Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Showing posts with label hukum. Show all posts
Showing posts with label hukum. Show all posts

Tuesday, November 13, 2012

Pemaisuri Agong mula bertudung ...Alhamdulillah moga menjadi tauladan buat rakyat

Setelah pulang dari Makah mengerjakan Ibadah Haji Pemaisuri Agong Memakai Tudung dengan sempurna . 
Hidayah anugerah Allah . Moga menjadi contoh kepada rakyat seluruh negara 
DALIL WAJIB MENUTUP AURAT :
 Kewajipan menutup aurat bagi lelaki dan wanita telah disepakati kewajipannya oleh para ulama.
Namun, setakat  mana yang dinamakan 'aurat', terbuka kepada banyak tafsiran, maka ulama'  berselisih pendapat mengenainya. Perkara yang diperselisihkan ini selagi bersama hujah yang benar daripada tafsiran al-Quran dan al-sunnah sebagaimana manhaj golongan awal, kesemua mereka dalam daerah pahala dan perlu kita hormati.Mari kita telusuri tentang dalil kewajipan menutup aurat bagi wanita.
Dalil 1: Wajib Bertudung (Khimar) atau Menutupkan Kain Meliputi Kawasan DadaFirman Allah SWT :              
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (Surah al-Nur : 31)
Dalil 2: Tutuplah Kecuali Muka dan Tapak TanganHendaklah pakaiannya itu menutup seluruh tubuhnya sehingga tidak terlihat oleh orang lain kecuali wajah dan tapak tangan, sebagaimana pentafsiran Ibnu Abbas yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai pakar tafsir, merujuk firman Allah SWT,
Ertinya : "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya." (Surah al-Nur : 31).
Al-Qurthubi dalam mentafsirkan ayat di atas mengatakan bahawa 'yang biasa nampak daripadanya' adalah wajah dan kedua-dua tapak tangan sebagaimana kebiasaan rutin mahupun ibadah seperti solat dan haji. Walau bagaimanapun apabila dikhuatirkan terjadi fitnah kerana wajah wanita yang terlalu cantik maka lebih baik untuknya mengenakan purdah.
Dalil 3: Wajib Memakai Baju Longgar (Jilbab) yang Menutupi Seluruh Tubuh
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal supaya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab: 59).
Berkenaan isu yang mengatakan seorang wanita tidak boleh memakai pakaian sambung (iaitu ada atas dan ada bawah seperti baju kurung) dan mereka hanya diharuskan memakai pakaian terusan (seperti jubah), sebenarnya tiada dalil yang mengatakan sedemikian selagi mana kedua-dua pakaian tersebut memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan syariat terhadap pakaian 'takwa' seorang muslimah. Terpulang kepada mereka menentukan fesyen selagi mana kod fesyen itu masih mengikuti syarat-syarat syariah.
Dalil 4: Kisah Asma' Binti Abu Bakr Dilarang Memakai Pakaian TipisDiriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma' binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma') dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata, "Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini." Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Rasulullah SAW telah mengenali Asma' r.ha sebagai wanita baik tetapi baginda tetap memerintahkannya mengenakan pakaian menutup aurat di hadapan bukan mahram (lelaki yang tidak halal baginya) kerana ia perintah Allah yang tetap dan tidak berubah kecuali dalam keadaan darurat. Begitu juga tentang isteri Usamah bin Zaid.
Dalil 5: Larangan Memakai Pakaian Berbayang atau Nipis
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bahawa Nabi SAW menghadiahkan Usamah bin Zaid sehelai pakaian (yang berasal) dari Mesir. Lalu Usamah memberikannya kepada isterinya dan Nabi SAW berkata kepadanya, "Perintahkan isterimu untuk mengenakan pakaian dalam pada bahagian bawahnya. Sesungguhnya aku mengkhuatirkan nampak bentuk-bentuk tulangnya."
Pakaian yang dimaksudkan Nabi hendaklah tidak mengundang fitnah, seperti tidak tipis sehingga menampakkan bayangan tubuhnya atau tidak pula ketat sehingga membentuk lekuk, alur dan lurah pada bahagian tubuhnya

Sunday, May 1, 2011

SUMPAH LAKNAT

Mubahalah ialah masing-masing pihak diantara orang-orang yang berbeda pendapat mendoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, agar Allah menjatuhkan la’nat kepada pihak yang berdusta.
Dalam sirah nabi peristiwa mubahalah pernah berlaku, Nabi mengajak utusan Nasrani Najran bermubahalah tetapi mereka tidak berani dan ini menjadi bukti kebenaran Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: “Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya”.
Perhatikan ayat 59 – 63 surah Ali ‘Imran seperti maksudnya di bawah:
59. Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia.
60. (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.

61. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.

62. Sesungguhnya ini adalah kisah yang benar, dan tak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah; dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .
63. Kemudian jika mereka berpaling (dari kebenaran), maka sesunguhnya Allah Maha Mengetahui orang-orang yang berbuat kerusakan

.


Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT menerangkan keadaan Nabi Isa a.s. sejak daripada kandungan dan apa yang berlaku kepadanya daripada mukjizat dan bagaimana ia adalah seorang Nabi yang soleh serta hamba Allah”.
Sebab nuzul ayat ke-59
Ayat ini diturunkan kerana wujud perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi SAW. Rombongan tersebut berkata kepada Nabi SAW: “Apa sebab tuan mengata-ngata tuan kami? Nabi SAW menjawab: “Apa yang telah saya katakan?” Mereka berkata: “Tuan mengatakan Nabi Isa a.s itu hamba Allah SWT!”
Nabi SAW menjawab: “Benar! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya Allah SWT pertaruhkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam”.
Mendengar jawapan Rasulullah SAW, mereka marah lalu berkata: “Adakah tuan pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah kepada kami satu contoh”.
Maka Allah SWT turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya Isa a.s yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara yang mereka anggap pelik kerana ia terjadi dalam keadaan tidak berayah. Tidaklah kurang peliknya dengan misalan Adam AS dijadikan tanpa ayah dan ibu.
Adam a.s dijadikan Allah SWT daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu tidak pelik, maka tidak sepatutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: “Jadilah engkau!” Maka jadilah ia.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: “Ayat ini mengandungi perumpamaan yang sangat jelas, kerana titik persamaan kedua-dua belah pihak disebutkan dengan terang, sehingga dapat menghilangkan keraguan musuh Allah SWT.
“Ini disebabkan orang yang mengingkari kejadian Nabi Isa tanpa ayah, sedangkan pada masa yang sama, dia mengakui kejadian Nabi Adam AS yang tidak berayah dan beribu, yang merupakan suatu perkara yang seharusnya tidak terjadi dan tidak dapat diterima oleh akal”.
ii. Hamka berkata: “Ayat ini membantah kedua pihak. Pertama yang tidak percaya sama sekali bahawa Nabi Isa lahir tidak dengan perantaraan bapa, sehingga dituduh dengan pelbagai macam tuduhan oleh orang Yahudi. Padahal mereka pun percaya Nabi Adam dijadikan daripada tanah tidak dengan bapa tidak dengan ibu. Orang zaman sekarang terlalu terpesona dengan teori Darwin.
“Yang kedua ialah penyadaran bagi orang oleh kerana Nabi Isa tercipta dengan perantaraan Roh Allah, iaitu kalam-Nya yang menjelma menyerupai diri sebagai manusia, sebab itulah mereka tuhankan dia. Kerana perkara luar biasa itu dia dituhankan nescaya Nabi Adam yang terlebih dahulu dituhankan”.
