Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Sunday, November 21, 2010

Syuhada Memali dalam kenangan , anak muda perlu tahu sejarah sebenar Memali yang ditipu fakta oleh UMNO/BN

Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.


Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.
Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim. PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.
Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak
Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.


Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam

Catatan: Sejarah ini saya paparkan semula bukan dengan niat untuk memprovokasi mana-mana pihak, tetapi sekadar ingin mengingatkan semula generasi hari ini khasnya anak muda bahawa kebangkitan perjuangan Islam pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang sejarahnya penuh dengan darah dan air mata. Semuanya demi melihat Islam tertegak. Mudah-mudahan sejarah ini menjadi inspirasi untuk kita terus istiqamah, sabar, dan terus berada diatas landasan ini.

Saya juga memohon maaf sekiranya ada maklumat yang saya sampaikan ini tidak tepat kerana semua ini hanya maklumat dari ingatan saya sahaja. Anda boleh merujuk semula buku yang ditulis oleh Cikgu Non (CN Al-Afghani) yang menulis buku ‘Suamiku Kekasih Allah atau buku terbitan PAS Pusat hasil temuramah dengan Sdr. Yusuf Husein (sekarang pimpinan PAS Kedah) atau VCD Ops Hapus Komunis. Jika ada kesalahan, tolong maklumkan di ruangan komentar dibawah ini. Jazakallahu khairan kathira.
........................................................................
Sumber asal oleh : arruhuljadid
BAHAGIAN 2 : Catatan Kronologi Tragedi Berdarah Memali 1985

Berikut adalah catatan terperinci mengenai perkembangan di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling yang berkesudahan dengan terkorbannya 13 nyawa bersama Asy-Syahid Ibrahim Mahmud.
Catatan yang dipaparkan di sini merupakan rakaman komputer daripada Signals Division pasukan PDRM yang mengikuti perjalanan tragedi Baling itu untuk maklumat perdana menteri.

Di sini dicatitkan juga fakta mereka yang tercedera dan mereka yang berjaya melepaskan diri daripada kepungan pihak polis. TOP SECRET:

001: Pada jam 1935 Hrs. (18/11/85) berpusat di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Penang), Pasukan Senoi Prak, Anggota Polis beruniform, Commando 69, sudah bersiap siaga untuk menerima arahan. Kumpulan ini diletakkan di bawah arahan seorang pegawai tinggi Ibu pejabat di Bukit Aman dan dibantu oleh beberapa pegawai daripada Bukit Aman, Kedah, Perlis, dan Penang.

002: Tepat Jam 1945 (18/11/85) pegawai tinggi yang memerintah daripada Bukit Aman telah mengeluarkan arahan bahawa kumpulan yang bersiap-siaga itu akan menyerang hendap satu kem komunis dalam daerah Baling yang berdekatan dengan sempadan Thailand.

003: Pada Jam 2005 (18/11/85) berlaku satu keributan di bilik operasi Sungai Petani di antara Pegawai Berkuasa pasukan Polis Hutan Sungai Petani dengan Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman. Kekalutan ini berasaskan arahan palsu yang telah dikeluarkan. Arahan menyerang dan membunuh penghuni ‘kem komunis’ itu sebenarnya disasarkan ke arah Ibrahim Mahmood, pengikutnya dan sesiapa juga yang hadir di Madrasah yang dibina oleh orang kampung di situ. Pegawai yang mengetuai pasukan Polis Hutan itu telah memberi penerangan kepada Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman betapa Ibrahim Mahmud dianggap oleh para pegawai pasukannya sebagai seorang ulama yang berwibawa. Malahan ramai di kalangan mereka adalah penuntutnya. Dilema yang tercetus ini mencetuskan satu suasana yang hening dan sunyi-sepi.

