Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, December 7, 2010

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H


SHAH ALAM, 7 Dis: Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama
 Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.
"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid
Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.
Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.
"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.
Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.
Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.
Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.
Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).
Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.
Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.
Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.
Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.
Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi

No comments:

Post a Comment