Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Monday, May 28, 2012

Haron Din bertarung nyawa 10 jam



(Gambar: Kepulangan Datuk Dr Haron Din disambut ramai kalangan penyokong PAS dan anggota Darus Syifa)

BANGI: Hati anak mana yang tidak gembira apabila bapa tercinta kembali sihat dan ceria.

Begitulah yang dialami lima pemata hati Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mula sembuh dari pembedahan jantungnya dan selamat tiba ke tanah air 13 Mei lalu.

Dr Haron Din, seorang tokoh agamawan melakukan pembedahan di Stanford Hospital & Clinics, San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.

Anak keduanya, Hamdi Haron (gambar)yang juga seorang peguam sempat meluangkan masa menceritakan keadaan bapanya kepada Harakah Khamis lalu.

Datuk Haron, mendapat rawatan sejak 18 Mac lalu dirawat oleh Pakar Bedah Jantung, Dr Robert C Robbins.

Selama berada di sana katanya, mereka sekeluarga termasuk bondanya Datin Khadijah Mohd Salleh tidak berenggang dengan bapanya.

"Alhamdulillah sejak buat pembedahan dan dimasukkan pula ke  ICU dan CCU ada perkembangan dan kesihatan beliau makin sihat," katanya yang ditemui di kediaman bapanya di Bandar Baru, Bangi, Selangor.

Selama sepuluh jam bertarung nyawa di bilik bedah, katanya bapanya tidak patah semangat dan seolah-olah tidak ada rasa sakit.

Ini katanya, apabila diminta oleh doktor untuk melakukan pelepasan batuk selepas menjalani pembedahan bapanya berjaya melakukan sekuat hati.

"Sampai doktor dan pesakit sebelah katilnya bertanya, tak sakit ke, dia kata tak, itulah kelebihan yang Allah kurnia kepadanya," ujarnya.

Begitu juga, katanya apabila kakaknya, Dr Huda Haron dan adiknya Dr Azlin Haron setiap pagi mencuci pahanya yang terpaksa dibedah sedalam satu inci dan lebarnya tiga inci, tidak juga dirasai sakit.

Dengan selamba dan bersahaja bapanya membiarkan adik dan kakaknya mencuci luka tersebut.

Itulah katanya, tiada memek muka kesakitan dan keluhan langsung darinya.

Beliau juga memberitahu, doktor meminta supaya bapanya berehat dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Bagi mempercepatkan proses pemulihan dan penyembuhan, doktor menyarankan supaya beliau memakan sarang burung layang-layang juga, katanya.

Sarang burung yang dibuat sup ketika berada AS, terus diamalkannya sehingga sekarang.

Bercerita lanjut Hamdi berkata, semasa dalam rawatan bapanya meminati makan 'taufu fah' dan makanan Jepun iaitu sushi dan sup jepun.

"Makanan itu ada di sana, jadi tak ada masalah untuk kami carikan untuknya.

"Tambahan pula ada rakyat kita yang bekerja di AS sudi menolong kami," katanya.

Dalam pada itu, sambungnya semangat bapanya untuk mengikuti perkembangan politik tanah air masih menebal.

"Dalam keadaan masih lemah dia nak tahu juga masa hari Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

"Kebetulan adik saya Salwa dan Hana ada di tanah air dan mereka up-date pula perhimpunan itu, dengan penuh minat beliau ikutinya.

"Ertinya perjuangan politik dalam parti tidak pernah pudar bahkan terus berkobar dan membara," ujarnya.

Beliau berkata, penyokong PAS tidak perlu risau dengan kesihatan dan perjuangan bapanya dalam parti.

Cuma katanya, untuk sementara waktu ini, bapanya perlu membuat rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Kebetulan pula semasa bertandang ke rumahnya, Dato' Haron pergi ke IJN untuk mendapat pemeriksaan lanjutan.

"Minta maaflah hari ini dia kena pergi jumpa doktor di IJN dan petang ini selesailah tu," katanya yang tidak jemu-jemu menceritakan keadaan bapanya yang dikenali ramai itu.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami