Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, September 9, 2011

Dato Mursyid Diraja Tn Guru Hj Tajudin , Pondok Melele Kedah

Latarbelakang Diri Dan Pendidikan


Dato’ Haji Tajudin dilahirkan di belakang Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah Darul Aman, pada 27 Ramadhan 1343H bersamaan 18 Septe 1924M). Nama penuh  beliau ialah Haji Tajudin bin Sheikh Abdul Rahman Al Jarumi. Bagaimanapun beliau lebih dikenali dengan berbagai panggilan bersesuaian dengan sikap, sifat dan kebolehan serta pribadi yang dimilikinya. Panggilan-panggilan seperti Tok Ayah dan Tok Guru merupakan dua panggilan yang begitu sinonim terutama bagi murid-murid dan masyarakat setempat.

Beliau adalah anak Sheikh Abdul Rahman yang ke 8 daripada 11 orang adik beradik. Beliau juga mempunyai 2 orang saudara seibu. Gelaran Al Jarumi adalah disabitkan dari gelaran neneknya Tok Sheikh Jarum (1849 -1911) iaitu salah seorang ulamak yang terkenal di Kedah dan Nusantara pada abad yang ke 19juga merupakan guru kepada baginda Sultan Abdul Hamid Halim Shah.  Nama sebenar Tok Sheikh Jarum ialah Sheikh Wan Idris bin Wan Jamaluddin bin Sheikh Wan Abdul Latif bin Sheikh Wan Shamsuddin bin Sheikh Wan Muhammad Faqih bin Sheikh Wan Muhammad Yasin bin Sheikh Ibrahim Al Hadrami bin Sheikh Ibar al Hadrami al Jarmi atau lebih dikenali umum sebagai Sheikh Jamaluddin al Kubro.
Manakala bapa beliau juga adalah seorang ulamak yang terkenal di Alor Setar iaitu Sheikh Abdul Rahman Al Jarumi yang telah membuka pondok di Batu 1, Jalan Sungai Korok, Alor Setar. Beliau juga menjadi guru kepada Baginda Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishahserta kerabat-kerabat. Ibu beliau Nik Rahmah (Nik Doh) binti Nik Abdul Manafadalah seorang guru Al Qurandan merupakan kerabat Raja Teluban salah sebuah Wilayah di Patani.
Semasa zaman kanak-kanak beliau memperolehi pendidikan rendah dipondok ayahnya sendiri iaitu di pondok Batu 1. Di samping belajar menulis dan membaca beliau juga diajar menghafaz matan dan fardhu ‘ain.Manakala pelajaran Al Quran adalah diperolehi dari ibunya sendiri iaitu Nik Doh iaitu seorang guru Al Quran yang masyhur. Setelah mencapai usia remaja iaitu ketika berumur 10 tahun beliau dihantar oleh ayahnya ke Mekah untuk melanjutkan pelajaran menengah dan tinggi. Ketika di Mekah beliau dihantar belajar di Sekolah Tinggi Darul Ulum selama 3 tahun (1933-1935) peringkat menengah rendah dan 4 tahun peringkat menengah atas (1936-1942). Beliau menyambung pelajaran peringkat tinggi selama 2 tahun (1943-1944) hingga mendapat syahadah ‘Aliah.  Beliau juga mendalami ilmu-ilmu agama di Masjid Al Haram Mekah selama 3 tahun iatu (1943-1945).
Ketika di Darul Ulum beliau mempelajari ilmu-ilmu agama, Bahasa Arab,  dan pelajaran lain seperti Mantik, Matetamatik dan Sains. Di antara pelajaran-pelajaran agama yang beliau pelajari di sini  termasuklah Feqah, Faraid, Usul Feqah, Qawaid Feqah, Tafsir, Ulum Quran, Hadis, Mustolah, Tauhid, dan Sejarah Islam. Manakala pelajaran-pelajaran Bahasa Arab pula ialah Nahu, Sorof, Insyak, Mutolaah, ‘Arudh, Nusus, Adab dan Balaghah. Ketika di masjid Al Haram pula beliau mendalami ilmu Feqah, Usul Feqah, Tauhid, Tafsir, Hadis dan Tasawuf.
Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar kerana semasa pengajian di peringkat menengah beliau sudah mampu merujuk kitab-kitab Arab mu’tabar. Semasa di dalam kelas beliau digelar oleh gurunya Sheikh Muhammad Yasin Al Fadani dan rakan-rakannya sebagai Taj as Sabki  kerana kebolehan beliau yang tinggi dalam membaca dan memahami dengan baik dalam pelajaran Usul Fiqhketika mempelajari dan mengkaji kitab usul Fiqh yang mashur iaitu Jam’u  al Jawami’ karya ImamTajuddin AsSabki ialah ulama’ besar dalam ilmu perundangan Islam. Kitab ini menjadi rujukan utama di pusat-pusat pengajian tinggi hingga sekarang.
Semasa di Mekah beliau sempat berguru dengan Syeikh Hasan Al Masyalt, Sheikh Ali Al Maliki, Sheikh Husain Al Maliki, Muhaddis Hijaz Al Hafiz Syeikh Omar Hamdan Al Mahrisi, Sheikh Shafie Kedah, Sheikh Ismail Abdul Qadir Al Fatoni, Sayyid Muhammad Amin Al Qurtubi, Sheikh Muhammad Yasin Isa Al Fadani Al Makki, Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas Al Hasani, Sheikh Zain Al Boyani, Sheikh Yaakub bin Abdul Qadir Al Mandili dan Sheikh Husain Abdul Ghani Al Falimbani.
Beliau sempat bermulazzamah dengan gurunya yang terkenal iaitu al ‘Allamah Sheikh as Sanad Muhammad Yasin Isa Al Fadani Al Makki iaitu ‘ulamak Hadis dan Sanad yang masyhurdi Makkah al Mukarromah. Dengan beliaulah Dato’ Haji Tajuddin menerima ijazah sanad-sanad Hadis dan kitab-kitab Mu’tabar yang menjadi sumber rujukan di dalam ilmu-ilmu Islam. Walaupun selepas menghabiskan pengajian di Mekah dan pulang ke tanah air, namun beliau sentiasa berhubung dengan gurunya itu.
Dari sudut peribadi Dato’ Haji Tajudin adalah seorang yang lemah lembut, peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang menziarahinya. Beliau adalah seorang yang kuat beribadat. Beliau banyak menghabiskan masa hidupnya dengan mengajar dan merujuk kitab-kitab. Di samping itu beliau sentiasa meluangkan masanya mendidik dan menasihati anak-anaknya.
Apabila kita memperkatakan mengenai peribadi Dato’ Haji Tajuddin, adalah tidak sah jika tidak menyebut Madrasah Nahdhah Hasanah Melele kerana beliaulah orangnya yang bertanggung jawab mendirikan sebuah madrasah atau sekolah agama yang terkenal sekarang.  Setelah pulang dari Mekah pada awal tahun 1946 dalam usia 21 tahun beliau berkahwin dengan Puan Siti Zubaidah binti Ismail 18 tahun.
Perkahwinan ini menghasilkan 9 orang cahaya mata.
Sesungguhnya ketentuan hidup dan mati itu di tangan Allah. Anak ketiga beliau Faiqah meninggal dunia ketika berumur 4 tahun setelah terjatuh ke dalam perigi berdekatan dengan rumahnya. Ini merupakan cabaran yang paling perit beliau, ketika baru membuka pondok di Melele. Anak beliau yang masih ada ialahlapan orang iaitu: Fauziah, Ahmad Shafik, Ahmad Najib, Saulah, Mahmud Pathi, Zakiah, Mohd Jamil Sadaqi dan Muhammad Farid Wajdi. 7 orang anaknyatelah mencecahkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Daripada itu tiga daripadanya telah berjaya mencapai ke peringkat ijazah Sarjana atau Master.
Kerjaya Dan Sumbangan Kepada Masyarakat
Pada Tahun 1946 beliau mula mengasaskan Madrasah Nahdhah Hasanah.Melele. Beliau dilantik oleh penduduk-penduduk setempat menjadi mudir yang pertama. Pendorong utama beliau untuk menerima jawatan ini ialah ayahnya sendiri Sheikh Abdul Rahman dan isterinya Siti Zubaidah.
Keadaan di Melele pada masa itu sangat mencabar di mana ia dipenuhi dengan hutan belentara, sunyi pada waktu malam hanya terdengar bunyi cengkerik dan binatang buas serta tiada kemudahan asas seperti elektrik dan air. Rumah yang mula-mula di duduki adalah pondok kecil hanyalah bertiang dan berlantai kayu bulat, berdinding pelepah dan beratap rumbia. Keadaan masyarakat pula kebanyakan daripada mereka mengamalkan kepercayaan tahyul, tok keramat, khurafat dan syirik. Keramat Tok Melele dipuja apabila datang musim menuai. Berjudi laga ayam dan kerbau adalah amalan kebiasaan penduduk pada masa itu malah mempunyai gelanggang sendiri.
Bermula dari cabaran inilah beliau mengatur strategi untuk mengubah keadaan fizikal kawasan dan mengubati kepincangan yang berlaku di dalam  masyarakat. Walaupun keadaan yang sukar dan amat berlainan pula dengan apa yang dialaminya dengan kesedapan hidup di bandar Alor Setar dan di Mekah beliau tetap bersabar. Berkat kesabaran dan kesungguhan, Madrasah Nahdhah Hasanah telah berjaya berdiri megah dan mempunyai lebih 1,000 orang penuntut. Ramai daripada pelajar-pelajar madrasah ini telah menjawat pelbagai jawatan penting di dalam masyarakatdan kerajaan.
Selain daripada menumpukan pengajaran di sekolah atau pondoknya, beliau juga mengajar di beberapa tempat. Selain daripada itu, kelas umumi dan tafaqquh yang masih berjalan ialah di surau Madrasah Nahdhah Hasanah. Di antara kitab yang beliau guna di dalam pengajaran beliau ialah kitab Syarah Al Hikam Ibnu ’Atoillah karangan Tokku Pulau Manis, Minhaj Al ‘Abidin karangan Imam Al Ghazali, Bughuyah At Tullab karangan Sheikh Daud Al Fatoni, Kasyhful Al Litham karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fatoni, Siarus As Salikin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani, Aqidah An Najin karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fatoni, Hidayah As Salikin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani, Sabilul Al Muhtadin karangan Sheikh Muhammad Irshad Al Banjari dan Bakurah Al Amani Sheikh Ismail Abdul Kader Al Fatoni yang merupakan kitab-kitab Jawi.
 Manakala kitab berbahasa Arab pula ialah Majmu’ An Nawawi Syarah Al Muhazzab karangan Iman Nawawi, Jam’u al Jawami’ karangan Imam Tajuddin as Sabki, Al Hikam Ibnu Atoillah Syarah Ibnu ‘Ibbad, Ihya Ulum ud Din karangan Imam Al Ghazali, Tafsir Ibnu Kathir dan Riadus As Solihin karangan Imam Nawawi.
Setelah berdakwah secara lisan serta menglibatkan diri dalam dakwah dan keagamaan sama ada peringkat negeri atau kebangsaan, beliau juga terlibat dalam penghasilan karya-karya penulisan. Antara karya-karya beliau berbentuk penulisan ialah;
a-       Rahsia Sembahyang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
b-       Doa’ Pagi Dan Petang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
c-        Perhimpunan Ibadat Qiyamullail – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
d-       Rahsia Haji – diterbitkan sendiri untuk kuliah ibadat haji beliau. Dan beberapa risalah lain.
Selain daripada menumpukan pengajaran di Madrasah secara formal dan umumi beliau juga melibatkan diri di dalam kegiatan-kegiatan lain iaitu:-
a-        Ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah – semenjak 1960an
b-         Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah – semenjak 1970an
c-         Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah – semenjak 1980an
d-        Ahli Jawatankuasa Ibadat Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji  - 1994 hingga  sekarang
e-        Pakar Rujuk Ibadah Haji di Mekah – 1995,1996
f-         Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan – 1995 hingga 1999
g-        Ahli Majlis Agama Kebangsaan – 1995 hingga 1999
            Di atas jasa bakti yang beliau curahkan beliau dianugerahkan dengan berbagai-bagai gelaran dan pingat iaitu :
a-        Pingat Jasa Kebaktian PJK, oleh DYMM Sultan Kedah – tahun 1969
b-        Ahli Mahkota Kedah AMK, oleh  DYMM Sultan Kedah pada 10-1-1980
c-     Ahli Mangku Negara AMN oleh Yang Dipertuan Agung pada 4-6-1980
d-     Dato’ bergelar Dato’ Mursyid Diraja oleh DYMM Sultan Kedah – pada 17-1-1988
e-     Anugerah Pendidik Jaya Negeri Kedah – pada Hari Guru 1991
f-      Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah – 1993
g-     Darjah Kebesaran Negeri Kedah iaitu DSDK (Dato’ Setia Diraja Kedah) oleh DYMM Sultan Kedah pada 23-1-1994.
h-     Anugerah Tokoh Guru Kubang Pasu, pada 23 Mei 1998 dan
i-      Bintang Kebesaran Orang Besar Enam Belas – Hari Keputraan DYMM Sultan  Kedah tahun 2000.
j-      Tokoh Maal Hijrah 1421H/ 2000M peringkat negeri Kedah.
Satu keistemewaan yang terdapat pada beliau ialah kebolehan dalam mengaplikasi komputer. Sejak hujung tahun 1980an beliau sudah menggunakan set komputer pribadi sendiri. Beliau adalah seorang yang mahir dalam menggunakan beberapa perisian komputer di antaranya ialah perisian Macintosh Mac Draw. Tauladan yang ditunjukkan kepada kita bermakna usia yang tua bukan menjadi penghalang untuk seseorang untuk menguasai bidang teknologi terutamanya teknologi maklumat atau komputer asalkan diri dipupuk dan melaksanakan usaha tanpa putus asa.
  Dato' Hj. Tajuddin B. Hj. Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah pada 11 Mei 2000 bersamaan 7 Safar 1421 hari Khamis 8.00 malam. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami