Monday, May 31, 2010
AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ? MENGIKUT KITAB I'TIQAD AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH K.H SIRAJUDDIN ABAS
Yang teramat mulia Nabi Muhammad s.a.w wafat tanggal 2 Rabi'ul Awal tahun 11 Hijrah, bersamaan dengan 8 Juni 632 M. Pada hari wafat beliau sekumpulan kaum Ansar (Sahabat-sahabat Nabi yang berasal dari Madinah) berkumpul di suatu Balairung yang bernama SAQIFAH BANI SA'IDAH untuk mencari Khalifah (pengganti Nabi yang sudah wafat). Kaum Ansar ini dipimpin oleh Sa'ad bin Ubadah (Ketua kaum Ansar dari suku Khazraj). Mendengar hal ini kaum Muhajirin (Sahabat-sahabat asal dari Makkah yang berpindah ke Madinah) datang bersama-sama ke Balairung itu, dengan dipimpin oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq Rda. Sesudah terjadi perdebatan yang agak sengit antara kaum Ansar dan kaum Muhajirin yang setiapnya mengemukakan calon dari pihaknya, bersepakatlah mereka mengangkat sahabat yang paling utama Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah yang pertama. Perdebatan ketika itu hanya terjadi antara golongan kaum Ansar yang mengemukakan Sa'ad bin Ubaidah sebagai calonnya dengan kaum Muhajirin yang mengemukakan Saidina Umar bin Khattab atau Saidina Abu Bakar sebagai calon-calon khalifah Nabi. Dalam pertemuan itu tidak ada seorang pun yang mengemukakan Saidina Ali bin Abi Talib sebagai Khalifah pertama pengganti Nabi. Faham kaum Syi'ah belum ada ketika itu. Yang ada hanya kaum Ansar dan kaum Muhajirin, tetapi ternyata bahawa perselisihan faham antara kaum Ansar dan kaum Muhajirin tidak menimbulkan firqah dalam usuluddin, kerana perselisihan pendapat sudah selesai di kala Saidina Abu Bakar sudah terangkat dan terpilih secara suara sepakat.Pada tahun 30 Hijriah timbul faham Syi'ah yang diapi-apikan oleh Abdullah bin Saba' yang berposisi terhadap Khalifah Saidina Usman bin Affan. Abdullah bin Saba' adalah seorang pendeta Yahudi dari Yaman yang masuk Islam. Ketika ia datang ke Madinah tidak begitu dapat penghargaan dari Khalifah dan juga dari umat Islam yang lain. Oleh kerana itu ia kesal. Sesudah terjadi "peperangan Siffin", peperangan saudara sesama Islam, iaitu antara tentera Khalifah Ali bin Abi Talib dengan tentera Mu'awiyah bin Abu Sufian (Gabenor Syria) pada tahun 37 Hijrah timbul pula firqah Khawarij, iaitu orang-orang yang keluar dari Saidina Mu'awiyah r.a dan dari Saidina Ali r.a.Pada permulaan abad ke II H timbul pula kaum Muktazilah, iaitu kaum yang dipimpin oleh Washil bin 'Atha' (lahir 80 H-wafat 113 H) dan Umar bin Ubaid (wafat145H). Kaum Muktazilah ini mengeluarkan fatwa yang ganjil-ganjil, yang berlainan dan berlawanan dengan I'itiqad Nabi dan sahabat-sahabat beliau. Di antara fatwa-fatwa yang ganjil dari kaum Muktazilah itu, ialah adanya "Manzilah bainal manzilatein", yakni ada tempat di antara dua tempat, ada tempat yang lain selain syurga dan neraka. Banyak lagi fatwa-fatwa kaum Muktazilah, umpamanya fatwa yang mengatakan bahawa sifat Tuhan tidak ada, bahawa Quran itu makhluk, bahawa Mikraj Nabi hanya dengan roh saja, bahawa pertimbangan akal lebih didahulukan dari hadis-hadis Nabi, bahawa syurga dan neraka akan lenyap, dan lain-lain fatwa yang keliru.Kemudian timbul pula faham Qadariyah yang mengatakan bahawa perbuatan manusia diciptakan oleh manusia sendiri, tidak