Haram mencemari masjid dengan perkara sumbang sepeti tidak menjaga adab masjid contohnya tidak tutup aurat , begurau senda yang melebihi batasan dan lain-lain lagi. Ini adalah ditegah
Andai dapat menjaga adab maka tidak ditegah untuk melangsungkan majlis akad di masjid
1.Pandangan Mazhab Syafie
Sekurang-kurangnya terdapat 3 karya ulama Mazhab Syafie yang memperkatakan tentang isu ini.
Pertama : Fathul Ma’in karangan Imam Zainuddin al-Malibari;
Kedua : I’anah al-Tolibin karangan Sayyid al-Bakri al-Dumyati; dan
Ketiga : Tuhfatul Muhtaj karangan Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami.
Ketiga-tiga karya ini bersepakat menyatakan, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT.
Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang direkodkan oleh al-Tabarani dan Tirmizi. Ia diriwayatkan oleh Syaidatina Aisyah r.a.
Hadis tersebut berbunyi :
أعْلِنُوا هذا النكاحَ واجْعَلوه في المساجد واضْرِبوا عليه بالدفوف
Terjemahan : “Umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya di masjid serta pukullah kompang”
Pengarang I’anah al-Tolibin mencatatkan :
ويسن أن يكون العقد في المسجد. قال في التحفة: للأمر به في خبر الطبر
Terjemahan : “Dan disunatkan akad [nikah] dilakukan dalam masjid. Berkata [Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami] dalam [kitabnya] Tuhfah, [disunatkan melakukan akad nikah dalam masjid] kerana [adanya] perintah [berbuat demikian] dalam hadis [yang direkodkan oleh] al-Tabarani”.
Ringkasnya, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT menurut mazhab Syafie.
2.Pandangan mazhab 4
Menurut Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jumhur (majoriti) ulama mengatakan, SUNAT melakukan akad nikah di masjid (jilid 39, ms.221).
Mereka terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Syafie dan Hanafi (jilid 32, ms.6) serta Mazhab Hambali (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231)
Manakala Mazhab Maliki mengatakannya HARUS sahaja, bukannya sunat (Mausu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jilid 32. ms.6)
Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah mencatatkan :
قال الحنفية والشافعية يندب عقد النكاح في المسجد، لحديث “أعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد، واضربوا عليه بالدفوف” وقال المالكية إنه جائز
Terjemahan : “Berkata ulama-ulama [mazhab] Hanafi dan Syafie, disunatkan [dilakukan] akad nikah dalam masjid berdasarkan hadis “umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya dalam masjid serta pukullah kompang”. Berkata ulama-ulama [mazhab] Maliki, ia (melakukan akad nikah di masjid adalah) harus”.
Ulama-ulama lain yang turut mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid ialah Imam Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa dan Imam Ibnu Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231).
Kesimpulannya, para ulama 4 mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali) bersepakat mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.259)
Dalil Jumhur Ulama
Jumhur ulama bersandarkan kepada dalil-dalil berikut :
Pertama : Hadis Tabarani di atas;
Kedua : Akad nikah dilakukan di masjid bagi mengambil keberkatan masjid
Ketiga : Masjid adalah tempat yang diketahui ramai. Justeru, melakukan akad nikah dalam masjid akan menyebarkan berita perkahwinan. Manakala penyebaran berita perkahwinan pula adalah satu tuntutan syarak.
Keempat : Nikah adalah ibadat. Justeru, sunat dilakukan akad dalam masjid.
Penilaian terhadap hadis
Para ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai hadis Tabarani di atas seperti berikut :
Pertama : Hadis Tabarani adalah hadis hassan.
Ini dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, jilid 1, ms.36, al-’Ajluni dalam Kasyful Khafa’, jilid 1, ms.145 dan lain-lain.
Kedua : Hadis ini dhaif.
Ini dinyatakan oleh Imam al-Bayhaqi (Tahir al-Hindi dalam Tazkirah al-Maudhu’at, jilid 1, ms.55), al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, jilid 7, ms.50 dan lain-lain.
3.Pandangan Imam Syawkani
Imam Syawkani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.
Ini kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat
Justeru, perkara-perkara lain selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.
Dengan sebab itu, makan, minum, tidur dan membaca syair dalam masjid diharuskan kerana ada dalil khusus yang mengharuskannya.
Beliau mencatatkan dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248) :
فالمساجد إنما بنيت لذكر الله والصلاة، فلا يجوز فيها غير ذلك إلا بدليل يخصص هذا العموم، كما وقع من لعب الحبشة بحرابهم في مسجده – صلى الله عليه وسلم-،وهو ينظر، وكما قرر من كانوا يتناشدون الأشعار فيه
Terjemahan : “Masjid sesungguhnya dibina bagi [menjadi tempat] mengingati Allah dan [mendirikan] solat, maka TIDAK HARUS [dilakukan] di dalamnya (masjid) selain [daripada] itu, melainkan dengan [adanya] dalil yang mengkhususkan keumuman [hukum] ini, seperti permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi s.a.w sambil Baginda melihatnya dan seperti perakuan [Nabi s.a.w] kepada orang-orang yang membaca syair di dalamnya (masjid)”.
Imam Syawkani tidak menerima hadis Tabarani di atas yang menjadi dalil jumhur ulama, kerana ia adalah hadis dhaif pada penilaian beliau (rujuk Nayl al-Awtar, jilid 6, ms.211).
4.Kesimpulan
Pembentangan di atas dapat disimpulkan seperti berikut :
1. Mazhab Syafie dan 3 lagi Mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Hambali bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid.
Justeru, kenyataan yang tepat yang perlu dinyatakan oleh pihak berkuasa agama berhubung isu ini ialah, ”melakukan akad nikah dalam masjid adalah sunat menurut jumhur ulama dari pelbagai mazhab, termasuk mazhab rasmi negara, mazhab Syafie”.
Jelasnya, keharusan melakukan akad nikah dalam masjid bukan semata-mata bersandarkan kepada isu pentadbiran, iaitu memudahkan urusan perkahwinan dan menjimatkan masa.
2. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie dan jumhur ulama, akad nikah boleh dilakukan dalam masjid secara konsisten.
Ia juga boleh dilakukan dalam masjid dengan iktikad (kepercayaan) bahawa melakukannya dalam masjid ada kelebihannya, iaitu sunat.
Berbeza dengan pandangan Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid’ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420)
3. Individu yang menegah dilakukan akad nikah dalam masjid kerana mengambil pandangan di kalangan ulama ada yang berpendapat sedemikian, iaitu Imam Syawkani seperti yang telah dinyatakan.
4. Melakukan akad nikah dalam masjid ditegah kerana ia menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja, tidak berbangkit. Sehinggakan Imam Syawkani sendiri pun tidak menjadikan ‘menyerupai orang Krisitan’, sebagai sebab ditegah melakukan akad nikah dalam masjid.
5. Jagalah adab Masjid semasa berlangsungnya majlis nikah sekali pun
Perlulah dijaga adab apabila berada dalam masjid agar kehormatan dan kemuliaan masjid terpelihara. Antara adabnya iaitu berada dalam keadaan menutup aurat, menghormati orang lain yang melakukan solat atau membaca al-Quran, menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, jangan membuat bising sehingga menghilangkan kehormatan masjid dan sebagainya. Apabila masuk masjid, bacalah doa-doa ketika masuk masjid.
Antaranya : A’uzhu billahil ‘azhimi wabiwajhihil karim wasulthanil qadiim minas syaithanir Rajim. (Maksudnya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan Dengan Wajah-Nya yang Maha Mulia dan Kekuasaan-Nya yang berkekalan daripada syaitan yang direjam).
Selain itu, disunatkan juga bagi orang yang memasuki masjid untuk berniat iktikaf dan melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid. Wallahua’lam.
Wallahu a’lam.
Nota : Semua rujukan yang dinyatakan adalah berpandukan Maktabah Syamilah
No comments:
Post a Comment