadanya di dunia, benar-benar akan diperolehi apabila tiba waktunya nanti, iaitu hari Kiamat, dan setelah Allah SWT mengizinkan para pemberi Syafa’at untuk memberikan Syafa’at mereka. Bukan bererti orang yang memohon Syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW ketika di dunia akan menerimanya sebelum sampai masanya. 
Permasalahan ini sebenarnya sama seperti khabar gembira daripada Rasulullah SAW tentang syurga yang dijanjikan kepada kebanyakan orang Mukmin. Maknanya, mereka akan masuk syurga dengan sebenar-benarnya pada masanya iaitu hari Kiamat, dan setelah Allah SWT mengizinkan mereka memasukinya pada waktu yang telah ditentukan. Bukan bererti bahawa mereka akan memasuki syurga di dunia, atau di alam barzakh. Kita percaya bahawa tiada di sana terdapat umat Islam awam yang berakal mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang bercanggah dari itu.
Wallahu aklam

No comments:

Post a Comment

ampuni kami