Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Saturday, July 30, 2011

Iringi ucapan istighfar dengan taubat bersungguh-sungguh

BANYAK ayat dalam al-Quran menegaskan perintah Allah kepada hamba-Nya supaya sentiasa bertaubat kepada-Nya. Demikian juga pesanan disampaikan Nabi SAW bahawa Allah mengajar kita bagaimana untuk bertaubat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, kami menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, pasti kami akan termasuk orang yang rugi.” (Surah al-A’raf, ayat 23)
Sesetengah daripada kita beranggapan taubat itu cukup sekadar melafazkan ucapan lisan seperti beristighfar sedangkan ucapan itu mestilah seiringan dengan isi hati dan juga segala gerak laku anggota badan yang lain.
Ingatlah bahawa ucapan istighfar pada lafaz di mulut saja tanpa disertai dengan usaha serta tindakan meninggalkan perbuatan yang bertentangan dengan syarak adalah perbuatan orang yang berdusta.
Fudhoil bin ‘Iyadh berkata: “Istighfar yang tidak terhenti daripada melakukan dosa adalah suatu taubat dari seorang pembohong.”
Hebatnya kekuatan istighfar itu sehingga syaitan pun takut serta binasa dengan sebabnya. Justeru, digalakkan kita sentiasa beristighfar sebagai pendekatan secara lisan untuk memohon keampunan daripada Allah, kemudian diikuti dengan amalan soleh.
Ibnu Jauzi mengatakan: “Iblis pernah berkata: Aku binasakan manusia dengan dosa, tetapi mereka membinasakanku dengan istighfar dan lafaz ‘tiada Tuhan melainkan Allah.”
Dalam satu pesanan yang panjang, Robi’ bin Khutsaim mengatakan, “Bermohonlah dengan penuh kerendahan diri dan berdoalah kepada Tuhan dalam keadaan lapang, sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: Barang siapa berdoa kepada-Ku di waktu lapang, nescaya Aku mengabulkan permohonannya di waktu dia kesusahan.
Barang siapa meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya. Barang siapa yang merendahkan hatinya untuk-Ku, nescaya Aku mengangkat darjatnya. Barang siapa yang tetap mengabdikan dirinya kepada-Ku, nescaya Aku merahmatinya. Dan barang siapa yang beristighfar kepada-Ku, nescaya Aku mengampuninya.”
Sebenarnya ramai ilmuwan Islam dan ulama terdahulu yang meninggalkan pesanan mengenai kepentingan bertaubat antaranya Qatadah berkata, al-Quran menunjukkan kepada kamu penyakit dan ubat bagi kamu. Adapun penyakit kamu itu adalah dosa dan ubatnya ialah istighfar.
Memang benar, kerana dalam kehidupan seharian kita sentiasa dilingkungi pelbagai dosa yang mungkin kita sendiri tidak menyedarinya. Justeru, melakukan taubat melalui pengucapan lisan beristighfar adalah mekanisme paling mudah dilaksanakan.
Saidina Ali Abi Talib berkata: “Sungguh aneh bagi orang yang dibinasakan, sedangkan dia mempunyai jalan keselamatan. Lalu beliau ditanya, apakah jalan keselamatan itu? Kata Ali: Istighfar. Kemudian dia menyambung penerangannya: Allah tidak mengilhamkan istighfar kepada seorang hamba jika Dia ingin menurunkan azab kepadanya.”
Jika kita ikuti perjalanan hidup Luqman al-Hakim, persoalan istighfar juga sangat difokuskan olehnya tatkala menasihati anaknya. Kata Luqman: “Wahai anakku, ada masa tertentu bagi Allah di mana Dia tidak menolak permintaan bagi sesiapa yang meminta, maka perbanyakkanlah istighfar.”
Begitulah Luqman al-Hakim yang sentiasa membimbing anaknya meniti jalan suci menuju kehidupan dunia dan akhirat yang diredai Allah. Isteri Nabi SAW, Aishah juga pernah mengatakan berbahagialah sesiapa yang mendapati banyak istighfar pada buku lembaran amalannya.
Sementara Abu Minhad pula memberitahu: “Tiada jiran yang lebih dicintai oleh seorang hamba ketika berada di alam kubur, selain daripada istighfar.”
Memperbanyak beristighfar adalah komoditi berharga yang akan menjadi teman akrab kepada seseorang di alam barzakh nanti. Inilah penyinar kegelapan kubur dan mampu menjadi benteng diri dari azab Allah.
Salah satu manfaat istighfar ialah Allah menjadikannya wadah untuk mencegah daripada terkena azab dan seksa. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, walaupun kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedangkan mereka meminta keampunan.” (Surah Al-Anfal, ayat 33)
Menyentuh hal itu, Abu Musa al-Asha’ari berkata: “Ada dua perkara yang melindungi kita daripada turunnya azab, salah satunya adalah adanya Rasulullah SAW antara kita, dan satu lagi ialah istighfar yang mengikuti kita. Jika sudah tidak ada lagi istighfar, nescaya kita semua akan binasa.”
Bertaubat dengan memperbanyak ucapan lisan beristighfar juga akan menjadi bekalan untuk Allah mengangkat darjat hamba-Nya di syurga. Malah istighfar seorang anak yang soleh memberi manfaat besar kepada kedua-dua ibu bapanya

No comments:

Post a Comment

ampuni kami