004:(18/11/85) Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman telah mencuba menghubungi Penolong Pesuruhjaya Polis di Bukit Aman, tetapi gagal. Kemudian dia berjaya menghubungi Musa Hitam yang ketika itu menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Hutan Sungai Petani telah diberikan laluan untuk bercakap dengan Musa Hitam. Beliau telah merayu kepada Musa Hitam dan membuat penjelasan betapa Ibrahim Mahmud adalah seorang ulamak yang disegani dan telah banyak berjasa dalam usaha menaikan taraf hidup masyarakat Memali. Malahan, Ibrahim Memali sudah terkenal dan dihormati oleh para sahabat dan lawan. Tetapi, akhirnya diketahui juga Musa Hitam telah memberikan arahan agar serangan itu diteruskan.

Nota Khas:

Kebanyakan anggota polis yang terbabit dalam operasi ini adalah mereka yang bukan beragama Islam. Operasi Khas ini telah diberi-nama “Operasi Hapus” oleh Musa Hitam.
005: Jam 2045 (18/11/85) sebuah majlis keraian telah diadakan di sebuah padang terbuka di Kem Polis Hutan di Sungai Petani. Di sana minuman bir dan minunam keras (arak) telah disediakan kepada semua unit. Namun, ada juga segelintir anggota Pasukan Polis Hutan itu yang tidak minum.

006: Jam 2147 (18/11/85) pegawai pemerintah operasi telah menerima mesej melalui wireless. Mesej yang diterima mengatakan betapa 10 orang komando polis hutan telah berjaya masuk kawasan Memali dan telah pulang dengan laporan penuh. Laporan itu adalah mengenai pergerakan masyarakat yang menghuni Madrasah tajaan Ibrahim Mahmud, yang sudah pun disahkan sebagai sasaran serangan polis itu.

007: Jam 21.47(18/11/85) semua unit telah bergerak di bawah pimpinan lapan pegawai muda. Mereka bergerak memasuki Baling dengan menggunakan dua kereta perisai. Pegawai pemerintah Unit Sungai Petani tidak menunjukkan minatnya ketika itu. Di waktu yang sama, Ibrahim Mahmud sedang memberikan kuliah kepada 50 orang penuntut yang hadir. Kuliah itu berlanjutan sehingga jam 23.45. Setelah selesai ada juga penuntutnya yang pulang ke rumah mereka sedangkan yang lainnya tidur bermalam di Madrasah itu.

008: Pada Jam 24.00 (18/11/85) Pegawai pemerintah daripada Bukit Aman telah menerima arahan terakhir mengenai ‘Operasi Hapus’ itu. Ketika itu berlaku sedikit kekesalan di kalangan pasukan daripada Sungai Petani. Mereka mahukan operasi itu dilakukan dengan mengadakan sekatan dan kepungan untuk mendesak Ibrahim Mahmud menyerah diri. Ketika itu ditaksirkan, tindakan mengepung itu mungkin membawa kesan hanya selepas tiga bulan. Cadangan unit Sungai Petani itu telah disanggah oleh Pegawai pemerintah daripada Bukit Aman. Beliau telah disokong oleh pegawai lain yang datang daripada Bukit Aman, dan juga OCPD Baling. Mereka berpendapat bahawa strategi yang melecehkan itu mungkin membabitkan pergeseran di antara pihak polis dengan anggota tentera yang berkhemah di sempadan Malaysia/Thai di Sik dan Baling. Kecurigaan mereka ini muncul kerana 90% anggota tentera yang disebutkan itu memang menyokong pergerakan Islam dan juga Ibrahim Mahmud.

Keadaan kelam kabut muncul lagi. Sekali lagi Musa Hitam di hubungi. Pada kali itu, pegawai yang berkuasa diberitahu bahawa Musa Hitam tidak dapat di hubungi kerana beliau telah pergi ke sebuah hotel di Kuala Lumpur. Di waktu yang sama Timbalan Menteri hal Ehwal Dalam Negeri, Radzi Ahmad sedang mengikuti perkembangan dengan berada di Ibu pejabat Polis Penang. Beliau sedang mengikuti perkembangan ‘Operasi Hapus’ itu. Tidak berapa lama kemudiannya Musa hitam telah menghubungi pihak polis dengan suara yang seolah marah dan rasa terganggu. Musa tidak banyak bercakap cuma mengeluarkan perintah untuk melakukan operasi penghapusan walaupun ia bermakna secara menyeluruhi Negeri Kedah.

Catatan di Kampung Memali: Seorang pemandu motorsikal dilihat berhenti di hadapan pintu-gerbang rumah yang dihuni oleh Ibrahim Mahmud. Seorang muda dilihat berlari ke arah pintu rumah itu meminta kebenaran untuk masuk. Dia telah memberitahu penghuni rumah itu betapa dia ternampak satu kumpulan polis yang ramai di Baling setibanya di pekan itu. Ibrahim Mahmud telah dikejutkan dari tidurnya. Begitu juga halnya dengan 39 orang lain yang telah berjaga malam di Madrasah itu sebelumnya. Mereka dikerah bersiap sedia untuk mempertahankan diri. Mereka mula mengumpulkan segala alat yang ada di rumah kampung seperti kapak, pisau, buluh runcing dan sebagainya. Yang lebih berani telah membuat bom molotov pula. Dengan lain perkataan, setiap insan di situ ada alat senjata yang boleh dipergunakannya.

Dalam kumpulan yang bertahan itu ada empat kanak-kanak dan lima kaum wanita. Ibrahim telah mengajak para pengikutnya untuk berwuduk daripada sebuah telaga yang berhampiran. Mereka telah melaksanakan solat sunat dan juga solat hajat. Mereka membaca Surah Yaasin dan berzikir. Ibrahim Mahmud kemudiannya memberi ucapan betapa beliau lebih rela bersyahadah daripada menyerahkan dirinya untuk dijadikan alat mereka yang mahu menaikkan semangat nasionalisme. Ibrahim telah meminta sesiapa yang curiga dengan hasratnya itu meninggalkan kumpulan mereka. Tidak ada sesiapa yagn mahu berganjak daripada tempat duduknya. Laungan Allahuakbar mula bergema, bertalu-talu dan memecah keheningan Kampung Memali. Yang hadir lebih memilih jalan ‘syahid’ daripada terus hidup mengabdikan diri ke jalan yang hina. Di waktu yang sama di Stesen Polis Daerah Baling, segala persiapan untuk menyerang kampung Memali semakin dipercepatkan. Semua itu dilakukan oleh kebanyakan anggota polis

yang telah mabuk ataupun tidak keruan fikirannya.

009: Jam 0100 (19/11/85) 3,600 (Tiga Ribu Enam Ratus) anggota polis bersama pegawainya telah tiba di Kampung Memali. Mereka lengkap bersenjata automatik dan tiba dengan kereta perisai. Mereka mula mengepung kampung itu. Ketika itu Musa Hitam tentu sekali masih lagi berada di hotel kerana dia tidak dapat dihubungi. Semua urusan komunikasi dilakukan pula dengan timbalannya yang bertahan di Ibu pejabat Polis di Penang. Kebanyakan anggota polis yang tiba di Kampung Memali itu masih lagi beranggapan mereka akan menyerang sebuah kem komunis. Itulah maklumat yang diberitahu kepada mereka oleh Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman. Di waktu yang sama kumpulan daripada Sungai petani hanya kecil sahaja dan masih samar akan tugas mereka.

010: Jam 0300 (19/11/85) Kampong Memali telah dikepung seluruhnya oleh pihak polis. Polis yang beruniform ditugaskan membuat sekatan jalan raya. Pasukan Polis Hutan telah diarahkan ke bahagian Selatan. Pasukan FRU (Polis Gerak Khas: kaki-pukul) diarahkan ke bahagian utara. Pasukan Komando 69 (Polis Hutan) telah dikerahkan di bahagian belakang rumah Ibrahim Mahmud yang juga merupakan sekolah agamanya.

011: Jam 0336 (19/11/85) Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman yang memerintah Operasi Hapus itu telah bercakap menggunakan pembesar suara. Dia mahukan Ibrahim Mahmud menyerah diri. Ibrahim Mahmud berbincang dengan penghuni rumahnya itu. Mereka membuat pendirian untuk tidak menyerah diri walaupun pasukan yang datang itu berpakaian seragam melambangkan wakil negara. Mereka bertakbir dan laungan Allahuakbar mula berkumandang semula.

012: Jam 0400 pagi (19/11/85) satu kumpulan manusia yang berjumlah 30 orang termasuk wanita dan kanak-kanak tiba-tiba muncul daripada bahagian utara . Mereka berlari di tengah-tengah benteng pasukan Polis Hutan dan juga Komando 69 dan membawa senjata tajam yang sering mereka gunakan ketika bertanam padi. Mereka cuba memasuki rumah Ibrahim Mahmud untuk memberikan sokongan. Anggota pasukan Komando 69, yang masih lagi mabuk dan kurang berdisiplin itu telah menembak ke arah penduduk kampung yang sedang berlari itu. Tetapi, mereka tersalah sasar, maklumlah kerana masih mabuk lagi. Namun tindakan mereka itu membuatkan orang kampung berpatah balik kerana ketakutan. Tindakan melulu Pasukan komando itu telah mengena seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan. Seorang pegawai rendah dan juga seorang konstabel pun turut terkorban. Tembakan ke arah orang kampung yang tidak berdosa oleh satu pasukan yang khayal telah tersesat kepada badan pasukan kawan

sendiri.

Satu perundingan telah diatur untuk menenangkan keadaan. Operasi mengepung masih lagi berkuatkuasa. Tetapi, beberapa pegawai daripada Alor Star telah meminta agar pengepungan itu dibatalkan sahaja. Mereka telah mengambil iktibar daripada kematian tiga orang sendiri disebabkan tindakan yang songsang. Permintaan mereka telah ditolak oleh pegawai pemerintah.

BABAK DUA

013: Jam 0521 (19/11/85) Azan subuh berkumandang di rumah Ibrahim Mahmud. Suara yang sungguh sayu itu menjentik sentimen anggota polis daripada Alor Star. Mereka semakin mencurigai matlamat operasi polis itu. Ibrahim Mahmud mengimamkan solat pagi itu dan suaranya semakin jelas ketika itu. Di waktu itu Pegawai pemerintah Operasi telah mengeluarkan arahan agar pasukannya mula menyerang. Beliau telah ditentang oleh pegawai yang beragama Islam.

014; Jam 0559 (19/11/85) Solat Subuh pun selesai dan pengepungan diketatkan lagi. Tiba tiba, satu kumpulan orang kampung muncul untuk memasuki perkarangan rumah Ibrahim Mahmud. Mereka terpaksa menentang pasukan Polis Hutan. Mereka menyerbu ke rumah Ibrahim bersenjatakan senjata kampung dan sambil menggenggam tangan mereka melaungkan Allahuakbar. Melihatkan perbuatan orang kampung itu pegawai pasukan Polis Hutan mengarahkan pasukannya untuk berundur dan tidak menentang mereka. Mereka hanya diarahkan bertahan sambil bersiap sedia sahaja. Masa terus berlalu, operasi untuk menghapuskan Ibrahim Mahmud itu semakin menyerlahkan kejijikannya. Keadaan hari yang semakin siang telah menyerlahkan betapa operasi itu bertujuan melindungi rahsia kejijikan perancangannya. Kini, unsur kerahsiaan itu telah terdedah sama sekali.

Nota Khas:

Sebelum operasi itu dilancarkan ramai pemimpin beragama Islam telah ditangkap. Kita boleh menyoal diri kita apakah keheningan malam telah mampu menggelapkan kejijikan operasi semacam itu ?
015: Jam 08.15 (19/11/85) setelah mendapat kelulusan timbalan menteri hal ehwal dalam negeri pegawai pemerintah operasi telah memberi arahan agar dua kereta perisai mula menyerang rumah Ibrahim Mahmud. Mereka telah dihalang oleh balingan bom molotov.

