Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, September 30, 2010

Tn Guru Hj Salleh Sik pimpin solat jenazah Pak Teh Keroh (r.a)

Alhamdulillah jenazah sempuran dikafankan lebih kurang jam 11.45pagi .
Solat jenazah kali pertama di surau pondok Allahyarham , solat jenazah kali kedua di masjid yang dipimpin oleh Tn Guru Hj Salleh Sik Kedah .
Tn Guru Hj Salleh berasa anak beliau Syeikh Muslim dan pengiring termasuk saya tiba seawal jam 10.40 pagi tadi , seamasa itu jenazah baru nak dimandikan .
Orang kenamaan dan orang ramai menziarahi jenazah Allahyarham kali terakhir .
Ramai tuan-tuan guru sekitar Kedah , Kelantan dan termasuk perak turun bagi memberi penghormatan kali terakhir kepada tokoh ulama yang sangat dikenali . Kira-kira 5000 orang yang menghadiri solat jenazah Pak Teh .
Jenazah diarak oleh orang ramai yang beratur panjang, kira-kira satu kilo miter bagi merebut pelunag mengusung jasad ulama yang dikasihi .Antara tokoh yang hadir Dato Seri Harussani Mufti Perak dan tokoh -tokoh politik dan kerajaan .

PAK TEH dalam kenangan .....Jasamu dikenang ...tidak dapat dibalas kecuali dengan kebajikan dari Ilahi ...
                                                                    AL FATIHAH
                  
GRIK, 30 Sept: Pengasas Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah atau lebih dikenali Pondok Pak Teh, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.

Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan pusat pengajian itu pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.
Pondoknya pernah menjadi kontroversi. Setelah 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah seluas 45 hektar untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelum itu tetapi tidak diluluskan.

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu.
Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.
Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959.
Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.

Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967.
Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.
Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam.

Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut.
Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang.
Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun, bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.
Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab.
Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan sistem pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi. Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah), Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah) dan Matan Majmuk Azhari.
Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermat dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para rasul dan nabi, syuhada dan solihin di atas kegigihannya memperjuangkan agama Allah

2 comments:

  1. INNALILLAHIWAINNAILAHIROJI'UN
    Semuga dicucuri rahmat ke atas rohnya dab ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh .

    ReplyDelete
  2. Kalau ingin melihat video rakaman, Di dalam facebook, http://www.facebook.com/video/video.php?v=154753027888291&ref=mf

    ReplyDelete

ampuni kami