Sebab nuzul ayat 60
Adalah diriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW mengajak orang-orang Nasrani Najran itu beribtihal atau mubahalah, yakni berlaknat-laknatan dan sesiapa yang berdusta dialah yang ditimpa laknat. Tetapi mereka enggan.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Al-Maraghi berkata: “Hendaklah kamu tetap teguh dengan keyakinan dan ketenanganmu dalam menuju kebenaran serta menjauhkan diri daripada sebarang keraguan”.
ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini menegaskan apa yang ditegaskan oleh ayat yang lalu bahawa apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu ini wahai Muhammad itulah kebenaran mutlak.
“Kemutlakan itu difahami daripada bentuk makrifat, yakni huruf alif dan lam yang menghiasi kata hak. Kebenaran mutlak itu datang dari Tuhanmu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kasih padamu”.
iii. Hamka berkata: “Ayat ini membantah kepercayaan yang ganjil itu. Lalu dijelaskan bahawa Allah Maha Kuasa telah menciptakan Nabi Adam dari tanah tidak dengan perantaraan bapa dan ibu.
“Datangnya Nabi Adam ke dunia bukanlah mempusaka dosa dan lahirnya Nabi Isa bukan pula penebus dosa melainkan sebagai Rasul-rasul Allah yang lain juga. Diutus sebagai pembimbing manusia menuju ke jalan yang diredai-Nya”.
Sebab nuzul ayat 61
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: “Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya”.
Lalu kedua-duanya berkata kepada Nabi SAW, “Kami akan memberi tuan apa yang tuan minta”. Oleh itu, kirimkanlah bersama kami seorang lelaki yang tuan amanahkan.
Lalu Nabi SAW bersabda: “Berdirilah engkau wahai Abu Ubaidah”. Tatkala dia sudah berdiri lalu Baginda bersabda: “Inilah orang kepercayaan daripada umat ini (Islam)”.
Abu Nu’aym meriwayatkan dalam kitab al-Dalail, daripada Ibn Abbas, “terdapat lapan orang Nasrani Najran datang kepada Rasulullah SAW. Antara mereka, terdapat seorang pelayan dan majikan. Lalu Allah SWT berfirman, Katakanlah, mari…, lalu mereka berkata, “Berilah kami tempoh tiga hari”.
Mereka kemudiannya pergi kepada kaum Yahudi Quraizah, Nadr dan Qainuqa’. Lalu mereka memberi isyarat agar mengadakan perdamaian dan jangan mengadakan sumpah saling mengutuk dengan Baginda. Mereka berkata, “Dialah Nabi yang kita temui di dalam Taurat kerana itu adakanlah perdamaian dengan Baginda dengan bayaran sebanyak 1,000 helai pakaian dibayarkan pada bulan Safar dan 1,000 lagi pada bulan Rejab serta beberapa dirham”.
Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memilih Fatimah, Ali dan kedua-dua puteranya untuk mengerjakan mubahalah ini. Baginda kemudiannya keluar bersama mereka, sambil bersabda, “Jika aku membaca doa, hendaklah kamu mengaminkannya”.
Ibn Asakir meriwayatkan daripada Ja’far daripada bapanya, bahawa ketika ayat ini turun, beliau membawa Abu Bakar r.a bersama seorang anaknya, Umar r.a., bersama seorang anaknya, dan Uthman r.a bersama seorang anaknya. Tidak diragukan daripada ayat ini orang akan memahami bahawa Nabi SAW menyuruh golongan Ahli Kitab yang memperdebatkan peristiwa Nabi Isa dengan kaum mukmin agar mengumpulkan kaum lelaki, wanita dan anak-anak daripada kalangan mereka.
Nabi SAW juga mengumpulkan orang yang beriman, kaum lelaki, wanita dan anak-anak untuk melakukan doa mubahalah, iaitu memohon laknat ditimpakan kepada orang yang berdusta dalam persoalan Nabi Isa ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: “Dalam ayat di atas perkataan anak-anak soleh dan isteri disebut terlebih dahulu daripada dirinya sendiri. Padahal seseorang sentiasa memikirkan nasib anak dan isterinya, sebenarnya adalah untuk menyatakan betapa Nabi SAW telah berasa aman, memiliki kepercayaan yang penuh dan keyakinan yang teguh dengan kebenaran misinya, hinggakan Baginda menaruh kepercayaan sesuatu misbah yang tidak diinginkan akan menimpa mereka.
“Ayat ini dinamakan ayat mubahalah, ertinya berdoa agar musuhnya mendapat laknat Allah”.
ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini diletakkan setelah ajakan memanggil anak dan isteri dan sebelum bermubahalah. Ini memberi isyarat bahawa Nabi SAW masih memberi kesempatan waktu yang relatif tidak singkat kepada yang diajak itu, untuk berfikir menyangkut soal mubahalah, kerana akibatnya sangat fatal”.
iii. Hamka berkata: “Mubahalah ialah bersumpah yang berat. Di dalam sumpah itu dihadirkan anak dan isteri dari kedua pihak yang bersangkutan, lalu diadakan untuk mempertahankan kebenaran masing-masing.
“Jika kedua belah pihak masih tidak mengalah dan bertolak ansur maka tunggulah laknat-Nya kepada siapa yang masih mempertahankan pendirian yang salah. Inilah ajakan Rasulullah SAW kepada utusan-utusan Najran yang mempertahankan Nabi Isa adalah putera Allah SWT.
“Ayat mubahalah adalah pembuktian antara yakin dan teguhnya orang Islam pada iman dan kepercayaannya. Keyakinan Tauhid adalah pegangan seluruh keluarga untuk mempertahankan diri hidup atau mati demi menegakkan kebenaran”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-62:
i. Al-Qurtubi berkata: “Isyarat pada sesungguhnya ini, kembali kepada al-Quran dan apa yang terkandung daripada kisah-kisah. Di namakan kisah kerana segala makna ikut mengikuti antara satu sama lain”.
ii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Jika datang kisah daripada tuhan yang satu, maka kita yakin bahawa tiada lagi di sana Tuhan yang lain mendatangkan dengan kisah-kisah yang lain”.
iii. Al-Sonhadji berkata: “Ayat ini dijadikan hujah menolak dakwaan orang-orang Nasrani yang mengatakan, Allah SWT itu Tuhan yang ketiga dari tiga serangkai. Dan sesungguhnya Allah itu adalah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Yakni tidak ada yang lebih perkasa dan lebih bijaksana daripada-Nya, dan tidak ada yang layak untuk menandingi-Nya selain Allah sendiri”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-63:
i. Ibn Kathir berkata: “Allah menutup ayat ini dengan menjelaskan siapa yang menyeleweng daripada kebenaran kepada kebatilan maka dialah yang sebenarnya merosakkan di muka bumi. Sedangkan Allah Maha Mengetahui dan pasti membalas perbuatan mereka kerana Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya.
ii. Hamka berkata: “Tasamuh (toleransi) beragama ini adalah dasar dari dakwah Islam. Yang menentukan petunjuk bagi manusia , bukanlah manusia melainkan Allah SWT. Tetapi orang tidaklah boleh berhenti mengadakan dakwah.
“Suatu toleransi tidak disertai dengan perluasan dakwah akan menuju kehancuran. Kita harus berani mengikut Rasulullah SAW, berani berhadapan dengan pemeluk agama yang lain dengan mengadakan mubahalah. Sesungguhnya keberanian itu tidak akan wujud jika kita tidak mengerti agama kita sendiri”.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas betapa rosaknya golongan Yahudi dan Nasrani apabila mempertuhankan Nabi Isa sedangkan apabila di ajak bermubahalah mereka begitu gentar dan takut seperti yang terjadi kepada golongan Nasara Najran.
Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan dan menjadikan kita sentiasa istiqamah. Amin

