Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Saturday, December 24, 2011

YAKINILAH KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN ALLAH


Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatulah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. 


PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya. Namun, parti  terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, samada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.

"Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumarah dan sunnatullah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya di awal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sangat sedih. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada dipuncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bilamana seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w: "Siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya?"

Lalu baginda menjawab : "Yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi-nabi (para sahabat) dan mereka yang mengikuti  dibelakangnya (tabieen)."

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tertib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami