Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Saturday, September 19, 2020

Sultan Abu Abdullah . Wan Bo Tri Tri . Kesultanan Champa

 Pendahuluan

Kerajaan Melayu Campa mempunyai sejarah yang panjang dan dipercayai ia lebih tua berbanding dengan Kerajaan Melayu yang ada di Semenanjung dan di Kepulauan Indonesia. Bagaimanapun kini, ia hanya menjadi satu wilayah dalam negara Vietnam. 

Hubungan Kelantan dengan Campa juga telah bermula lama dan dipercayai telah terjalin semenjak era Chih Tu lagi. Sebagai rekod, kerajaan Campa ini wujud semenjak tahun 192 masihi lagi. Dalam salasilah keturunan Raja-Raja Kelantan telah dinyatakan bahawa puteri kepada Sang Tawal yang bernama Puteri Tapasi (Raden Galuh Anjeng) telah dikahwinkan dengan Raja Campa yang bernama Jaya Sinha Warman ketika beliau memerintah Kelantan pada 1267-1335. Kemudian perhubungan antara Campa dengan Kelantan terjalin melalui perkahwinan sekali lagi ketika Kelantan diperintah oleh Sultan Baki Syah pada 1362-1418. Sultan Baki Syah telah mengahwinkan puterinya yang bernama Dewi Nareswari yang juga digelar sebagai Puteri Saadong II dengan Raja Campa. Satu kebetulan atau ianya sudah ditakdirkan, ketika kedua-dua perkahwinan ini berlangsung, Sayyid Hussien Jamadil Kubra juga terkait jua, kerana Puteri Tapasi adalah iparnya manakala Dewi Nareswari adalah  anak saudaranya. Dalam artikel ini penulis akan cuba jelaskan bagaimana Wan Abu Abdullah yang juga anak Sayyid Ali Nurul Alam boleh ditabalkan menjadi Raja Campa pada 1471-1478. 

Latar Belakang
Islam mula bertapak di Campa semenjak abad ke-7/8 lagi, sumber menyatakan bahawa Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab pada ketika itu adalah dari fahaman Syiah yang membawa diri dari Timur Tengah kerana tekanan daripada Ummaiyah. Mereka telah menetap di PhanRang (Padurangga). Hal ini dapat dibuktikan dengan batu bersurat bertarikh 1035 Masihi dan batu nisan bertarikh 1039 Masihi, malah satu catatan Sung Shih (Sejarah Dinasti Sung) menyatakan Orang Islam Campa telah menghantar perwakilan ke China semasa pemerintahan Hsien-te (954-959M), ini bermakna Islam sudah kukuh di Campa.

Komuniti Islam di Pandurangga telah lupus setelah berlakunya konflik antara pemerintah Champa pada waktu itu. Dinyatakan bahawa setelah kekalahan Jaya Simhawarman II kepada Dai Viet pada 1044, Jaya Parameswarawarman I telah naik menjadi Raja Campa dan menjadikan Padurangga sebagai Ibu Kota. Hal ini tidak disetujui oleh komuniti Islam kerana Raja baru ini adalah seorang yang beragama Hindu. Penolakkan ini telah mendorong Raja baru itu untuk menyerang penduduk Islam dan menawan mereka pada 1050. Sebagai memperingati kemenangan ini, Jaya Parameswarawarman telah membina sebuah lingga di atas bukit Po Klaung Garai. 

Dakwah Islam telah sampai lama walaupun ia bukan dari fahaman Ahlul Sunnah, jelasnya terdapat ruang untuk menyebarkan Islam di Campa. Perkara ini menjadi semakin rancak ketika kedatangan Sayyid Hussien Jamadil Kubra, hingga beliau telah dikahwinkan dengan Puteri Ramawati, anak kepada Sultan Zainol Abidin, Raja Campa pada 1355. Pada waktu itu sebahagian penduduk Campa telah menganut agama Islam. 

Sayyid Hussien Jamadil Qubra banyak melibatkan diri dalam misi dakwah di Champa, kerana di Chermin pada masa itu adiknya, Syeikh Thanauddin telah menatap sekitar kawasan Bukit Panau. Dinyatakan bahawa Sayyid Nurul Alam juga turut dilahirkan di Campa. Ini bermakna aktiviti Syeikh Hussien lebih dominan di negeri tersebut. Kemudian setelah Ayuthya menyerang kedudukan Cermin diyakini bahawa anak-anak beliau ada di Campa.

Justeru, tidak hairan anak beliau bernama Po Tri Tri atau Bo Tri Tri itu berkahwin pula dengan puteri Raja Campa. Pada 1471, Campa telah diserang oleh Dai Viet (Annam) yang juga merupakan jiran tetangganya. Dalam serangan tersebut bapa mertuanya telah ditawan dan dibawa ke Annam. Setelah itu, Bo Tri Tri inilah yang ditabal menjadi Raja Campa dan dimasyhurkan dengan nama Sultan Wan Abu Abdullah. Beliau telah memindahkan ibu kota Campa dari Vijaya ke Pandurangga.

Dakwah Islam
Semasa pemerintahan Sultan Wan Abu Abdullah ini, ramai rakyat Campa telah memeluk Islam dan yang telah membetulkan akidah mereka kepada Ahlul Sunnah. Beliau telah membawa masuk pendakwah-pendakwah Islam dari Patani, India dan Arab melalui pelabuhan Padurangga. Banyak pembaharuan yang dibuat oleh beliau seperti:

  • Menggantikan penggunaan Bahasa Melayu Lama (Sanskrit) kepada Bahasa Melayu Nusantara seperti penggunaan hari ini.
  • Menyusun suaikan kebudayaan lama yang berteraskan Hindu-Buddha kepada kebudayaan yang sejajar dengan Islam.
  • Menyatukan suku kaum Campa dan hanya berpegang kepada Islam.
  • Mempertingkatkan keupayaan Pelabuhan Pandurangga dan Pelabuhan Kauthara untuk merancakan kegiatan ekonomi Campa.
Akhirnya pada 1478, beliau telah turun dari takhta dan menyerahkan kepada dua orang anak saudaranya iaitu Sultan Wan Abu Yussuf (1478) dan Sultan Wan Abdul Kadir / Ko Lai (1478-1515).

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Saya baca artikel tuan mengenai Wan Bo Tri Tri dan kesultanan Champa. Saya ingin beri beberapa pembetulan berdasarkan rekod keluarga sendiri dan sumber sejarah yang muktabar.

    Maha Sajan, Maha Saya dan raja-raja Champa sebelumnya adalah Hindu, bukan Islam. Nama mereka berasal dari Sanskrit: Indravarman (dilindungi Indra), Jaya Sinhavarman (kemenangan-singa-dilindungi), Bhadravarman, Harivarman. Mustahil seorang raja Muslim menamakan anaknya sempena dewa Hindu. Bukti arkeologi juga jelas—Mỹ Sơn, Po Nagar, Đồng Dương, Po Klaong Garai semuanya kompleks kuil Hindu yang dibina oleh raja-raja Champa. Tiada masjid diraja dari zaman Vijaya.

    Indravarman (Indera Berma) adalah tokoh sejarah yang nyata. Sejarah Melayu mencatatkan bahawa selepas kejatuhan Vijaya pada 1471, baginda melarikan diri ke Melaka bersama ribuan pengikut, diterima oleh Sultan Mansur Shah, memeluk Islam, dan dilantik sebagai Mantri. Baginda mentadbir penempatan pelarian Champa di Bukit Mor dan dikenali oleh rakyatnya sebagai "Raja Mor." Dua anakandanya ialah Raja Indera Berma Shah dan Raja Indera Perma Shah.

    Islam sampai kepada keturunan diraja Champa melalui penghijrahan dan penempatan, bukan sebelum itu. Raja-raja Champa ketika itu Hindu. Pelarian yang menetap di tanah Muslim—Melaka, Aceh, Kelantan, Patani—memeluk Islam secara beransur-ansur. Itulah proses sejarah yang sebenar.

    Saya katakan ini sebagai keturunan Indravarman, dengan rekod keluarga yang lebih awal daripada blog ini. Saya hargai minat tuan terhadap sejarah Champa, tetapi mohon lebih berhati-hati sebelum mengislamkan raja-raja Hindu secara retroaktif. Ia bukan sahaja menyalahi rekod sejarah, malah tidak menghormati nenek moyang itu sendiri.

    Wassalam.

    ReplyDelete

ampuni kami