Wednesday, March 23, 2011

SUNAT akad nikah dalam masjid

Haram mencemari masjid dengan perkara sumbang sepeti tidak menjaga adab masjid contohnya tidak tutup aurat , begurau senda yang melebihi batasan dan lain-lain lagi. Ini adalah ditegah

Andai dapat menjaga adab maka tidak ditegah untuk melangsungkan majlis akad di masjid

Isu ini akan ditinjau dari kaca mata Mazhab Syafie. Kemudian, jika ada keperluan, ia akan disoroti melalui jendela mazhab-mazhab lain.

1.Pandangan Mazhab Syafie

Sekurang-kurangnya terdapat 3 karya ulama Mazhab Syafie yang memperkatakan tentang isu ini.
Pertama : Fathul Ma’in karangan Imam Zainuddin al-Malibari;

Kedua : I’anah al-Tolibin karangan Sayyid al-Bakri al-Dumyati; dan

Ketiga : Tuhfatul Muhtaj karangan Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami.

Ketiga-tiga karya ini bersepakat menyatakan, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT.

Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang direkodkan oleh al-Tabarani dan Tirmizi. Ia diriwayatkan oleh Syaidatina Aisyah r.a.

Hadis tersebut berbunyi :

أعْلِنُوا هذا النكاحَ واجْعَلوه في المساجد واضْرِبوا عليه بالدفوف

Terjemahan : “Umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya di masjid serta pukullah kompang”

Pengarang I’anah al-Tolibin mencatatkan :
ويسن أن يكون العقد في المسجد. قال في التحفة: للأمر به في خبر الطبر

Terjemahan : “Dan disunatkan akad [nikah] dilakukan dalam masjid. Berkata [Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami] dalam [kitabnya] Tuhfah, [disunatkan melakukan akad nikah dalam masjid] kerana [adanya] perintah [berbuat demikian] dalam hadis [yang direkodkan oleh] al-Tabarani”.

Ringkasnya, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT menurut mazhab Syafie.

2.Pandangan mazhab 4

Menurut Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jumhur (majoriti) ulama mengatakan, SUNAT melakukan akad nikah di masjid (jilid 39, ms.221).

Mereka terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Syafie dan Hanafi (jilid 32, ms.6) serta Mazhab Hambali (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231)

Manakala Mazhab Maliki mengatakannya HARUS sahaja, bukannya sunat (Mausu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jilid 32. ms.6)

Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah mencatatkan :
قال الحنفية والشافعية يندب عقد النكاح في المسجد، لحديث “أعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد، واضربوا عليه بالدفوف” وقال المالكية إنه جائز

Terjemahan : “Berkata ulama-ulama [mazhab] Hanafi dan Syafie, disunatkan [dilakukan] akad nikah dalam masjid berdasarkan hadis “umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya dalam masjid serta pukullah kompang”. Berkata ulama-ulama [mazhab] Maliki, ia (melakukan akad nikah di masjid adalah) harus”.

Ulama-ulama lain yang turut mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid ialah Imam Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa dan Imam Ibnu Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231).
Kesimpulannya, para ulama 4 mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali) bersepakat mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.259)
Dalil Jumhur Ulama

Jumhur ulama bersandarkan kepada dalil-dalil berikut :

Pertama : Hadis Tabarani di atas;

Kedua : Akad nikah dilakukan di masjid bagi mengambil keberkatan masjid

Ketiga : Masjid adalah tempat yang diketahui ramai. Justeru, melakukan akad nikah dalam masjid akan menyebarkan berita perkahwinan. Manakala penyebaran berita perkahwinan pula adalah satu tuntutan syarak.
Keempat : Nikah adalah ibadat. Justeru, sunat dilakukan akad dalam masjid.

Penilaian terhadap hadis

Para ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai hadis Tabarani di atas seperti berikut :

Pertama : Hadis Tabarani adalah hadis hassan.

Ini dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, jilid 1, ms.36, al-’Ajluni dalam Kasyful Khafa’, jilid 1, ms.145 dan lain-lain.

Kedua : Hadis ini dhaif.
Ini dinyatakan oleh Imam al-Bayhaqi (Tahir al-Hindi dalam Tazkirah al-Maudhu’at, jilid 1, ms.55), al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, jilid 7, ms.50 dan lain-lain.

