Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Sunday, November 4, 2012

Majlis Guru Pondok tolak YPP1M


Oleh IZWAN ABDUL HALIM

JITRA: Majlis Guru Pondok yang dianggotai 28 pondok pengajian Islam di negeri ini sebulat suara menolak penyertaan mereka ke dalam Yayasan Pembangunan Pondok 1 Malaysia (YPP1M) yang dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr Mashitah Ibrahim.

Pengerusinya, Ustaz Mohd Rejab Md Akhir memaklumkan, semua anggotanya tidak pernah memberi sebarang persetujuan berkaitan penyertaan ke dalam YPP1M, sekaligus mendesak agar nama pondok-pondok mereka dikeluarkan serta merta dari senarai YPP1M.

Dalam satu deklarasi yang dikeluarkan selepas majlis pertemuan bersama anggota-anggota majlis tersebut mereka menegaskan, sebagai tanda kepada penolakan tersebut semua anggota majlis tidak akan hadir ke majlis bersama Perdana Menteri yang dijadualkan pada 8 November ini.

“Bahawa kami amat menyedari penubuhan ini bermotifkan politik khususnya kepada Umno yang semakin tenat di hujung usia. Malah kami amat mempersoalkan penubuhannya di saat hampir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dilihat lebih menjurus kepada tarikan undi.

“Dengan tegas kami menyatakan bahawa pihak Kerajaan Malaysia pimpinan BN sedang cuba memperalatkan guru-guru pondok dan pengaruh mereka bagi tujuan berkaitan,” demikian petikan deklarasi yang termeterai selepas pertemuan tersebut di Madrasah Manabi’ Al-Ulum Ad-Diniah, Telaga Batu, di sini 1 November baru-baru ini

Deklarasi itu juga lantang mengingatkan bahawa di bawah teraju BN, institusi pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) pernah cuba dibunuh dengan penarikan bantuan perkapita dan tuduhan melampau sebagai markas militan.

Malah, majlis yang bernaung di bawah Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa) itu turut melontarkan kekesalan bahawa sejak lebih 50 tahun, institusi pondok dan SAR tidak pernah diberi peruntukan khusus menerusi Bajet Tahunan Negara sepertimana dinikmati institusi pendidikan lain.

Ujar gabungan itu lagi, sekiranya YPP1M benar-benar tulus untuk membantu institusi pondok, mereka menggesa sebarang bentuk bantuan atau sumbangan disalurkan menerusi akaun bank majlis gabungan itu.

“Pun begitu, pihak kami akan meneliti terlebih dahulu sebarang syarat penerimaan yang mungkin dikenakan sebelum menyatakan persetujuan penerimaan,” jelas kenyataan itu.

Deklarasi itu turut menegaskan bahawa ulama dan institusi pondok wujud lebih awal sebelum kewujudan institusi kerajaan dan pelopor kepada perjuangan kemerdekaan ke arah menegakkan pemerintahan Islam yang dinafi dan dibuli pemerintah sejak sekian lama.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami