Tanggungjawab disempurnakan, tidak penting diri
SIFAT adil dan amanah bukan tanggungjawab pemimpin kepada rakyat saja tetapi juga rakyat kepada pemimpin dan tanggungjawab kepada diri sendiri.
Umum sering difahamkan tanggungjawab harus dilangsaikan oleh ketua kepada warga pimpinannya tetapi lupa mereka turut memikul peranan sebagai rakyat, suami, isteri, ibu bapa, anak dan individu.
Sebagai pemimpin, ketokohan dilihat dari segi kemampuannya memegang amanah dan menyampaikan nasihat, kerana kedua-dua sifat ini berkaitan kehidupan keluarga atau masyarakat dipimpinnya.
Adil dan amanah hanya dapat diamalkan dengan baik jika pemimpin benar-benar mampu membuat penyesuaian dalam kehidupan ahli keluarga atau rakyat dan sikap ini penting untuk mengetahui apa sebenarnya diperlukan mereka.
Jika ada pemimpin masyarakat sangat berkira untuk menemui rakyat, apatah lagi yang dalam kesusahan, maka beliau bukanlah pemimpin yang boleh menyampaikan nasihat, kerana tidak berpeluang beradaptasi. Begitu juga pemimpin dalam sebuah keluarga.
Sifat adil dan amanah sangat menonjol dalam kepemimpinan Nabi Soleh sehingga dijadikan model kepemimpinan pemimpin berikutnya. Kesungguhannya mengamalkan kedua sifat ini mendapat pujian dan sanjungan Allah sehingga Nabi Soleh dan pengikutnya diselamatkan Allah dari kehinaan.
Pujian dan sanjungan seperti yang diperoleh Nabi Soleh tidak mustahil akan dapat dirasai pemimpin yang ada sekarang atau akan datang, selama mana kebijaksanaan yang dilakukannya benar-benar memihak kepada kepentingan rakyat.
Amanah pemimpin kepada rakyat boleh direalisasikan dengan menunaikan tuntutan agama agar setiap individu menuntut ilmu dan berpengetahuan tinggi. Dalam konteks Malaysia, nilai tambah dalam pendidikan ialah dengan memperluaskan pemahaman ilmu aqli dan naqli serta tasawwur Islam.
Banyak institusi pengajian tinggi hari ini memperkenalkan silibus pengajian menggabungkan pengajian tradisi dan kontemporari serta mendedahkan ilmu wahyu dan sekular kepada pelajar supaya mudah membuat perbandingan kekuasaan Allah dan kebijaksanaan manusia.
Pada masa sama, melihat keupayaan cerdik pandai menilai sesuatu dengan ilmu secara analisis supaya tidak bertentangan syariat.
Dalam aspek ekonomi pula, kepentingan rakyat ialah untuk diperluaskan potensi pengeluaran produk tempatan halal bertaraf antarabangsa bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dan memperkemas serta meningkatkan keupayaan sistem muamalah Islam dalam industri perbankan.
Manakala dari segi sosial, kerajaan yang adil dan amanah perlu memperkasakan golongan minoriti seperti kanak-kanak dan orang kelainan upaya. Antaranya dengan memperkemaskan pusat khidmat sosial, pusat pembangunan keluarga Islam, institusi perlindungan untuk ibu tunggal dan anak yatim.
Tambahan pula di negara ini, Sultan sebagai ketua agama Islam di setiap negeri dan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri tidak bersultan selain sebagai Ketua Agama Islam Negara mempunyai kuasa tertinggi untuk menjamin institusi agama dijulang.
Dalam sejarah Islam, pernah pada satu ketika Saidina Umar menerima wang daripada isterinya yang menyuruhnya membeli daging. Apabila ditanya dari mana memperoleh wang itu, isterinya menjawab wang itu dikumpul daripada pemberian suaminya setiap hari sebagai nafkah yang disimpannya dalam tabung.
Lalu dijawab oleh Saidina Umar, ini bermakna pemberiannya setiap hari itu sudah berlebihan daripada keperluan harian. Saidina Umar terus mengambil wang itu, dimasukkan dalam Baitulmal dan tidak dibelikan daging seperti disuruh isterinya dengan alasan masih ramai yang memerlukan wang.
Kisah itu menunjukkan bahawa sifat kepemimpinan yang ditonjolkan Saidina Umar adalah jelas untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukannya menggunakan amanah diberikan rakyat untuk menambah kekayaan.
Di negara ini, sudah tentu budaya paling sesuai ialah yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan moral. Budaya hedonisme contohnya, perlu dijauhi dan dijadikan sempadan dalam memastikan pengaruh budaya diterap oleh rakyat adalah yang terbaik di sisi agama.
Bak kata pujangga, ‘kalau boleh, pemimpin kita biarlah jika karam di laut jadi pelampung, panas di darat jadi penaung, basah di hilir jadi penudung, patah di hulu jadi penyambung’. Biar semua rakyatnya selamat
No comments:
Post a Comment