Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, September 16, 2011

Kurang Ulama , Ramai penceramah yang berlagak Alim diantara alamat - alamat Kiamat

IMAM al-Bukhari menyebut, kewajipan seorang Muslim sebelum beramal adalah berilmu. Jangan sesekali menghina dan memandang rendah akan kemampuan mereka yang memiliki ilmu. Islam melihat ilmu dan amal sebagai penyumbang kepada kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menginginkan soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ilmu adalah elemen pembangunan yang penting dalam menjamin kelangsungan hidupnya hati kita. Kata Saidina Ali Bin Abi Talib: “Hidupnya hati adalah berkat bertambahnya ilmu sedangkan matinya hati akibat ketiadaan ilmu. Sihatnya hati berkat keyakinan sedangkan sakitnya hati akibat keraguan.”
Bagaimanapun akhir-akhir ini golongan yang tidak berilmu cenderung berlagak seperti mereka berilmu tinggi. Natijahnya membawa kepada porak peranda kehidupan manusia dan kemusnahan binaan ilmu yang sebenar.
Secara bandingannya, seseorang doktor tidak dibenarkan memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Jika ahli akademik berlagak doktor dengan memberi ubat kepada pesakitnya tentulah memudaratkan pesakitnya.
Seseorang itu tidak diluluskan kemampuannya membina bangunan tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang binaan melalui ilmu seni bina yang dikuasainya. Jika dilakukan juga tanpa memiliki ilmu, pasti boleh menyebabkan berlaku keruntuhan bangunan walaupun dia mungkin mempunyai bakat dan gaya menjadi jurubina.
Elemen kemusnahan dan kerosakan terjadi apabila yang tidak berilmu dalam aspek pengurusan bercakap soal urusan umat, jahil berlagak seperti orang alim, menghafal sepatah dua ayat berlagak hafiz, bukan ulama mengaku dirinya ulama kononnya untuk dihormati dan dikagumi.
Maka ketika itu bersedialah kita menerima akibatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Apa yang mendukacitakan, akhir-akhir ini lahir golongan disebut Rasulullah SAW sebagai Ruwaibidhah, golongan sebenarnya tidak berilmu tetapi dilihat berilmu, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada kalian masa yang penuh dengan tipu daya; ketika itu orang akan mempercayai kebohongan dan mendustakan kebenaran. Mereka mempercayai pengkhianat dan tidak mempercayai pembawa kebenaran. Pada masa itu, ruwaibidhah akan berbicara. Rasulullah SAW ditanya: Apakah itu ruwaibidhah? Lalu Rasulullah menyebut: Ruwaibidhah adalah orang bodoh (yang berbicara) urusan umat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
Sebenarnya tidak menjadi salah kepada golongan ini memberi pandangan dan pendapat tetapi masalahnya ilmu tidak cukup untuk bercakap atau memberi pandangan kepada sesuatu yang bukan bidang mereka.
Al-Imam al-Sayuti menjelaskan, Al-Ruwaibidhah adalah orang lemah yang cuba mencampuri perkara besar dan berusaha untuk memperolehnya.
Ingatlah bahawa bercakap tanpa berfikir adalah petanda betapa rendahnya ilmu dan rosaknya akhlak. Ilmu yang lahir dari tapisan mulut golongan berilmu menyumbang banyak faedah kepada ummah.
Kata hikmat orang Arab, orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu. Di sesetengah tempat kita dapat melihat seorang yang cekap berkomunikasi dan pandai berceramah terus diberi peluang berucap serta membuat pelbagai kupasan berkaitan isu agama.
Keupayaannya berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu dalam Islam. Apatah lagi ceramah boleh mendatang pendapatan lumayan maka ramai berusaha menjadi penceramah dengan menghafal ayat atau hadis lalu mentafsirkannya menurut digemarinya, bersesuaian keinginan semasa.
Golongan berilmu sebenarnya memperoleh kedudukan dan martabat tinggi dalam kalangan penghuni langit dan bumi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berilmu akan diminta keampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada dalam air. Keutamaan orang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah bagaikan bulan purnama atas seluruh bintang.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Ar-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment