Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Sunday, November 17, 2019

Maulid berzanji.

💚KITAB 'IQDUL JAUHAR FI MAULIDIN NABIYYIL AZHAR 💚

Sayyid Ja'far bin Sayyid Hasan bin Sayyid 'Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji adalah seorang ulama besar keturunan Junjungan Nabi ﷺ dari keluarga Sādah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1126H. Segala usul Sayyid Ja'far semuanya merupakan ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesholehan. Al 'Allāmah Sayyid Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas al-Māliki di kitab dalam "Haul Ihtifāl bi Dzikra al-Maulid an-Nabawi asy-Syarif" menulis pada halaman 54 :-

العلامة المحدث المسند السيد جعفر بن حسن بن  عبد الكريم البرزنجي مفتي الشافعية بالمدينة المنورة، قد اختلف في وفانه، فقد ذكر بعضهم، أنه توفي سنة 1177هـ  والزبيدي في المعجم المختص وهو مخطوط أنه توفي سنة 1184هـ  والزبيدي لقيه وحضر دروسه في المسجد النبوي الشريف، وهو صاهب المولد المشهور المعروف بمولد البرزنجي، واسمه ((عقد الجوهر في مولد النبي الأزهر)) ومولده هذا من أشهر الموالد وأكثرها انتشارا في البلاد العربيه والإسلامية شرقا وغربا، بل يحفظه الكثير من العجم والعرب، يقرؤونه في المناسبات الاجتماعية والدينية، وقد اشتمل على خلاصة للسيرة النبوية من المولد فالمبعث فالهجرة فالأخلاق فالغزوات ألى الوفاة ......
وشرحه العلامة الفقيه الشيخ أبو عبد الله محمد بن أحمد المعروف بعليش المتوفي سنه 1299هـ شرحا كافيا مفيدا سماه (( القول المنجي على مولد البرزنجي)) طبع بمصر مرارا

Terjemahan: 《《Al-'Allāmah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji adalah MUFTI ASY-SYAFI`IYYAH di Kota Madinah al-Munawwarah. Telah berlaku perselisihan tentang tarikh kewafatannya, di mana sebahagiannya menyebut yang beliau meninggal pada tahun 1177H. Menurut Imam az-Zabīdi dalam manuskrip "al-Mu'jam al-Mukhtash" menulis bahawa beliau wafat tahun 1184H, di mana Imam az-Zabīdi pernah berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia. Beliau adalah pengarang kitab maulid yang masyhur dan terkenal dengan (nama) Maulid al-Barzanji yang namanya I'qdul Jauhar fi Maulid an-Nabiyyil Azhar. Maullid karangan beliau ini adalah di antara kitab maulid yang paling tersohor dan paling luas tersebar ke pelosok negeri 'Arab dan dunia Islam, baik di Timur maupun di Barat. Bahkan ramai kalangan 'ajam dan 'arab yang menghafalnya dan mereka membacanya dalam perhimpunan-perhimpunan agama yang munasabah. Kandungannya merupakan khulāshoh (ringkasan) sirah nabawiyyah yang meliputi kisah lahir Baginda ﷺ, perutusan Baginda ﷺ sebagai rasul, hijrah, akhlak, peperangan sehingga kewafatan Baginda ﷺ ... Kitab "Maulid al-Barzanji" ini telah disyarahkan oleh al-'Allāmah al-Faqīh asy-Syeikh Abu 'Abdillāh Muhammad ibn Ahmad yang terkenal dengan panggilan Ba`ilisy yang wafat tahun 1299H dengan satu syarah yang memadai, cukup elok dan bermanfaat yang dinamakan "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji" yang telah banyak kali diulang cetaknya di Mesir.》》

Sayyid Ja'far al-Barzanji رحمه الله, selain  dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan bahawa satu ketika di musim kemarau, sedang beliau sedang menyampaikan khutbah Jumaatnya, seseorang telah meminta beliau beristisqa` memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan, dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Junjungan Nabi ﷺ  dahulu. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebahagian ulama pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:-

♡سقى الفروق بالعباس قدما * ونحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك وسيلة لهم وهذا * وسيلتنا إمام العارفينا♡

♡ Dahulu al-Faruuq dengan al-'Abbas beristisqa` memohon hujan * Dan kami dengan Ja'far pula beristisqa` memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan * Dan ini wasilah kami seorang Imam yang 'aarifin♡

Sayyid Ja'far al-Barzanji رحمه الله wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi`, sebelah bawah maqam nenda-nenda beliau dari kalangan anak-anak perempuan Junjungan Nabi ﷺ. Allahu ... Allah. Bertuah sungguh Sayyid Ja'far. Karangannya membawa umat ingatkan Junjungan Nabi ﷺ, membawa umat kasihkan Junjungan Nabi ﷺ, membawa umat rindukan Junjungan Nabi ﷺ. Setiap kali karangannya dibaca, pasti sholawat dan salam dilantunkan buat Junjungan Nabi ﷺ. Juga umat tidak lupa mendoakan Sayyid Ja'far yang telah berjasa menyebarkan keharuman peribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia keturunan Adnan. Allahu ... Allah.

abu zahrah abdullah thahir
21 rabiul awwal 1441H/17 nov 2019
catatan sebelum tidoq; 23:44mlm, tmn seri gombak

No comments:

Post a Comment

ampuni kami