Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, May 14, 2013

TG Nik Aziz berjaya tumpulkan keris nasionalis

Harakahdaily,14 Mei 2013




 Antara kejayaan besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah berjaya menonjolkan nilai Islam yang menolak perkauman dan tidak sesekali menzalimi kaum-kaum lain.

Menurut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, pendekatan Tuan Guru Nik Aziz itu telah menyebabkan bukan sahaja Islam itu dipandang tinggi, malah orang bukan Islam juga menyambut baik perjuangan Islam itu sendiri.

"Saya yakin, misi dakwah yang merentasi bentang perkauman dan darah bangsa yang dibawa oleh Tuan Guru telah berhasil menumpulkan keris nasionalis yang diasah oleh golongan-golongan tertentu.

"Hasilnya, non muslim begitu menyambut baik perjuangan Islam dan tanpa segan silu mengangkat panji-panji perjuangan Islam kerana yakin bahawa Islam tidak pernah menzalimi penganut agama lain sebagaimana yang telah terbukti di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Menteri Besar di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim hari ini.

Selain itu juga kata Ahmad, 23 tahun memerintah Kelantan Tuan Guru juga telah membuktikan bahawa golongan ulamak juga mampu mengurus tadbir negeri.

Katanya, bekas Menteri Besar Kelantan itu telah berjaya memecahkan persepsi sebahagian besar rakyat Kelantan bahkan seluruh negara khususnya terhadap golongan ulama.

"Jika sebelum ini, persepsi rakyat terhadap golongan ulama ialah ulama tidak boleh mentadbir dan hanya layak berada di beranda madrasah atau masjid membelek kitab kuning untuk dibaca di dalam kuliah, tetapi hari ini dengan kejayaan YB Tuan Guru mentadbir negeri Kelantan lebih daripada dua dekad, persepsi ini telah berjaya diranapkan," katanya.

Tuan Guru ujarnya telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah itu sejak tahun 1990 lalu.

Ianya boleh diukur denga pelbagai saranan dan pembaharuan dibuat sehingga membuka mata ramai pihak bahawa sebenarnya Islam lebih layak untuk mentadbir berbanding syariat ciptaan manusia.

Menurut Ahmad lagi, kejayaan pentadbiran Tuan Guru yang memandu masyarakat dengan agama, lebih penting dari kejayaan membina bangunan yang tinggi dan jalan raya yang bersimpang siur.

Umum maklum katanya, bahawa Tuan Guru memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk perjuangan parti bahkan beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya.

Tuan Guru juga sering memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan malah beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

"Sungguh ketara sekali, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.

"Hasilnya, sekalipun silih berganti pemimpin di peringkat kerajaan pusat, kerajaan Kelantan alhamdulillah gagal dijatuhkan dalam enam kali pilihanraya umum berturut-turut, satu tempoh yang cukup lama bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan untuk bertahan sekalipun diasak dengan pelbagai serangan," kata Ahmad.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami