Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Wednesday, September 14, 2011

Remaja dan pemantapan aqidah

Remaja tercari-cari identiti mudah lakukan kesilapan
REMAJA dan akidah adalah satu subjek menarik. Remaja sering dirujuk kepada satu tempoh dalam perkembangan manusia dan dari sudut biologi, tatkala pertumbuhan sekunder mula berlaku, khususnya kematangan organ seks membawa kepada perembesan hormon tertentu yang boleh mempengaruhi emosi.

Tindak balas sosial dan persekitaran terhadap perubahan emosi yang berlaku membina pengalaman remaja dan akhirnya membentuk pemikiran serta cara bertindak.
Remaja peka dengan identiti diri. Penampilan dan gaya hidup menguasai topik perbincangan remaja selain sering dikaitkan dengan idola atau ikon remaja. Ikon yang dipilih banyak dipengaruhi rakan sebaya mahupun media. Namun, dalam pembentukan identiti diri timbul kesalahan dari cara berfikir atau boleh dilihat sebagai proses tercari-cari yang boleh melahirkan kesilapan termasuklah tanggapan terhadap ketuhanan.
Timbul persoalan, bagaimanakah hubungan aku dengan Tuhan?, perlukah aku mempunyai Tuhan?, bagaimanakah Tuhan? dan pelbagai lagi persoalan berkaitan ketuhanan. Keadaan ini akan bertambah parah dengan maklum balas daripada masyarakat sekeliling.
Ketiadaan tempat yang boleh memberi maklum balas atau melayan persoalan berkaitan akidah mengakibatkan remaja ditinggalkan dalam kekaburan dan kebuntuan yang melemaskan. Tambahan pula persoalan berkaitan ketuhanan jika ditimbulkan dianggap biadab dan memalukan.
Masyarakat gagal memahami ini adalah salah satu proses kematangan fikiran. Perubahan ini normal dan menepati fitrah manusia. Secara kognitifnya remaja sudah boleh dan semakin baik pemikirannya berkenaan perkara yang abstrak, institusi logiknya semakin berkembang baik.
Inilah yang dipesan oleh Imam al-Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumiddin supaya ilmu akidah diajar pada peringkat awal menerusi hafalan dan diubah penekanannya kepada aras kefahaman apabila semakin meningkat dewasa.
Kesempatan inilah diambil pihak yang dengan sengaja mendakyah agama mereka kepada generasi muda Islam. Dalam kekaburan atau lebih tepat lagi proses kefahaman serta pencarian makna Tuhan, kefahaman yang salah diselitkan secara halus dan sistematik.
Seharusnya pendakwah Islam mesti lebih peka dengan strategi sebegini. Persoalan sebegini turut ditampilkan dalam al-Quran. Kisah Nabi Ibrahim meminta Allah menunjukkan kekuasaan-Nya membangkitkan jasad yang telah lama meninggal dunia di akhirat kelak dirakam dalam al-Quran.
Keinginan Baginda untuk melihat kejadian seumpama itu dinyatakan dalam ayat yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang yang mati. Allah berfirman: Belum yakinkah kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah meyakininya, akan tetapi supaya hatiku tetap mantap (dengan imanku).” (Surah al-Baqarah, ayat 260)
Ayat ini memperlihatkan tujuan Nabi Ibrahim terhadap hajat itu sebagai memantapkan lagi keimanan Baginda kepada Allah, maka Allah memerintahkan Baginda mencincang beberapa ekor burung dan meletakkannya di satu tempat.
Firman-Nya yang bermaksud: “(Kalau demikian), ambillah empat ekor burung lalu cincanglah semuanya. Allah berfirman: Lalu letakkanlah di atas bahagian-bahagian itu, kemudian panggil mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Allah memperkenankan hajat Baginda lalu menunjukkan kekuasaan-Nya di hadapan Baginda supaya memantapkan keimanan Baginda.
Satu lagi kisah seumpamanya berlaku pada Nabi Musa dicatatkan dalam Surah al-A’araf. Baginda ingin melihat zat Allah tapi gagal kerana Baginda jatuh pengsan sebelum dapat melihat zat Allah.
“Dan tatkala Musa datang untuk (munajat) dengan (Kami) pada waktu yang Kami tentukan dan Tuhan berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: Ya Tuhanku nampakkanlah (Zat Engkau) kepadaku supaya aku dapat melihat kepada Engkau.”
Tuhan berfirman: “Kamu sesekali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi melihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sedia kala) nescaya kamu dapat melihat-Ku. Tatkala Tuhannya nampak bagi gunung itu, kejadian itu menjadikan gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada-Mu dan aku orang yang pertama beriman.”
Kegagalan melihat zat Allah itu tidak menjejaskan keimanan Nabi Musa malah meneguhkan lagi keyakinan Baginda terhadap Allah.
Kisah ini membuktikan manusia hatta seorang nabi pun masih memerlukan peneguhan terhadap keimanan. Selain itu keinginan atau bukti mahupun hujah yang boleh memperkukuhkan keimanan perlu dilayani sebaiknya. Allah memperkenankan hajat dua rasul-Nya tanpa sebarang syarat.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami