Menangkan PAS pada PRU13 - Tuan Guru Salleh Musa
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
SIK: Para pejuang Islam perlu bangun meninggikan semangat juang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memastikan kejayaan PAS menguasai pemerintahan, demikian taujihat tokoh ulama, Tuan Guru Salleh Musa.
Tegasnya, para pejuang PAS perlu meningkatkan kesabaran dalam menempuh ujian dan halangan perjuangan yang bakal dihadapi dan menghayati perjuangan para anbiya.
Bagi mencapai cita-cita itu, beliau menyeru agar munajat diadakan terus menerus oleh ahli PAS di mana sahaja mereka berada.

Mudir Madrasah Ar-Rahmaniah itu berkata, dari susur galur pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail AS dalam perjuangan dan peribadatan itulah lahirnya Nabi Muhammad SAW.
“Kita sebagai pejuang Islam, mesti kena kuatkan kesabaran menempuh ujian dan halangan perjuangan,” ujar beliau pada majlis Munajat Khas Sempena Hari Wukuf Arafah di Madrasah Ar-Rahmaniah, di sini 25 Oktober lalu.
Program bermula dengan majlis berbuka puasa diikuti solat berjamaah dan hajat serta bacaan yasin diikuti taujihad mengenai Hari Wukuf Arafah oleh Tuan Guru Salleh Musa.
Sempena majlis itu juga, Tuan Guru melancarkan blog rasmi dan pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Pentadbiran Madrasah Ar-Rahmaniah.
Dalam perkembangan lain, pihak madrasah menolak sama sekali penubuhan Yayasan Pondok 1Malaysia yang dilancarkan 16 Oktober lalu.

Tegasnya, penubuhan itu adalah demi kepentingan politik Umno sedangkan di dalam Bajet 2013 langsung tiada peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) bahkan bantuan selama ini telah disekat.
“Yayasan Pondok 1Malaysia ini adalah cara Umno mencari pengaruh mereka menjelang PRU13. Kenapa baru sekarang ditubuhkan saat hampir pilihan raya?,” ujarnya yang turut menempelak penubuhan itu sebagai tergesa-gesa.
No comments:
Post a Comment