Ini membuatkan pasukan polis itu berundur sambil terus memuntahkan peluru senjata automatik ke arah rumah yang dikepung itu. Di waktu yang sama empat orang wanita dan tiga orang kanak-kanak berlari keluar rumah itu. Mereke diarahkan oleh Ibrahim agar melarikan diri. Mereka telah dikepung dan ditangkap oleh pihak polis dan dihumbankan ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing penjaga. Ketika itu juga serangan diteruskan. Tembakan pihak polis disambut dengan laungan Allahuakbar sahaja secara berterusan.

016: Jam 11.05 (19/11/86) Komando 69 diarahkan menyerang rumah Ibrahim.

017: Jam 1136 (19/11/85) pasukan Komando 69 telah menyerbu masuk dengan senjata yang dipetik. Berlaku beberapa pergelutan di mana Ibrahim dan orang-orang yang masih bertenaga terus melawan. Ada juga ahli rumah yang keluar untuk berlawan dengan anggota polis di kawasan halaman. Polis terus menembak mereka walaupun mereka sudah tidak bersenjata lagi. Hanya Allahuakbar yakin mampu mereka ucapkan sehinggalah nyawa hilang dalam perjuangan itu. Ramai yang mati sedangkan ada juga bilangannya yang cedera teruk sahaja.

Beberapa orang anggota komando telah menyerang Ibrahiml Beliau telah melawat merka dan mampu membunuh salah seorang yang menyerangnya. Tetapi beliau terkorban akhirnya setelah dada sebelah kanannya dituju berpuluh kali. Ibrahim gugur dengan genggaman tangannya berkepal ke atas sedangkan mulutnya masih lagi melaungkan Allahuakbar. Seorang pegawai polis berlari meluru ke arahnya untuk mengepung kepala Ibrahim ke ribanya. Ibrahim kedengaran bersuara:

“Alhamdullilah, kerana mengorbankan kami ke jalan mati syahid.”

018: Jam 1213. Serangan pihak polis ditamatkan. Mereka yang telah ditangkap telah disungkup dengan karung guni. Beberapa anggota Komando 69 telah dilihat menendang badan yang terbujur itu untuk menentukan mereka sudah mati. Ada pula yang terus menembak mereka lagi sambil berkata; “Pergi jahanam dengan Islam”.

019: Jam 1305 (19/11/85) Pegawai pemerintah operasi telah membuat laporan kepada Ibupejabat Polis Penang dan juga kepada Musa Hitam di Kuala Lumpur. Musa Hitam mengarahkan agar semua orang kampung ditangkap untuk menahan agar rahsia operasi itu tidak terdedah.
020: Jam 1500 (19/11/85) kerja-kerja menangkap saki baki orang kampung dilakukan. Mereka diterbangkan dengan dua helikopter polis. Mereka yang cedera dan mati dihantar ke hospital di Sungai Petani dan Alor Star. 4 mati syahid di Sungai Petani dan 10 yang sudah mati dibawa ke Alor Star, termasuklah Ibrahim Mahmud.

021: Jam 1510 (19/11/85) Sektiar 30 anggota tentera lengkap dengan senjata automatik tiba di hadapan rumah Al syahid Ibrahim. Berlakulah pertelagahan di antara pegawai petugas di kalangan pasukan polis yang mengwasi tempat itu dengan ketua anggota tentera yang tiba di situ. Anggota polis yang ramai itu diberikan arahan untuk bersiap sedia dengan senjata mereka. Menyedari betapa bilangan mereka kecil dibandingkan dengan anggota polis yang bertugas di situ pihak tentera pun meredakan keadaan. Ketuanya pernah berkata: Hari ini hari kau…..Kau boleh lakukan apa yang kalian mahu. Tetapi ingat, akan timbul satu hari nanti, kami akan menentang kamu dengan kekuatan yang setara. “
BABAK KETIGA
Setiap insan yang waras di kalangan marhaen di negara ini tentu dapat membuat penilaian akan laporan mengenai Al syahid Ibrahim Mahmud. Beliau bukannya seorang penjenayah seperti yang digambarkan oleh Musa Hitam. Namun, akhbar New Straits Times bertarikh 21/11/85 menerbitkan satu tajuk yang bertulis: Empat anggota polis dan 14 penjenayah mati dalam pertempuran. Di akhbar yang sama Musa Hitam telah menuduh Ibrahim Mahmud bersama 13 rakannya sebagai penjenayah dan penganut ajaran sesat. Beliau telah menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis Agama Islam Kedah yang berkata: “Ustaz Ibrahim hanya memberikan ceramah agama.