3.Pandangan Imam Syawkani
Imam Syawkani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.

Ini kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat
Justeru, perkara-perkara lain selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.
Dengan sebab itu, makan, minum, tidur dan membaca syair dalam masjid diharuskan kerana ada dalil khusus yang mengharuskannya.

Beliau mencatatkan dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248) :
فالمساجد إنما بنيت لذكر الله والصلاة، فلا يجوز فيها غير ذلك إلا بدليل يخصص هذا العموم، كما وقع من لعب الحبشة بحرابهم في مسجده – صلى الله عليه وسلم-،وهو ينظر، وكما قرر من كانوا يتناشدون الأشعار فيه

Terjemahan : “Masjid sesungguhnya dibina bagi [menjadi tempat] mengingati Allah dan [mendirikan] solat, maka TIDAK HARUS [dilakukan] di dalamnya (masjid) selain [daripada] itu, melainkan dengan [adanya] dalil yang mengkhususkan keumuman [hukum] ini, seperti permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi s.a.w sambil Baginda melihatnya dan seperti perakuan [Nabi s.a.w] kepada orang-orang yang membaca syair di dalamnya (masjid)”.
Imam Syawkani tidak menerima hadis Tabarani di atas yang menjadi dalil jumhur ulama, kerana ia adalah hadis dhaif pada penilaian beliau (rujuk Nayl al-Awtar, jilid 6, ms.211).

4.Kesimpulan

Pembentangan di atas dapat disimpulkan seperti berikut :

1. Mazhab Syafie dan 3 lagi Mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Hambali bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid.
Justeru, kenyataan yang tepat yang perlu dinyatakan oleh pihak berkuasa agama berhubung isu ini ialah, ”melakukan akad nikah dalam masjid adalah sunat menurut jumhur ulama dari pelbagai mazhab, termasuk mazhab rasmi negara, mazhab Syafie”.
Jelasnya, keharusan melakukan akad nikah dalam masjid bukan semata-mata bersandarkan kepada isu pentadbiran, iaitu memudahkan urusan perkahwinan dan menjimatkan masa.

2. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie dan jumhur ulama, akad nikah boleh dilakukan dalam masjid secara konsisten.
Ia juga boleh dilakukan dalam masjid dengan iktikad (kepercayaan) bahawa melakukannya dalam masjid ada kelebihannya, iaitu sunat.
Berbeza dengan pandangan Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid’ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420)

3. Individu yang menegah dilakukan akad nikah dalam masjid kerana mengambil pandangan di kalangan ulama ada yang berpendapat sedemikian, iaitu Imam Syawkani seperti yang telah dinyatakan.

4. Melakukan akad nikah dalam masjid ditegah kerana ia menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja, tidak berbangkit. Sehinggakan Imam Syawkani sendiri pun tidak menjadikan ‘menyerupai orang Krisitan’, sebagai sebab ditegah melakukan akad nikah dalam masjid.

5. Jagalah adab Masjid semasa berlangsungnya majlis nikah sekali pun
Perlulah dijaga adab apabila berada dalam masjid agar kehormatan dan kemuliaan masjid terpelihara. Antara adabnya iaitu berada dalam keadaan menutup aurat, menghormati orang lain yang melakukan solat atau membaca al-Quran, menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, jangan membuat bising sehingga menghilangkan kehormatan masjid dan sebagainya. Apabila masuk masjid, bacalah doa-doa ketika masuk masjid.
Antaranya : A’uzhu billahil ‘azhimi wabiwajhihil karim wasulthanil qadiim minas syaithanir Rajim. (Maksudnya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan Dengan Wajah-Nya yang Maha Mulia dan Kekuasaan-Nya yang berkekalan daripada syaitan yang direjam).
Selain itu, disunatkan juga bagi orang yang memasuki masjid untuk berniat iktikaf dan melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid. Wallahua’lam.

Wallahu a’lam.
Nota : Semua rujukan yang dinyatakan adalah berpandukan Maktabah Syamilah
ampuni kami