Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, October 13, 2011

Kedutaan Malaysia di Indonesia diserang ! Protes FBR



Isu sempadan Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat yang dihangatkan oleh media tempatan telah menyebabkan sekumpulan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi dan bertindak liar depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada Rabu sehingga merosakkan cermin pos pengawal.

Kumpulan dari Forum Betawi Rempug (FBR) yang berjumlah kira-kira 650 orang berdemonstrasi selama satu setengah jam mulai pukul 1 petang Rabu, melempar benda keras seperti batu, kayu dan buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan.

Ini menyebabkan cermin pos pengawal dan beberapa lampu pagar kedutaan pecah hingga melukakan sembilan anggota polis yang berkawal di situ.

Para penunjuk perasaan itu dikatakan membantah tindakan Malaysia yang didakwa kononnya mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Kumpulan itu dipimpin Pengarah FBR Edwan Hamidy.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia tidak melayani sebarang nota bantahan dari kumpulan itu kerana mendakwa tuduhan mereka itu tidak benar.

Para penunjuk perasaan menjadi marah apabila dihalang oleh pihak polis daripada memasang bendera FBR di pintu pagar bangunan pejabat kedutaan itu sehingga mereka bertindak liar merempuh anggota polis.

Pasukan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka bagi mengawal keadaan daripada menjadi bertambah buruk.

Isu pertikaian sempadan itu berlaku apabila Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat Tb Hasanuddin hujung minggu lalu mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, yang didakwa telah diambil oleh Malaysia.

Dakwaan beliau bagaimanapun segera disangkal beberapa menteri kabinet Indonesia kerana ia tidak berasas.

Mereka ialah Menteri Penyelaras Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Djoko Suyanto; Menteri Luar Marty Natalegawa; Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi; dan Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro.

“Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada 1891, 1915 dan 1928,” kata Marty.

Perjanjian yang ditandatangani antara Belanda dan Inggeris itu telah menetapkan garis sempadan kedua-dua negara itu dan sejak sekian lama tidak ada sebarang pertikaian mengenainya.
Sehubungan kejadian itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Indonesia berikutan kerosakan yang berlaku.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pihaknya akan meminta penjelasan bagaimana kekacauan itu boleh tercetus sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

“Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hampir setiap tahun berhadapan dengan kumpulan penunjuk perasaan sehingga berlaku pelbagai kerosakan pada aset negara.

“Nota diplomatik yang akan dikirim ini ialah bagi meminta penjelasan daripada kerajaan Indonesia bagaimana mereka dapat membantu kita menyelesaikan isu ini,” katanya di Jakarta.

Pengiriman nota diplomatik itu adalah selaras dengan Konvensyen Vienna yang menetapkan bahawa pihak berkuasa sesebuah negara harus melindungi harta benda setiap pejabat perwakilan asing di negara berkenaan.

-Bernama

No comments:

Post a Comment