Lagipun dalam satu pertemuannya dengan pihak akhbar Musa Hitam telah mengulangkan cerita bagaimana dia telah diseranah dua kali oleh persidangan UMNO kerana tidak bertindak tegas terhadap aktiviti keagamaan seperti yang dilakukan oleh Ibrahim Mahmud itu. Kalau kita pertimbangkan segala fakta yang terserlah, termasuk keputusan pemilu di mana BN hanya mampu menang tipis, kita boleh membuat kesimpulan betapa ‘Operasi Hapus’ adalah satu tipu muslihat untuk menghapuskan Ibrahim Mahmud bagi kepentingan politik UMNO. Mereka mahu menentukan terhapusnya rintangan dalam menentukan kemenangan kerusi Bayu/Baling dalam pemilu yang mendatang.
Dilemma UMNO

Di manakah prioriti UMNO selepas episod Memali? Kalau UMNO memperakukan ianya sebuah parti Islam, episod Memali membawa erti bahawa para pemimpinnya telah memperlekehkan Allah. Bukankah mereka yang telah merencana pembunuhan di Memali itu sehingga tergolongnya beberapa insan sebagai mati syahid? Kalau para pemimpin UMNO memperakui bahawa parti itu condong ke arah nasionalistik, ia bererti bahawa para pemimpin itu sudah menderhaka kepada banganya kerana terbunuhnya orang Melayu. Bukankah itu kaum yang mahu dilindungi oleh UMNO?
Tindakan yang dilakukan oleh segelintir pemimpin UMNO ini akan mencetuskan peperangan saudara di kalangan orang Melayu. Cara nyawa diperlekehkan telah membuatkan ramai ahli UMNO yang kecewa dengan kepimpinan Timbalan Presiden Parti, Musa Hitam. Beliau memang semacam giankan kesamsengan dan kini menerima padahnya. Rakan sejawatnya dalam kerajaan Idonesia bernama General Benny Murdani pernah berkelakuan serupa dan dibenci oleh rakyatnya. Kini Musa menerima jolokan sebagai ‘haiwan politik’ dan juga ‘penghapus orang Islam’. Murdani adalah seorang agen Zionis, kerana dia bukan beragama Islam. Tetai kenapakah Musa Hitam mengikuti gelagat Murdani?
Tindakan yang dilakukan oleh UMNO menunjukkan parti itu bukan lagi memberi kepentingan terhadap keluhuran Islam dan juga orang melayu. Ironisnya Islam dan Bangsa Melayu menjadi alat UMNO untuk terus mempertahankan kuasanya. Kumpulan ultra Cina dan India sedang bersepakat secara senyap di kalangan mereka. Mereka berjaya memperalatkan individu Melayu yang ternama sebagai juara tempelan mereka. Untuk menyelesaikan keadaan yang semakin menjadi satu masalah besar ini, Dr. Mahathir perlu menulis lagi mengenai dilemma UMNO. Kesan tragedi Memali telah membuatkan Kampung Memali bertukar rupa daripada sebuah kampung yang aktif menjadi sebuah kampung yang dihantui seribu kenangan pahit. Ramai penduduk asal kampung itu telah melarikan diri kerana takutkan ancaman polis.

