DARIPADA Ubai bin Kaab, katanya: “Adalah Rasulullah pabila sampai satu pertiga malam, baginda pun bangun lalu bersabda, “ Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) diikuti peristiwa dahsyat, (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut). Aku berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?
Baginda menjawab: Seberapa banyak kamu kehendaki. Aku bertanya lagi: Satu perempat? Beliau menjawab: Seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ia menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi: Bagaimana jika separuh? Baginda menjawab: Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu. Aku bertanya lagi: Bagaimana jika dua pertiga? Baginda menjawab seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ia menjadi kebajikan kepada kamu. Aku bertanya lagi: Bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepadamu? Baginda menjawab: Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu.” (Hassan)
Rasulullah mengingatkan umatnya supaya sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan mengingati mati kerana kematian umpama kiamat kecil bagi setiap manusia yang hidup. Bahkan kematian akan datang pada bila-bila masa dalam pelbagai bentuk termasuk berlaku bencana. Malapetaka yang datang seperti gempa bumi, ombak besar (tsunami), tiupan angin kuat (puting beliung) dan sebagainya adalah ujian ditentukan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya.
Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa beringat (jangan lalai dan alpa) dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya di samping berselawat ke atas baginda Rasulullah sepanjang masa dan berdoa dijauhi daripada bahaya serta bencana menimpa.
Orang yang banyak berselawat adalah yang paling rapat dengan baginda di akhirat kelak di mana segala permohonan akan diperkenankan Allah di samping itu segala dosanya akan diampunkan dan sentiasa mendapat perlindungan daripada-Nya.
Sesungguhnya arahan Rasulullah supaya umatnya memperbanyakkan selawat juga disertai dengan suruhan tidak meninggalkan perintah agama serta menjauhi segala larangan-Nya
No comments:
Post a Comment