sangkut-paut dengan Tuhan. Hak mencipta telah diberikan Tuhan kepada manusia, sehingga Tuhan tidak tahu dan tidak peduli lagi apa yang akan dibuat oleh manusia. Kemudian timbul pula faham Jabariyah yang mengatakan bahawa sekalian yang terjadi adalah dari Tuhan, manusia tak punya daya apa-apa, tidak ada usaha dan tidak ada ikhtiar.Kemudian timbul pula faham Mujassimah dan Ibn Taimiyyah, yakni faham yang menyerupakan Tuhan dengan makhluk, ada tangan, ada kaki, duduk di atas kerusi, turun dari tangga seperti manusia, Tuhan adalah cahaya seperti lampu dan lain-lain kepercayaan. Kemudian lahir pula faham-faham yang keliru tentang tawasul dan wasilah, tentang ziarah dan istigatsah dari Ibnu Taimiyah juga yang semuanya merosakkan dunia Islam dan kaum Muslimin.KAUM AHLUSSUNNAH WAL JAMA'AH MUNCUL PADA ABAD KE III HIJRAH Sebagai reaksi dari firqah-firqah yang sesat tadi maka pada akhir abad ke III Hijrah timbullah golongan yang bernama Kaum Ahlussunnah wal Jama'ah, yang diketuai oleh dua orang 'Ulama besar dalam Usuluddin, iaitu Syeikh Abu Hasan Ali Al Asy'ari dan Syeikh Abu Mansur AI-Maturidi. Perkataan Ahlussunnah wal Jama'ah kadang-kadang dipendekkan menyebutnya dengan Ahlussunnah saja, atau Sunny saja dan kadang-kadang disebut 'Asy 'ari atau Asya'irah, dikaitkan kepada guru besarnya yang pertama Abu Hasan Ali Al Asy'ari.Sejarah ringkas guru besar ini adalah: Nama lengkap beliau adalah Abu Hasan Ali bin Ismail bin Abi Basyar Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdillah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa AI-Asy'ari. Abi Musa ini seorang sahabat Nabi yang terkenal dalam sejarah Islam. Abu Hasan lahir di Basrah (Iraq) tahun 260 H, yakni 55 tahun sesudah meninggalnya Imam Syafie r.a dan meninggai di Basrah juga pada tahun 324H, dalam usia 64 tahun. Beliau pada mulanya adalah murid dari bapa tirinya seorang Ulama Besar kaum Muktazilah, Syeikh Abu Ali Muhammad bin Abdul Wahab Al Jabai (meninggal tahun 303 H), tetapi kemudian beliau taubat dan keluar dari golongan Muktazilah itu. Pada masa itu (abad ke III H) banyak sekali Ulama-ulama Muktazilah mengajar di Basrah, Kufah dan Baghdad. Ada 3 orang Khalifah Abbasiyah iaitu Ma'mun bin Harun Ar-Rashid (198-218H), AI-Muktasim (218-227H) dan AI-Watsiq (227-232H) adalah khalifah-khalifah penganut faham Muktazilah atau sekurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah. Dalam sejarah dinyatakan bahawa pada zaman itu terjadilah apa yang dinamakan "fitnah Quran makhluk" yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefahaman dengan kaum Muktazilah. Pada masa Abu Hasan AI-Asy'ari muda remaja ulama-ulama Muktazilah sangat banyak di Basrah, Kufah dan Baghdad. Masa itu masa gilang gemilang bagi mereka, kerana fahamannya disokong oleh pemerintah. Imam Abu Hasan termasuk salah seorang pemuda yang belajar kepada seorang Syeikh dari Muktazilah, iaitu Muhammad bin Abdul Wahab al Jabai wafat 303 H. Pembaca jangan keliru, ini bukan Muhammad bin Abdul Wahab, pembangun Mazhab Wahabi di Nejdi (1115 H -1206 H)-(Riyadh) Imam Abu Hasan AI-Asy'ari melihat, bahawa dalam fahaman kaum Muktazilah banyak terdapat kesalahan besar, banyak yang bertentangan dengan I'itiqad dan kepercayaan Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat beliau dan banyak yang bertentangan dengan Quran dan Hadis. Maka kerana itu beliau keluar dari golongan Muktazilah dan bertaubat kepada Tuhan atas kesalahan-kesalahannya yang lalu. Bukan saja begitu, tetapi beliau ke hadapan untuk melawan dan mengalahkan kaum Muktazilah yang salah itu. Pada suatu hari beliau naik ke sebuah mimbar di Masjid Basrah yang besar itu dan mengucapkan pidato yang bersemangat dengan suara lantang yang didengar oleh banyak kaum Muslimin yang berkumpul di situ. Di antara pidato beliau begini: "Saudara-saudara Kaum Muslimin Yang Terhormat! Siapa yang sudah mengetahui saya, baiklah, tetapi bagi yang belum mengetahui maka saya ini adalah Abu Hasan Ali AI-Asy'ari anak dari Ismail bin Abi Basyar. Dulu saya berpendapat bahawa Quran itu makhluk, bahawa Tuhan Allah tidak dapat dilihat dengan mata kepala di akhirat, dan bahawasanya manusia menjadikan (menciptakan) perbuatannya, serupa dengan kaum Muktazilah. Sekarang saya nyatakan terus terang bahawa saya telah taubat dari faham Muktazilah dan sekarang saya lemparkan I'itiqad Muktazilah itu seperti saya melemparkan baju saya ini (ketika itu dibukanya bajunya dan dilemparkan) dan saya setiap saat bersedia untuk menolak fahaman Muktazilah yang salah dan sesat itu". (Zhumrul Islam IV halaman 67). Dari mulai waktu itu Imam Abu Hasan Ali AI-Asy'ari berjuang melawan kaum Muktazilah dengan lisan dan tulisan, berdebat dan bertanding dengan kaum Muktazilah di mana-mana, merumuskan dan menuliskan dalam kitab-kitabnya I'itiqad-l'itiqad kaum Ahlussunnah wal Jama'ah sehingga nama beliau masyhur sebagai seorang Ulama 'Tauhid yang dapat menundukkan dan menghancurkan fahaman Muktazilah yang salah itu. Beliau mengumpulkan sebanyak-banyaknya dari Quran dan Hadis fahaman-fahaman atau I'itiqad Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat Nabi diperincinya dengan sebaik-baiknya. Beliau mengarang buku-buku Usuluddin banyak sekali.Berkata Imam Zabidi, pengarang Kitab Ittihaf Sadatil Muttaqin syarah Ihya Ulumuddin: "Imam Asy'ari mengarang sekitar200 kitab" (lihat Ittihaf jilid II halaman 7) Di antara kitab-kitab karangan Imam Abu Hasan AI-Asy'ari: 1. Ibanah fi Usuluddiyanah, 3 jilid besar. 2. MaqalaatuI Islamiyiin. 3. AI-Mujaz, 3 jilid besar. 4. Dan lain-lain. Keistimewaan Imam Abu Hasan AI-Asy'ari dalam menegakkan fahamnya ialah dengan mengutamakan dalil-dalil dari Quran dan Hadis dan juga dengan pertimbangan akal dan fikiran, tidak seperti kaum Muktazilah yang mendasarkan fikirannya kepada akal dan falsafah yang berasal dari Yunani dalam membicarakan Usuluddin dan pula tidak seperti kaum Mujassimah (kaum yang menyerupakan Tuhan dengan makhluk) yang memegang erti lahir dari Quran dan Hadis, sehingga samp'ai mengatakan bahawa Tuhan bertangan, Tuhan bermuka, Tuhan duduk di atas 'Arsy, dan lain-lain sebagainya. Alhamdulillah, Imam Abu Hasan AI-Asy'ari dapat menegakkan faham yang kemudian dinamai "Faham Ahlussunnah wal Jama'ah", iaitu faham sebagaimana diyakini dan di I'itiqadkan oleh Nabi Besar Muhammad s.a.w. dan para Sahabat-sahabat beliau. Pada abad-abad berikutnya muncullah ulama-ulama besar kaum Ahlussunnah wal Jama'ah yang menyebar-luaskan pengajian-pengajian Imam Abu Hasan AI-Asy'ari, di antaranya:1. Imam Abu Bakar AI-Qaffal (wafat 365H)2. Imam Abu Ishaq AI-Asfaraini (wafat 411 H)3. Imam Al -Hafizh AI-Baihaqi (wafat 458H)4. Imam Haramain AI-Juwaini (wafat 460 H)5. Imam AI-Qasim AI-Qusyairi (wafat 465H)6. Imam AI-Baqilani (wafat 403H)7. Imam AI-Ghazali (wafat 505H)8. Imam Fakhruddin Ar-Razi (wafat 606H)9. Imam Izzuddin bin Abdussalam (wafat 660H)Ulama-ulama yang tersebut adalah Ulama-ulama penganut dan pendukung yang kuat dari faham Ahlussunnah wal Jama'ah yang dibentuk oleh Imam Abu Hasan Ali AI-Asy'ari.Kemudian dalam abad-abad seterusnya banyak muncul Ulama-ulama Usuluddin di seluruh dunia Islam yang menganut, mempertahankan dan menyiarkan faham Ahlussunnah wal Jama'ah yang dibentuk oleh Imam Abu Hasan AI-Asy'ari ini, di antaranya:10. Syeikhul Islam Syeikh Abdullah As Syarqawi (wafat 1227H) pengarang kitab Tauhid yang dimasyhurkan dengan nama Kitab Syarqawi.11. Syeikh Ibrahim AI-Bajuri (wafat: 1272H) pengarang kitab tauhid "Tahqiqul Maqam fi Kifayatil Awam", dan kitab "TuhfatuI Murid ala Jauharatut Tauhid".12. AI-Allamah Syeikh Muhammad Nawawi Bantan, seorang Ulama Indonesia yang mengarang kitab Tauhid "Tijanud Darari". (wafat:1315H).13. Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad AI-Fatani yang mengarang kitab Tauhid bernama "Aqidatun Najiin fi usuluddin".14. Syeikh Hussein bin Muhammad AI-Jasar At Thalabilisi, pengarang kitab Tauhid yang terkenal "Hushunul Hamidiyah"15. Dan lain-lain banyak lagi.Adapun Imam Abu Mansur AI-Maturidi, yang dianggap juga sebagai pembangun Mazhab Ahlussunnah wal Jama'ah dalam usuluddin nama lengkapnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Mahmud. Beliau lahir di suatu desa di Samarqand yang bernama "Maturid". Beliau meninggal di situ juga pada tahun 333 Hijriah, iaitu 10 tahun sesudah wafatnya Imam Abu Hassan AI-Asy'ari. Beliau berjasa besar dalam mengumpulkan, memperinci dan mempertahankan I'itiqad Ahlussunnah wal Jama'ah itu, sama keadaannya dengan Imam Abu Hasan AI-Asy'ari. Makam beliau sampai sekarang diziarahi di Samarqand. Dunia Islam sejak dulu sampai sekarang menganggap bahawa kedua Imam ini adalah pembangun Mazhab Ahlussunnah wal Jama'ah.Berkata Sayid Murtadha az Zabidi, pengarang kitab "Ittihaf Sadatil Muttaqin", iaitu kitab yang mensyarah kitab "Ihya Ulumuddin", karangan Imam Ghazali:"إذا أطلق أهل السنة فالمرادبه الأشاعرة والماتريدية" Ertinya:Apabila disebut "Ahlussunnah wal Jama'ah maka yang dimaksudkan dengan ucapan itu ialah faham atau fatwa-fatwa yang diajarkan oleh Imam Asy'ari dan Abu Mansur AI-Maturidi (Ittihaf jilid II, halaman 6)Suatu hal lagi baik juga diketahui bahawa pada umumnya dunia Islam menganggap dalam furuk syari'at (fikah), yang benar adalah fatwanya Imam-imam Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, dan dalam Usuluddin, yang benar dan yang sesuai dengan Quran dan Hadis, adalah fatwa kaum Ahlussunnah wal Jama'ah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ISLAM ITU INDAH
Info Terkini
Maklumat terkini
-
-
-
PUNCA THAI BAHT MELAMBUNG !!!!5 years ago
-
MB ucap selamat berjaya kepada calon SPM6 years ago
-
MAULIDUR RASUL 1439H7 years ago
-
Alhamdulillah, saya juga punya buku tersebut dan bermanfaat sekali untuk memberi penjelasan kepada kawan-kawanku tentang I'tiqad Ahli Sunnah Waljama'ah yang sesungguhnya atau Sunny. karena pada masa sekarang ini banyak yang menamakan dirinya kelompok Ahlussunah waljama'ah, namun bukan atau tidak seperti yang dimaksud pada tulisan tersebut. alais dari kalangan WAHABI
ReplyDelete