Seramai 159 penduduk kampung pernah ditahan oleh polis Dosa mereka terletak kepada keyakinan diri mahukan ajaran Islam yang direstui Allah. Mereka ini termasuk beberapa anak-anak kecil dan warga tua sedang ditahan dalam tiga buah bilik kecil di sebuah kem tahanan. Kaum wanita dibiarkan berkumpul dengan kaum lelaki. Tidak ada kemudahan bersolat. Mereka kerap didera dan diaibkan. Anak-anak kecil dilihat menangis mencari ibu-ibu yang sengaja dipisahkan dari mereka. Setiap tahanan diberikan makanan berupa satu mangkuk kanji setiap hari. Sesiapa yang cedera parah dihantar ke hospital Sungai Petani ataupun Alor Star. Mereka hanya diberikan layanan pesakit luar, satu penghinaan yang berlanjutan. Kalau keadaan tidak diperbaiki ada di kalangan mereka yang akan mati syahid pula.

Tiga belas daripada yang mati syahid termasuk Ibrahim Mahmud telah disemadikan di satu kubur panjang di Parit Panjang, Baling. Mereka disemadikan dengan pakaian mereka yang berlumuran darah itu. Seorang mangsa lagi telah disemadikan di Alor Star di atas permintaan ibunya. Kes ini kini dianggap sudah tamat oleh Musa Hitam dan juga pengarah Operasi Hapus itu. Kumpulan ultra yang bukan beragama Islam memang menantikan berlakunya peperangan saudara hasil episod Memali ini. Kini, orang Melayu sudah sedar betapa berbahayanya semangat nasionalisme dan kuasa yang didorong oleh semangat semacam itu.
Kepada golongan yang mati syahid, episod yang berlaku adalah merupakan kemuncak kehidupan mereka. Mereka sudah pulang kepada pencipta-Nya dan di waktu yang sama mereka telah membawa satu arus kesedaran kepada orang melayu di negara ini.

Mereka telah menyedarkan betapa orang Melayu harus berganding bahu dengan saudara Islam di seluruh dunia. Dengan cara itu barulah kita faham apa ertinya menjadi seorang muslim.

Dengan arahan yang dibuat oleh Musa Hitam, ramai orang yang tidak berdosa telah ditangkap dan ditahan. Mereka dikumpulkan di satu tempat yang tidak selesa dan menjiikkan. Hingga hari ini jumlah merka yang ditahan dan nama yang telah ditahan secara tersilaf tidak pun diterbitkan. Mereka yang ditahan itu tidak pernah dibawa ke hadapan mahkamah untuk didakwa. Kenapakah kerajaan tidak melakukan tindakan yang serupa seperti kes BMF? Apakah Episod Penghapusan Memali itu dilaksanakan sebagai melencongkan perhatian rakyat terhadap rompakan di siang hari yang paling terbesar dalam sejarah negara ini? Berbilion dana kepunyaan rakyat telah lesap dan seorang insan yang jujur telah dibunuh.

Namun, pihak kerajaan masih mahu berahsia dalam hal BMF itu dan perkara itu masih belum mampu diselesaikan. Sebaliknya pula, apabila seorang ulama cuba memberikan khidmatnya kepada rakyat jelata, dan membantu mereka menaikan taraf hidupnya, beliau telah dikepung dan ditahan untuk dibunuh dengan kejam. Di manakah letaknya erti kehakiman, keadilan dan kebenaran itu? Mereka yang bertanggungjawab dalam Episod Memali harus ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Darah orang Melayu tidak sepatutnya dibiarkan mengalir di atas bumi orang Melayu dengan alasan songsang betapa Islam menyokong nasionalisme. PAS dan juga seluruh organisasi Islam telah mendesak agar ditubuhkan satu suruhanjaya diraja untuk membongkar kisah Tragedi Memali itu.

Satu Kertas Putih perlu dikeluarkan dan untuk sementara waktu sebarang usaha untuk mengadakan pemilu harus ditangguhkan

1 comment:

ampuni kami