Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman mereka.
Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.
Perhatian: Lafaz ashhadu (أشهد) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:
1. (أعلم) yakni “aku mengetahui”,
2. (أعتقد) yakni “aku mempercayai” dan
3. (أعترف) yakni “aku mengiktiraf”.
Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana orang-orang Yahudi yang telahpun mengetahui kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, bahkan mereka mengenali baginda sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, namun disebabkan sikap degil dan bongkak mereka tidak mahu memperakui akan kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda sallallahu`alaihi wasallam
Makna Kalimah Syahadah Pertama:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
“Aku mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai) dengan hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui) dengan lidah bahawa tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.
Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan (merujuk kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam (sedia ada), al-Baqa’ (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk), al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah (berhendak), al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar), al-Basar (melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran (keadaan Allah ta`ala yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah ta`ala yang berkehendak), Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan (keadaan Allah ta`ala yang hidup), Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah ta`ala yang mendengar), Kaunuhu Basiran (keadaan Allah ta`ala yang melihat), Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata).
Makna Kalimah Syahadah Kedua
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
“Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn `Abdullah ibn `Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf al-Qurashi sallallahu`alaihi wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad dan keyakinan bahawa baginda telah diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul (pesuruh Allah) di bumi Mekah, berhijrah ke bumi Madinah dan disemadikan di sana, baginda benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan disampaikannya daripada Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku, perkara-perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab, neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd, syafaat, syurga, melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat, tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat, keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qada` dan qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan sesungguhnya baginda adalah penyudah segala nabi
Maksiat undang bala daripada Allah
4 days ago
Qabiltu .mohon izin copy tuan ilmu yang amat manfaat dan penting ini
ReplyDelete